[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

Jangan Dabik Dada

Date: 01 Sep 1999
Time: 19:58:35
Remote User: -

Comments

KEBIMBANGAN ALIRAN KELUAR TIDAK BERASAS

Oleh Mikhail Raj Abdullah

KUALA LUMPUR, 1 Sept (Bernama) -- Kebimbangan aliran keluar dana apabila tarikh luput bagi modal portfolio berakhir hari ini jelas tidak berasas apabila Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) menutup sesi tengah hari lebih rendah sedikit sahaja.

Tiada pengaliran keluar dana yang ketara dan pelabur juga tidak meninggalkan pasaran walaupun urusniaga adalah tipis dengan sentimen dilemahkan oleh penutupan Wall Street yang rendah semalaman.

Ia mengesahkan ramalan ramai penganalis tempatan bahawa 1 Sept adalah hari biasa kerana banyak dana asing jangka panjang telah memasuki pasaran tempatan, lagipun rizab negara adalah besar.

Ini akan menangkis sebarang aliran keluar dana, kata para penganalis. Ia juga memperkecilkan peramal kejatuhan, terutamanya pegawai-pegawai asing yang menjangkakan akan berlaku aliran keluar dana secar besar-besar pada 1 Sept dan yang berkata kawalan modal Malaysia tidak berjaya.

Pada 12.30 tengah hari, penanda aras Indeks Komposit ditutup pada 761.98, sementara Indeks Emas susut 1.49 mata kepada 197.15 dan Indeks Perusahaan susut 10.10 mata kepada 1,360.55.

Sehingga 11 Ogos 1999, terdapat aliran masuk bersih dana portfolio baru berjumlah RM4.2 bilion sementara rizab antarabangsa pada 14 Ogos 1999 adalah sebanyak AS$31.9 bilion, mencukupi untuk membiayai 6.8 bulan import tertangguh.

Dengan asas-asas ekonomi yang lebih baik, pelabur pasaran saham menolak tanggapan aliran keluar besar-besar sebelum ini.

Penganalisis berkata tidak akan berlaku jualan besar-besaran di BSKL kerana kebanyakan jualan telah dibuat dua minggu lepas.

Majlis Tindakan Ekonomi Negara berkata baru-baru ini "sebarang aliran keluar adalah sementara dan dana-dana ini akan kembali untuk pelaburan semula, memandangkan arah aliran positif yang muncul dalam asas-asas ekonomi negara."

Peniaga juga berkata Bank Negara mempunyai lebihan mudah tunai antara RM45 bilion dan RM60 bilion, yang bermakna Malaysia dapat menyerap sebarang pengaliran keluar.

Sharudin Abdul Majid, penolong pengurus besar (perkhidmatan pembrokeran) Amanah Butler Malaysia Sdn Bhd, berkata baru-baru ini sebahagian pelabur asing telahpubn melabur semula untuk jangka panjang. -- BERNAMA


Last changed: September 01, 1999