[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

Baru Nak Belajar? Baru Nak Kaji...

Date: 01 Sep 1999
Time: 20:09:38
Remote User: -

Comments

Ulasan

Apa sudah jadi dengan Najib? Baru nak kaji? Baru nak belajar? Baru tercelik?

Nampaknya dia tidak sesuai lagi jadi Menteri Pendidikan.

==============================================================================================================================

KAJI PENDEKATAN YANG DIAMALKAN SEKOLAH CINA, KATA NAJIB

KUALA LUMPUR, 1 Sept (Bernama) -- Kementerian Pendidikan akan melihat serta mengkaji pendekatan yang diamalkan di sekolah-sekolah jenis kebangsaan (SJK) Cina dalam mata pelajaran Sains dan Matematik sehingga menghasilkan pencapaian yang tinggi.

"Kita perlu melihat bagaimana, apa sebab pencapaian mereka itu lebih tinggi," kata Menteri Pendidikan Datuk Seri Najib Tun Razak semasa diminta mengulas saranan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad supaya pihak pengurusan sekolah-sekolah kerajaan mencontohi komitmen dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh SJK Cina khususnya daripada segi tumpuan mereka kepada pelajaran.

Isnin lepas, ketika berucap merasmikan pembukaan SK Bandar Baru Darulaman di Jitra, Kedah, Dr Mahathir berkata rahsia kejayaan sekolah-sekolah Cina yang sering mencatatkan keputusan terbaik dalam setiap peperiksaan ialah kerana komitmen dan sikap serius tenaga pengajar mereka terhadap pelajaran.

Najib berkata saranan Dr Mahathir itu adalah satu teguran yang positif dan membina supaya sekolah kerajaan juga boleh mencapai kejayaan yang lebih baik.

"Kalau ada beberapa aspek yang kurang, ia perlu diperbaiki dan salah satunya ialah pencapaian mata pelajaran Sains dan Matematik SJK Cina yang lebih baik," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini.

Beliau berkata faktor pendekatan pengajaran dan pembelajaran seperti kesungguhan pelajar dan guru mengadakan kelas tambahan di luar waktu persekolahan, sokongan padu ibu bapa serta masyarakat setempat terhadap sekolah, penekanan keluarga terhadap penguasaan matematik dan latar belakang keluarga yang lebih kepada bidang perniagaan membantu kejayaan SJK Cina.

Najib berkata pencapaian di sekolah-sekolah kerajaan tidak kurang hebatnya walaupun ada sekolah yang mencatatkan pencapaian yang rendah.

Sementara itu Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Dr Fong Chan Onn berkata semangat berdikari yang diamalkan oleh pihak sekolah merupakan antara penyumbang kepada kejayaan kebanyakan pelajar di 1,290 SJK Cina di seluruh negara.

Katanya kejayaan pelajar-pelajar berkenaan juga adalah kerana wujudnya pembabitan aktif ibubapa dalam aktiviti-aktiviti sekolah.

"Pendidikan perlu pembabitan semua pihak dan bukan hanya tunggu bantuan kerajaan sahaja," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Forum Antarabangsa Kesembilan Mengenai Kajian Penerbitan di sini hari ini.

Fong juga berkata kini sudah menjadi perkara biasa pelajar Melayu belajar di SJK Cina.

Katanya daripada 600,000 pelajar di SJK Cina di negara ini, 10 peratus adalah pelajar bukan berbangsa Cina.

"Ramainya pelajar Melayu di SJK Cina menunjukkan bahawa sistem sekolah jenis itu telah mula menjaga keperluan pelajar kaum lain," katanya.

Menurut beliau SJK Cina juga mempunyai guru-guru agama bagi mengajar pelajar terutama pelajar Islam.

-- BERNAMA


Last changed: September 01, 1999