[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

MAKNA KEMERDEKAAN

Date: 01 Sep 1999
Time: 19:51:54
Remote User: -

Comments

Kenyataan Media MAKNA KEMERDEKAAN Pada esok hari, negara kita Malaysia akan meraikan ulangtahun Hari Kemerdekaan dan sebahagian besar rakyat Malaysia akan merenung tentang apa yang dimaksudkan dengan kemerdekaan.

Buat pertama kalinya dalam sejarah kita, rakyat Malaysia sedar bahawa kemerdekaan adalah lebih dari pembebasan dari penjajahan. Jiwa kemerdekaan itu memberi makna kepada rakyat biasa, ia juga harus membantu mewujudkan persekitaran yang memberi kebebasan kepada rakyat untuk berfikir, bersuara atau bertindak tanpa dibelenggu oleh kepentingan diri dan sikap mengampu.Rakyat harus diberi hak untuk menyertai proses demokrasi secara berkesan dan menyumbang secara langsung kepada pembinaan masyarakat madani.

Amat malang bagi sebuah negara yang telah merdeka selama 42 tahun, kebebasan dan hak asasi Malaysia direntap oleh sikap segelintir manusia yang rakus demi mempertahankan kuasa. Sementara pemimpin negara-negara lain menjadikan proses demokrasi sebagai wadah utama bagi melangkah alaf baru, pimpinan negara kita terus menidakkan suara rakyat yang mahukan reformasi dalam kepimpinan negara. Sebaliknya rakyat dinafikan hak mereka dalam perjuangan menuntut keadilan dan kebebasan. Dominasi pemerintah yang keterlaluan inilah yang menyebabkan terhakisnya hak rakyat menuntut keadilan dan kebebasan.

Sebenarnya cabaran kita bagi melangkah alaf baru adalah untuk mengisi kemerdekaan dalam erti-kata yang sebenarnya. Rakyat kini harus bangkit dan menyedari bahawa adalah menjadi tanggungjawab kita untuk terus mempertahankan kemerdekaan ini. Kita tentu tidak mahu dipersalahkan oleh generasi mendatang atas kegagalan kita menyediakan satu asas yang kukuh bagi mereka meneruskan kesinambungan pembangunan negara yang merdeka. Lantaran itu, rasuah dibenteras. Ketidakadilan ditentang. Iktikad perjuangan disemai dalam jiwa nurani kita agar tidak dikaburi oleh wang ringgit dan harta kekayaan serta sokongan dan kesetiaan membuta-tuli.

Kini telah tiba masanya rakyat menggembeleng tenaga serta bersatu dalam usaha kita untuk mempertahan serta mengisi harga sebuah kemerdekaan yang tidak ternilai ini.

"BERSATU MENUJU KE ALAF BARU"

DR. WAN AZIZAH WAN ISMAIL Presiden Parti Keadilan Nasional (keADILan)

30 Ogos 1999


Last changed: September 01, 1999