[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

KINI - 1.9.99

Date: 01 Sep 1999
Time: 20:57:43
Remote User: -

Comments

KINI demi keadilan, kemajuan, perpaduan

Isu No. 23 – 1 September 1999

Menara Kembar Petronas: Hujah Songsang Firaun Moden

Dalam ucapan perasmian Menara Kembar Petronas pada 31 Ogos, Dr Mahathir Mohamad memberikan alasan-alasan utama mengapa bangunan tertinggi di dunia itu dibina.

1. lambang kejayaan Petronas

2. simbol fizikal kejayaan kerajaan BN mentadbir dan menguruskan negara;

3. tidak sedikitpun menjejaskan kedudukan kewangan negara

4. melibatkan kepakaran tinggi dan Malaysia akan dapat banyak pengalaman dalam pengurusannya

5. simbol wawasan rakyat

6. dapat meninggikan ego rakyat

7. permulaan satu penerokaan masa depan (futuristic endeavour)

Alasan-alasan yang diberikan oleh Dr Mahathir Mohamad seperti di atas boleh dipertikaikan. Bukan sengaja untuk mengkritik. Bangunan pun sudah terbina. Sudah jadi hak milik negara. Tidak boleh undur semula. Tetapi masih perlu dibahaskan isu pembinaannya. Bukan untuk tujuan akademik. Tetapi untuk menunjukkan betapa Mahathir dan kerajaan BN pimpinannya selalu songsang dan pincang dalam meletakkan keutamaan dalam membangunkan negara.

Kejayaan Petronas tidak sewajarnya diukur kerana kejayaannya membina Menara Kembar itu. Apakah jika Menara itu tidak dibina, maka Petronas tidak berjaya? Petronas mendapat hasil dari minyak dan gas asli yang digerudi dari dasar laut Malaysia. Minyak dan gas asli adalah satu sumber tenaga fosil yang terhad dan akan habis juga akhirnya. Kos pembinaan Menara Kembar ini ialah RM1.8 bilion (harga sebelum kegawatan ekonomi). Menara Kembar adalah satu daripada sembilan komponen Kuala Lumpur City Centre (KLCC). Kos membangunkan KLCC itu membabitkan pelaburan sebanyak RM 4 bilion. Jumlah kos membina menara kembar dan KLCC sangat besar. Wang Petronas akan terbenam dalam pembinaan tersebut.

Wang Petronas Disalahgunakan

Petronas juga dikerah menyelamatkan DRB-Hicom yang bermasalah. Petronas akan membeli 143.4 juta saham yang dipegang oleh DRB-Hicom dalam Proton, iaitu 27.2% pada harga mahal RM7 sesaham. Ini melibatkan RM1 bilion.

Petronas juga terlibat dalam usaha menyelamatkan (bail-out) Konsortium Perkapalan Berhad (KPB) milik Mirzan Bin Mahathir, anak Perdana Menteri. Ini melibatkan RM1.8 bilion.

Sebelum ini, Petronas telah tiga kali menyelamatkan Bank Bumiputera Malaysia Berhad (BBMB). Pertama kerana skandal BMF di Hong Kong yang menyebabkan BBMB rugi RM2.5 bilion.. Kali kedua apabila berlaku kemelesetan akhir 1980-an, BBMB rugi lebih RM700 juta akibat hutang lapuk. Dalam kedua-dua bail-out BBMB itu, wang Petronas digunakan untuk menghidupkan kembali BBMB.

Bimbang pada satu masa nanti, Petronas sendiri yang akan runtuh kerana pelaburan demi pelaburan yang membazir dan tidak bijaksana. Pelaburan bukan digerakkan oleh kepentingan ekonomi nasional, tetapi kerana kepentingan pimpinan tertinggi kerajaan, khususnya Perdana Menteri, Dr Mahathir yang mempunyai ego yang besar dan mahu menyelamatkan syarikat anak-anak dan kroni-kroninya.

Akhirnya, Petronas Juga Tenat

Tanda-tanda bahawa Petronas sudah mulai menghadapi masalah kewangan dapat dilihat apabila ia terpaksa melancarkan penjualan AS$650 juta (RM2,470 juta) bon untuk jangka lima tahun di New York, Amerika Syarikat. Menurut laporan AFP, awal Ogos lalu, 33 peratus bon tersebut dibeli oleh para pelabur di AS, 25 peratus pergi ke Jepun, 25 peratus lagi dibeli oleh pelabur di seluruh Asia dan 17 peratus pergi ke Eropah.

Ini merupakan kali kedua Petronas meminjam wang begitu banyak di pasaran bon antarabangsa Amerika Syarikat.

Tidak menghairankan jika Petronas, yang merupakan satu daripada 500 syarikat terbesar di dunia, akan runtuh jika pemborosan dan salahurus ini berterusan. Syarikat minyak Indonesia, Pertamina pernah runtuh satu masa lalu kerana rasuah dan penyelewengan.

Hujah di atas ini, dengan sendirinya, menolak dakwaan Mahathir bahawa Menara Kembar ini sebagai simbol fizikal kejayaan kerajaan BN mentadbir dan menguruskan negara. Sebaliknya Menara Kembar itu adalah simbol fizikal kerajaan BN memboroskan wang khazanah negara.

Dakwaan Mahathir bahawa pembinaan Menara Kembar itu tidak menjejaskan kedudukan kewangan negara adalah bohong.. Tidakkah satu punca kepada krisis ekonomi negara yang berlaku sejak pertengahan Julai tahun 1997 hingga suku pertama tahun 1999 ini disebabkan defisit yang besar dalam akaun kewangan negara. Maknanya negara banyak berbelanja.

Wang Malaysia banyak keluar negeri.. Untuk membangunkan KLCC di mana Menara Kembar menjadi komponen utamanya, sebanyak RM4 bilion digunakan. Sebahagian besar wang ini keluar ke negara luar untuk membeli barang, mesin, kelengkapan dan kepakaran serta teknologi. Yang membina Menara Kembar ini adalah kontraktor asing. Kerana teknologi yang tinggi, banyak wang Malaysia mengalir ke luar negeri. Apakah kita perlu membelanjakan RM1.8 bilion untuk mendapatkan pemindahan teknologi tinggi dalam bidang pembinaan bangunan? Apakah benar pemindahan teknologi itu sekarang sudah dipindahkan kepada rakyat atau syarikat sub-kontraktor Malaysia?

Lambang Ego Firaun

Apakah tepat jika Perdana Menteri berkata bahawa Menara Kembar sebagai simbol wawasan rakyat? Apakah Wawasan rakyat atau Wawasan 2020 itu memerlukan simbol-simbol seperti bangunan tertinggi itu untuk benar-benar jadi nyata dan bermakna. Apakah rakyat Malaysia tidak boleh ada wawasannya tanpa ada bangunan yang boros, mega dan membazir itu, yang tidak dapat dimasuki oleh rakyat jelata?

Satu daripada matlamat 2020 ialah untuk membina sebuah negara Malaysia yang maju, iaitu sebuah negara perindustrian yang berjaya. Apakah kemajuan sesebuah negara bergantung kepada bangunan-bangunan yang besar dan tinggi, mewah dan mega? Apakah kos RM1.8 bilion itu satu pelaburan yang produktif? Setakat ini hanya satu menara saja yang telah penuh digunakan oleh Petronas sendiri, sedangkan 54% daripada menara yang kedua masih lagi kosong.

Mahathir menganggap pembinaan Menara Kembar Petronas itu untuk rakyat Malaysia mempunyai rasa yakin diri. Dengan kalimat bahasa Inggeris, Mahathir berkata bahawa Menara Kembar itu penting bagi "our ego". Ego rakyat atau ego Mahathir sendiri? Sebenarnya, Mahathir sanggup berbelanja RM1.8 bilion untuk membina bangunan tertinggi di dunia semata-mata untuk memenuhi tuntutan egonya yang amat tinggi. Adakah rakyat Malaysia memerlukan ego sedemikian? Islam mengajar supaya hidup sederhana, berjimat, tidak boros dan tidak membazir. Mahathir sebaliknya mengajar rakyat supaya mempunyai ego tinggi!

Tamat

Untuk menyertai senarai kami, sila hantar mesag kosong ke:

kini-malaysia-subscribe@egroups.com

the-malaysian-subscribe@egroups.com

Untuk keluar dari senari tersebut, sila hantar mesag kosong ke:

kini-malaysia-unsubscribe@egroups.com

the-malaysian-unsubscribe@egroups.com

Sila lawat laman kami di:

http://kini.webjump.com/

http://berita.webjump.com/

Para penerima diminta mencetak, menyalin dan mengedar Kini, terutamanya kepada mereka yang mungkin berminat. Kami juga menghendaki alamat e-mail supaya dapat mengirim risalah harian ini secara langsung.

Terima kasih atas kerjasama anda.


Last changed: September 01, 1999