[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

Bunga-Bunga Perpecahan UMNO Melaka Ketara.

Date: 01 Sep 1999
Time: 20:16:24
Remote User: -

Comments

ADA KUMPULAN DAKWA PENENTU CALON, KATA ABU ZAHAR

MELAKA, 1 Sept (Bernama) -- Ketua Menteri Datuk Seri Abu Zahar Isnin hari ini berkat Umno Melaka telah mengesan kegiatan sekumpulan ahli politik yang cuba menjadi "penentu" calon pilihan raya akan datang.

Beliau berkata kumpulan itu dikesan bergerak menonjolkan diri sebagai pihak yang akan menentukan bakal calon Umno nanti.

"Demam pilihan raya telah mula menular dan ada pula pihak yang kini menonjolkan diri sebagai pihak yang akan menentukan calon," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco kerajaan negeri.

Abu Zahar yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri berkata kegiatan kumpulan itu akan mengelirukan anggota parti dan boleh menjejaskan persiapan jentera pilihan raya Umno dan Barisan Nasional.

"Malah, kumpulan itu juga didapati turut menganjurkan ceramah dan majlis pelancaran jentera pilihan raya tanpa mengikut program yang disediakan oleh badan perhubungan," katanya.

Beliau berkata perbuatan kumpulan itu bukan sahaja akan mengelirukan anggota Umno tetapi anggota parti-parti komponen BN kerana menganjurkan kegiatan yang berlainan dengan program yang telah disediakan.

"Kita telah menyusun program bagi ceramah Umno dan BN di setiap peringkat bahagian dan cawangan... saya nasihatkan supaya hentikan perbuatan itu dan ikutilah ceramah mengikut saluran," katanya.

Para pemimpin Umno dan BN hendaklah mendapatkan kepastian mengenai program ceramah dan majlis penerangan yang telah diluluskan oleh pimpinan negeri supaya mereka tidak terkeliru dengan jemputan daripada kumpulan berkenaan, katanya.

Beliau berharap kumpulan yang terlibat tidak lagi meneruskan kegiatan seperti itu yang dikhuatiri boleh menjejaskan persiapan jentera pilihan raya BN terutama di peringkat bahagian dan cawangan, kata Abu Zahar.

-- BERNAMA


Last changed: September 01, 1999