[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

Awas ABIM dan yang sekutu dengannya.

Date: 02 Sep 1999
Time: 05:02:52
Remote User: -

Comments

KERAJAAN RUNDING DENGAN BADAN BELIA ANTI K'JAAN

MELAKA, 2 Sept (Bernama) -- Kerajaan akan bersikap rasional dan sedia berunding dengan mana-mana pertubuhan belia yang tidak menyokongnya, kata Menteri Belia dan Sukan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Majoriti daripada 34 pertubuhan atau pergerakan belia yang bergabung dalam Majlis Belia Malaysia menyokong kerajaan. Hanya satu, dua pertubuhan sahaja yang tidak sealiran," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Konvensyen Belia Negeri Melaka di sini hari ini.

Katanya kerajaan ingin mengetahui kenapa mereka tidak menyokong sedangkan majoriti pertubuhan belia lain menyokong dasar-dasar kerajaan.

Terdahulu ketika berucap, Muhyiddin berkata golongan belia harus menguasai kepakaran serta berpengetahuan dalam semua aspek ilmu supaya mempunyai asas diri yang baik.

Katanya, sebagai generasi yang berperanan utama pada alaf baru, mereka mesti mempunyai nilai yang baik terhadap moral dan sikap positif yang tidak bertentangan dengan adat, budaya dan agama.

Golongan juga mesti bersyukur menghargai jasa pejuang-pejuang kemerdekaan kerana segala pencapaian hari ini adalah kerana sumbangan pemimpin terdahulu, katanya.

Muhyiddin mengingatkan golongan belia mengenai penjajahan bentuk baru oleh pihak yang tidak senang hati dengan kestabilan dan kemakmuran negara ini.

"Ada anasir yang berasa cemburu dengan kejayaan kita dan ingin merosakkan kehidupan masyarakat kita baik dari segi politik, ekonomi dan sebagainya," katanya.

Konvensyen sehari yang bertemakan "Belia Dalam Menghadapi Alaf Baru" dihadiri lebih 300 belia daripada pelbagai pertubuhan di negeri ini. --BERNAMA


Last changed: September 02, 1999