[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

Wanita Perlu Reformasi

Date: 01 Sep 1999
Time: 19:59:43
Remote User: -

Comments

ANGGOTA PARLIMEN DIBIDAS GAGAL PERJUANG ISU WANITA

KUALA LUMPUR, 1 Sept (Bernama) -- Anggota Parlimen dan parti politik dibidas kerana gagal memberi komitmen masing-masing terhadap semua isu berkaitan wanita.

Pengerusi jawatankuasa sementara Agenda Wanita bagi Perubahan (WAC) Maria Chin Abdullah berkata daripada 192 Anggota Parlimen yang diutus surat meminta mereka menyatakan dengan jelas cadangan mengenai isu-isu wanita yang akan dibangkitkan, hanya tujuh memberikan jawapan.

Empat daripada mereka terdiri Anggota Parlimen dari Barisan Nasional termasuk Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, dan tiga lagi adalah daripada DAP, katanya pada persidangan media di sini.

WAC telah menghantar surat kepada kesemua 192 Anggota Parlimen dan ketua-ketua parti pada 3 Ogos meminta mereka menyatakan secara tepat cadangan-cadangan yang akan mereka bangkitkan di Parlimen, di kawasan parlimen yang mereka wakili dan manifesto pilihan raya.

Surat-surat yang dihantar kepada parti-parti komponen BN dan enam parti pembangkang pada 3 Ogos, hanya empat parti pembangkang termasuk Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan Keadilan dengan pergerakan wanitanya, menyatakan komitmen mereka.

Sambutan dingin Anggota Parlimen dan parti-parti politik, termasuk pergerakan wanita menyatakan komitmen masing-masing menunjukkan mereka tidak cukup serius menangani isu-isu membabitkan wanita di negara ini, kata Maria.

WAC yang dilancarkan 23 Mei lepas sebagai memenuhi aspirasi wanita di Malaysia, mendapat sokongan 76 pertubuhan bukan kerajaan. Pada masa ini hanya tujuh pertubuhan wanita membentuk jawatankuasa sementara itu.

Jawatankuasa sementaranya dianggotai Pembangunan Wanita Bersatu, Sisters In Islam, Persatuan Sahabat Wanita (Selangor), Persatuan Bertindak Wanita (AWAM), Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (Wanita), Dewan Perwakilan Cina Selangor-Bahagian Wanita, Kesatuan Pekerja Industri Pengilangan Kasut dan Kesatuan Pekerja Industri Besi.

Ivy Josiah dari AWAM pula berkata Abdullah dan Datuk Hishammuddin Tun Hussein, telah membuat komitmen am bagi menghapuskan sebarang bentuk diskriminasi terhadap wanita dan akan menggunakan WAC sebagai sumber rujukan bagi memperbaiki status wanita.

Anggota Parlimen BN lain yang memberikan komitmen mereka ialah Datuk Dr Tengku Mahmud Mansor dan Wong Kam Hoong.

Antara tiga anggota Parlimen pembangkang, Dr Tan Seng Giaw telah membuat komitmen bagi pihak kesemua anggota Parlimen DAP yang akan terus menyuarakan isu-isu wanita di Parlimen.

Tidak seorangpun Anggota Parlimen wanita yang berikrar untuk memberikan komitmen masing-masing, katanya.

"WAC akan membuat susulan dengan mengawasi kerja dan tindakan anggota-anggota Parlimen jika mereka bertanding dalam pilihan raya akan datang dan dipilih," katanya.

Maria berkata WAC akan menghantar surat yang sama kepada Anggota Parlimen yang baru dilantik selepas pilihan raya umum akan datang dan selepas enam bulan jawatankuasa itu akan menyemak sama ada mereka dan juga pemimpin parti telah mengambil tindakan dengan menjalin rangkaian dengan kumpulan wanita tempatan.

Zainah Anwar daripada Sisters In Islam pula berkata WAC telah mengemukakan 11 isu kritikal berkaitan wanita.

Katanya satu daripada matlamatnya ialah melobi sokongan politik terhadap isu dan cadangan dalam agenda wanita dan merangkumkannya menjadi manifesto pilihan raya dan agenda itu akan diserahkan kepada kerajaan bagi mendapatkan sokongan bagi perubahan dasar dan pelaksanaan. -- BERNAMA


Last changed: September 01, 1999