[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

Ini Yang Sebenarnya Berlaku

Date: 01 Sep 1999
Time: 20:53:02
Remote User: -

Comments

DANA ASING DIKELUARKAN JAUH LEBIH AWAL, 1 SEPT BERLALU TANPA PERISTIWA

Oleh Mohd Faizal Zakaria

KUALA LUMPUR, 1 Sept (Bernama) -- Hari ini, 1 Sept adalah tarikh akhir apabila dana-dana asing yang ingin membawa keluar pelaburan mereka tanpa "rugi banyak", boleh menarik keluar pelaburan mereka.

Jika demikian, akibatnya, Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) boleh mengalami kerugian. Bagaimanapun, semua tanda-tanda hari ini yang menunjukkan bahawa BSKL melalui hari "biasa", hanya mengesahkan bahawa tarikh akhir 1 Sept berlalu tanpa sebarang peristiwa, tidak seperti yang dijangkakan oleh kebanyakan orang.

Pelabur-pelabur asing yang ingin menghantar pulang dana telahpun mengeluarkan pelaburan mereka sebelum tarikh akhir 1 Sept, kata seorang peniaga sebuah firma broker saham beribupejabat di Kuala Lumpur, sambil menambah bahawa penghantaran pulang dana mungkin berlaku "antara 10 Julai dan 14 Ogos, 1999."

Dalam tempoh tersebut, tambahnya, Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI) jatuh 202 mata kepada kira-kira 659 mata daripada 862 mata.

Anggaran pengaliran keluar dana pelaburan asing dari BSKL yang dibuat terdahulu ialah antara A$5.0 bilion hingga AS$10 bilion.

Ketika ditutup hari ini Indeks Komposit hanya susut 14.15 mata kepada 752.91.

"Penjualan oleh dana-dana asing boleh mengakibatkan kerugian yang lebih besar kepada pasaran, tetapi ini tidak berlaku," katanya.

Malah peniaga tersebut begitu yakin tentang pelaburan asing. Katanya dana-dana asing mungkin mula beransur-ansur membeli semula berikutan sikap berhati-hati pelabur runcit tempatan.

"Bila pelabur runcit menjual, dana-dana asing membelinya dan mengumpul pegangan mereka bagi pelaburan jangka panjang dan meraih keuntungan," katanya.

"Malah mereka mungkin telah membelinya balik apabila KLCI meningkat ke tahap 800 mata daripada 659 mata pada pertengahan Ogos," tambahnya.

Sementara itu, seorang penganalisis pelaburan dari sebuah firma broker saham sokongan bank juga berkata pelabur-pelabur tempatan memperbesar-besarkan akibat tarikh akhir 1 Sept.

Katanya, walaupun dana pelaburan asing berhasrat menghantar pulang keuntungan dan modal pelaburan masing-masing, mereka tidak boleh menjual sekaligus keseluruhan saham mereka pada 1 Sept.

"Teknik dagangan tidak membolehkan perkara sedemikian berlaku kerana ia boleh menyebabkan pasaran panik dan jatuh terlalu mendadak sebelum mereka dapat meraih keuntungan yang mereka inginkan daripada pasaran saham," tambahnya.

Menurutnya mereka mungkin telah mula menjual secara beransur-ansur sejak Julai tahun ini dan membeli balik pada akhir Ogos.

Katanya lagi sebahagian dana asing juga mungkin "tidak keberatan untuk menyimpannya selama setahun atau dua tahun lagi di bawah kawalan modal memandangkan ekonomi Malaysia berlandaskan asas yang kukuh, terutamanya dari kekuatan di dalam negara dan mempunyai masa depan yang cerah." -- BERNAMA


Last changed: September 01, 1999