[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

ANWAR FAIL NOTIS RAYUAN

Date: 01 Sep 1999
Time: 20:45:22
Remote User: -

Comments

ANWAR FAIL NOTIS RAYUAN

KUALA LUMPUR, 1 Sept (Bernama) -- Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memfailkan notis rayuan bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak saman malu RM100 jutanya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Mahathir Mohamad.

Notis itu difailkan di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi di Wisma Denmark di sini pagi ini melalui Tetuan Kapal Singh and Co.

Mahkamah Tinggi pada Isnin lepas meluluskan permohonan Dr Mahathir menolak saman itu.

Hakim Datuk Dr R.K. Nathan dalam penghakimannya berkata saman itu remeh dan menyusahkan dan menyalahgunakan proses mahkamah.

Anwar, bekas timbalan perdana menteri dan menteri kewangan, memfailkan saman itu pada 25 Januari, mendakwa Dr Mahathir telah secara tidak benar dan berniat jahat bercakap kepada wartawan tempatan dan asing pada sidang media yang diadakan di Jabatan Perdana Menteri mendakwanya melakukan perbuatan tidak bermoral.

Dr Mahathir dalam kenyataan mempertahankan diri yang difailkan pada 22 Mac menegaskan beliau bercakap perkataan-perkataan itu sebagai perdana menteri dengan mempunyai perlindungan bersyarat.

-- BERNAMA


Last changed: September 01, 1999