[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

Lagi Buat Si Kepala Taik Pening

Date: 01 Sep 1999
Time: 20:51:20
Remote User: -

Comments

SAMY VELLU DIMINTA BUKTIKAN RIBUAN ANGGOTA PPP SERTAI MIC

KUALA LUMPUR, 1 Sept (Bernama) -- Parti Progresif Penduduk (PPP) meminta MIC membuktikan bahawa 20,000 anggota PPP telah menyertai parti itu kerana jika tidak ia akan mengambil tindakan undang-undang.

Presiden PPP Datuk M. Kayveas berkata MIC telah "menggunakan publisiti murahan" untuk memperkecil-kecilkan PPP, yang terakhir satu majlis di Stadium Melewati Shah Alam semalam dengan Samy Vellu dilaporkan menerima permohonan 20,000 anggota untuk menyertai MIC daripada bekas anggota PPP.

"Setiap anggota parti yang sah, membawa kad pengenalan (ID) parti, saya mahu Samy Vellu menghantar kesemua 20,000 ID kepada ibu pejabat PPP bagi membuktikan sama ada benar 20,000 anggota parti kita menyertai MIC. Jika beliau gagal berbuat demikian, saya akan mengambil tindakan undang-undang terhadapnya dan MIC," katanya.

Kayveas memberitahu Bernama hari ini bahawa PPP tidak mahu lagi MIC memperkecil-kecilkan PPP, dan beliau merancang menemui Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad selaku pengerusi Barisan Nasional bagi memberhentikan sepenuhnya tindakan sabotaj sesama parti-parti BN.

Sambil meminta anggota PPP terus bertenang, Kayveas menyifatkan laporan akhbar hari ini mengenai 20,000 anggota PPP menyertai MIC sebagai "khabar angin paling besar alaf ini".

"Saya tidak faham sikap Samy Vellu terhadap parti rakan seperti PPP. Adakah dia takutkan peningkatan sokongan terutama di kalangan masyarakat India," kata Kayveas, yang berkata PPP kini mempunyai 250,000 anggota berdaftar dan 30,000 lagi sedang didaftarkan.

Samy Vellu juga dilaporkan berkata pada perhimpunan semalam bahawa 24,000 borang keanggotaan daripada bekas anggota PPP dijangka dikemukakan kepada MIC dalam tempoh dua atau tiga minggu lagi.

"Ini bermakna ditambah dengan 20,000 yang didakwanya menyertai MIC semalam, beliau akan mempunyai 44,000 ID yang didakwa anggota PPP. Saya menunggu beliau menyerahkan 44,000 kad itu. Hanya cara ini sahaja beliau dapat buktikan bahawa ia bukan publisiti murahan," katanya.

Kayveas berkata Samy Vellu telah membuat pelbagai kenyataan bahawa MIC tidak memerlukan sokongan anggota PPP dan parti lain, Parti Barisan Progresif India se Malaysia (IPF), tetapi apa yang dilakukan oleh MIC adalah bertentangan.

"Saya meminta anggota parti tidak cemas. Kita telah periksa dan mendapati tidak terdapat pemberhentian anggota parti kita," katanya. -- BERNAMA


Last changed: September 01, 1999