[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

Ada Udang Sebalik Batu Untuk Jatuhkan Affifuddin?

Date: 01 Sep 1999
Time: 20:01:16
Remote User: -

Comments

LELAKI NAK TANDING PILIHAN RAYA KERANA TAK DAPAT PENCEN

ALOR SETAR, 1 Sept (Bernama) -- Seorang pelabur saham mengumumkan hasratnya untuk bertanding sebagai calon bebas dalam pilihan raya akan datang kerana tidak mendapat pencennya sejak lapan bulan lepas.

Teoh Hui Ong, 51, dari Kuala Nerang dekat sini menyatakan sudah mempersiapkan diri untuk bertanding di kawasan Parlimen Padang Terap dan Dewan Undangan Negeri Kuala Nerang sejak sebulan lepas.

"Saya kecewa dan hairan kenapa pencen saya disekat dan atas alasan itu di samping ingin berkhidmat kepada masyarakat, maka saya menawarkan diri sebagai calon," katanya kepada pemberita pada sidang media di sini, hari ini.

Teoh mewarisi pencen isterinya Lee Hwai Chin, seorang guru yang telah meninggal dunia sejak tahun 1990 berjumlah RM180 sebulan.

Beliau kemudiannya berkahwin pada tahun 1992 dengan seorang guru tetapi pencen tersebut diteruskan dan cek tetap dikeluarkan atas namanya dengan alasan untuk kegunaan anak-anaknya yang belum mencapai umur 21 tahun.

Beliau berkata, bagaimanapun pada awal tahun ini beliau tidak lagi menerima pencen tersebut sehingga sekarang dan telahpun menulis surat kepada Jabatan Perkidmatan Awam bertanyakan perkara tersebut.

"Tetapi tiada jawapan hingga sekarang walaupun dua lagi surat peringatan telah dihantar... justeru itu saya terpaksa membuat laporan polis di Balai Polis Kuala Nerang pada 18 Ogos lepas," katanya.

Beliau mempunyai tiga orang anak dan yang bongsu kini berusia 17 tahun.

Katanya, sebagai menunjukkan kesungguhannya untuk bertanding dalam pilihan raya akan datang, beliau telahpun keluar berkempen sejak sebulan lalu di setiap pasar sehari dan pasar malam di seluruh kawasan Padang Terap.

Parlimen Padang Terap kini diwakili oleh Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Dr Affifuddin Omar manakala kawasan Dewan Undangan Negeri Kuala Nerang oleh Abdul Lateh Mohamad Saman. -- BERNAMA


Last changed: September 01, 1999