[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

Cepatnya lulus..

Date: 01 Sep 1999
Time: 20:35:42
Remote User: -

Comments

Ulasan

Kalau mereka, cepat sungguh lulus walaupun nama itu kelihatan macam berunsur lucah. Pendaftar masih lagi belum daftarkan ADIL walaupun sudah 9 bulan. Ada juga parti-parti politik lain yang tidak dibenarkan untuk pendaftaran.

============================================================================================================================== PENDAFTAR LULUS PERTUKARAN NAMA PDS KEPADA UPKO

Presiden UPKO Tan Sri Bernard Dompok (kanan) menunjukkan lambang parti UPKO selepas mengadakan sidang akhbar di pejabat UPKO Penampang 10km dari sini hari ini. Turut kelihatan ialah Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur Datuk Wilfred Bumburing (kiri).

KOTA KINABALU, 1 Sept (Bernama) -- Pendaftar Pertubuhan telah meluluskan pindaan kepada perlembagaan Parti Demokratik Sabah untuk menukar namanya kepada Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Bersatu atau UPKO.

Presiden UPKO Tan Sri Bernard Dompok hari ini berkata dengan kelulusan itu kepimpinan parti mulai sekarang akan bekerja keras untuk menyebarkan perutusan perpaduan kepada rakyat, terutama di kalangan masyarakat Kadazandusun dan Murut.

"Saya bangga kerana dengan pertukaran nama itu, ia telah membuka mata banyak pihak yang mahukan perubahan kepada masyarakat. Saya rasa ini satu perkara yang amat menggalakkan," kata beliau pada sidang media.

Pindaan kepada perlembagaan PDS itu diluluskan sebulat suara pada kongres kelima parti itu di sini pada 8 Ogos lepas.

"Saya ingin mengingatkan anggota parti bahawa pindaan yang diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan adalah sama seperti yang diputuskan oleh perwakilan pada kongres tempoh hari," kata beliau.

Mengenai kenyataan presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Joseph Pairin Kitingan yang menyifatkan pertukaran nama itu tidak lebih daripada meletakkan 'racun' lama ke dalam botol baru, Dompok berkata, beliau memang tidak mengharapkan Pairin akan bercakap sesuatu yang positif mengenai parti UPKO.

"Saya cuma terkejut kerana Pairin begitu kuat (mengkritik parti kami) kali ini. Ini menunjukkan mereka merasakan UPKO boleh mengancam mereka...ia juga seperti menunjukkan kepada mereka bahawa kami mampu menjadi sebuah parti yang lebih tersusun," kata beliau.

Mengenai persiapan parti itu untuk pilihan raya umum akan datang, bekas ketua menteri Sabah itu berkata beliau berpendapat lebih sesuai ianya dibincang dengan kepimpinan Barisan Nasional daripada melakukannya secara terbuka.

Beliau juga melahirkan keyakinan bahawa BN akan memenangi pilihan raya kali ini.

"Malah pembangkang juga berkata BN boleh menang, persoalannya sekarang ialah sama ada kita boleh menang dengan majiroti dua pertiga. Walaupun kemenangan adalah pasti, kita masih perlu bekerja kuat untuk mewujudkan kerajaan BN yang kuat," kata beliau.

-- BERNAMA


Last changed: September 01, 1999