[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

Perhimpunan Aktivis Di Johor Bahru

Date: 31 Aug 1999
Time: 23:16:25
Remote User: -

Comments

Perhimpunan Aktivis Di Johor Bahru JANGAN LUPA PERANAN AKTIVIS KEATAS PEMBANGUNAN NEGARA

Satu perhimpunan aman para aktivis dari parti-parti alternatif, NGO, belia dan pelajar untuk memperingati Hari Kemerdekaan telah diadakan di Dataran Bandaraya Johor Bahru pada 31 Ogos 1999. Perhimpunan itu dianjurkan oleh Gagasan Demokrasi Rakyat Malaysia (Bahagian Johor). Satu Deklarasi telah dibacakan pada pukul 12.00 tengahari. Berikut disiarkan sepenuhnya Deklarasi tersebut.

Deklarasi Memperingati Hari Kemerdekaan Ulangtahun ke-42, Pada 31 Ogos 1999

Hari ini 31 Ogos 1999 adalah hari yang sangat bermakna. Pada hari ini kita semua rakyat Malaysia merayaklan hari ulangtahun kemerdekaan tanahair kita dari belenggu penjajahan. Perayaan Ulangtahun Kemerdekaan bagi kali ke-42 ini sangat bererti kerana ia merupakan sambutan terakhir bagi abad ke- 20. Manakalaa pada tahun hadapan kita akan memasuki abad dan alaf yang baru, abad ke –21 dan tahun 2000.

Sekali merdeka tetap merdeka! Itu adalah slogan kita rakyat yang cintakan tanahairnya. Pada hari ini kita bersama-sama sebagai rakyat Malaysia mengukuhkan lagi iltziam kita untuk mempertahankan kemerdekaan tanahair kita dalam semua bidang, politik, ekonomi dan sosial dari sebarang bentuk penguasaan asing. Kita berjanji untuk mempertahankan keutuhan wilayah dan maruah Malaysia sebagai sebuah negara yang bebas dan merdeka.

Merdeka!

Bersempena dengan semangat baru untuk menghadapi alaf baru maka pada hari ini kita menegaskan lagi komitmen kita untuk membawa perubahan yang lebih baik kepada rakyat dan negara Malaysia yang kita cintai. Apa juga tradisi dan warisan yang baik yang kita warisi sejak zaman berzaman dan generasi ke generasi akan kita pertahankan. Tetapi mana juga tradisi dan warisan yang buruk akan kita lakukan perubahan. Inilah semangat reformasi yang ingin kita ketengahkan iaitu satu reformasi tulen bagi masyarakat kita untuk membina sebuah negara Malaysia dan Bangsa Malaysia yang bersatu, maju dan cemerlang.

Pada hari ini, kita juga berazam untuk memberi makna yang sebenar akan erti kemerdekaan bagi sebuah negara dan rakyatnya. Rakyat bagi sebuah negara yang merdeka seharusnya mempunyai segala hak dan tanggungjawab sebagai warganegara yang bebas dan juga merdeka. Hak-hak asasi manusia yang diakui dan dilindungi di dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia yang menjamin kebebasan bersuara, berfikir, berpersatuan, bergerak dan berhimpun secara aman bagi setiap warganegara hendaklah dipertahankan pada setiap masa. Tidak ada maknanya bagi sebuah negara yang telah merdeka tetapi rakyatnya terbelenggu, mahkamahnya tidak bebas dan media massanya dikunci ketat dan dikuasai oleh pihak pemerintah yang berkuasa secara kuku besi dan anti-demokrasi.

Jadi pada hari ulangtahun kemerdekaan ini, kami rakyat yang berhimpun di sini ingin menegaskan akan tuntutan kami semua supaya ruang demokarsi yang lebih luas dibuka kepada rakyat negara ini. Rakyat Malaysia berhak mempunyai sebuah kerajaan yang baik, yang amanah dalam menguruskan hal ehwal negara. Kami menolak pemerintahan yang bersikap kuku besi dan anti-demokrasi yang menghalang sebarang bentuk kritikan dan pandangan yang berbeza. Kami mahukan konsep demokrasi berparlimen yang berlandasakan keluhuran undang-undang (rule of law) di mana wujud sistem keseimbangan (check and balance) serta pengasingan kuasa antara tiga organ kerajaan iaitu Perundangan (Parlimen), Eksekutif dan Kehakiman.

Sistem sebegini penting untuk mengelakkan berlakunya penyalahgunaa kuasa dan penumpuan kekuasaan negara terletak pada seseorang atau segelintir elit oligarki sahaja.

Pada hari ulanagtahun kemerdekaan kita kali ke-42 ini juga kita yang berhimpun di padang ini ingin menegaskan akan perlunya satu perubahan yang tulen dari segi politik di negara kita. Kita generasi muda hari ini menyeru supaya sama-sama kita menolak sebarang bentuk ideologi politik yang bercorak sentimen perkauman sempit atau cauvanis. Masa sudah sampai untuk seluruh rakyat Malaysia memikirkan akan perlunya kita semua hidup sebagai satu bangsa yang bersatu iaitu Bangsa Malaysia dalam sebuah Malaysia Baru.

Kita perlu mempunyai iltizam atau komitmen untuk menegakkan sebuah masyarakat yang adil yang tidak diasaskan kepada mana-mana dasar perkauman sempit yang hanya akan memecah- belahkan rakyat sepanjang masa. Kita mahukan satu anjakan paradigma dalam dunia kehidupan bernegara di mana keadilan akan dijamin dan dilindungi kepada setiap rakyat Malaysia yang cinta dan setia mereka di bumi ini iaitu bumi Malaysia yang dipijak dan langit Malaysia yang dijunjung.

Kita di Malaysia ini dianugerahi Tuhan dengan rahmatnya di mana bumi kita kaya raya dengan sumber alam yang amat berharga. Negara kita juga dilimpahi Tuhan dengan himpunan manusia yang mewarisi pelbagai tamadun besar dunia ini. Ini adalah aset terbaik yang ada pada kita. Maka bersama-samalah kita membangunkan Malaysia yang merdeka dan bebas ini untuk menjadikan sebuah negara yang makmur dan mewah, maju dan sejahtera.

Justeru itu kami mengaskan bahawa sebarang pertumbuhan ekonomi dan kekayaan yang dicipta dan dihasilkan di Malaysia ini usaha dari titik peluh jutaan rakyat yang terdiri daripada pekerja, petani, nelayan, penjaja, peniaga, kakitangan awam dan swasta dan semuanya, maka kekayaan dan kemewahan negara itu hendaklah dikongsi bersama.

Maka kami menegaskan perlunya satu dasar ekonomi dan sosial yang menjamin keadilan sosial bagi semua dengan melaksanakan program ekonomi negara yang mengagihkan kekayan ekonomi negara secara lebih adil dan merata. Hal ini penting kerana kita mahu mendirikan sebuah negara Malaysia yang mengutamakan pembentukan sebuah masyarakat pengasih dan penyayang.

Seterusnya, kami yang terdiri dari golongan muda dan generasi yang lahir selepas merdeka tidak sahaja mahu menuntut hak kami sebagai warganegara. Sebaliknya kami juga menyedari bahawa kami juga ada tanggungjawab ke atas kelangsungan hidup Malaysia dan seluruh rakyatnya. Kami ingin melaksanakan tanggungjawab dan tugas kami. Kami berhasrat dan kami mahukan supaya Malaysia ini akan berkembang maju. Dengan hal yang demikian kami berharap ruang penglibatan yang lebih luas hendaklah diberikan kepada golongan muda dalam soal urusan negara. Generasi muda perlu diberi ruang untuk mereka bersuara. Masa depan negara kita ini adalah untuk mereka. Jadi generasi muda perlu diberi hak untuk sama-sama mencorakkan Malaysia yang mereka inginkan.

Pada perhimpunan yang sangat bermakna ini, kami juga memperteguhkan keazaman kami untuk bersama-sama rakyat Malaysia seluruhnya menyahut seruan dan cabaran untuk melakukan satu reformasi tulen Tuntutan kepada perubahan tidak dapat dielakkan lagi. Masa sudah sampai bagi semua rakyat Malaysia bangun bagi menentukan nasib kita sendiri untuk mempastikan supaya apa jua bentuk kezaliman yang wujud di tanahair kita kini dapat kita basmi. Perjuangan kita untuk menegakkan keadilan untuk semua perlu kita suara dan perjuangkan dengan lebih lantang dan tegas. Tuntutan kita untuk diwujudkan sebuah pemerintahan yang baik, amanah, bersih, dan cekap diharap akan menjadi kenyataan. Kita perlu menegaskan dengan sesungguhnya akan tentangan kita tanpa kompromi segala macam amalan rasuah, nepotisme dan kronisme yang bermaharajalela dalam pemerintahan yang ada sekarang.

Kita rakyat Malaysia mempunyai hak dan tanggungjawab bersama untuk menentukan setiap kerajaan yang diberi amanah dan mandat untuk berkuasa dalam pilihanraya umum ke-10 akan datang ini adalah sebuah kerajaan yang benar-benar mengamalkan prinsip demokrasi, akauntabiliti (hisbah) dan telus.

Sekian,

Merdeka!

Sekali Merdeka Terus Merdeka!

oleh Hassan Karim 1 SEPTEMBER 1999


Last changed: August 31, 1999