[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

Dah Berbuih Mulut....

Date: 02 Sep 1999
Time: 20:06:07
Remote User: -

Comments

Ulasan

Pak Lah terus menerus menghina rakyat. Sudah banyak kali rakyat menegur dan mengkritik kerajaan tapi kerajaan BN tetap berdegil. Rakyat sudah cakap berkali-kali sehingga berbuih mulut. Kali ini rakyat tiada pilihan lain. BN mesti diturunkan.

============================================================================================================================== KERAJAAN SEDIA TERIMA KRITIKAN

SIK, 2 Sept (Bernama) -- Timbalan Perana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, kerajaan sedia menerima sebarang kritikan dan pandangan daripada pelbagai pihak yang berasaskan kepada fakta dan kebenaran dalam usaha membangunkan negara ini.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan tidak boleh menerima tuduhan dan kata-kata kesat serta melampau terhadap pemimpin negara yang dilemparkan oleh pihak tertentu termasuk pemimpin parti pembangkang.

"Kritik-kritik terhadap kerajaan bukanlah perkara yang menjadi masalah tetapi kita tidak boleh menerima kata-kata dan cakap yang melampau kerana ia bertentangan dengan adat resam kita," katanya ketika berucap di majlis perjumpaan dengan pemimpin Barisan Nasional peringkat Parlimen Sik di pejabat UMNO Bahagian Sik di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paduka Dr Abdul Hamid Othman yang juga Anggota Parlimen Sik.

Abdullah berkata banyak pihak memberi pandangan dan kritikan mereka terhadap pelbagai usaha yang dilakukan oleh pemimpin BN dalam melaksanakan tugas-tugas mereka membangunkan negara ini.

Katanya, sesetengah pihak pula melampau dalam memberi pandangan mereka sehingga sanggup mengeluarkan kata-kata kesat dan mencaci pucuk pimpinan negara sehingga menjejaskan perpaduan yang dinikmati rakyat.

Beliau menasihatkan semua pihak menghentikan perbuatan tidak bertanggungjawab itu kerana ia merugikan semua pihak.

Abdullah juga meminta rakyat mengekalkan kesinambungan corak pemerintahan negara agar pelbagai projek pembangunan masa depan dapat diteruskan untuk kesejahteraan rakyat.

"Kita perlu pertahankan kempimpinan yang ada sekarang supaya kemajuan yang dialami negara dapat diteruskan dan negara mencapai tahap kemajuan yang lebih memberangsangkan," katanya.

"Kerajaan BN mempunyai rekod yang cemerlang dalam pemerintahan kerana ia menumpukan pembangunan dalam semua aspek kehidupan rakyat termasuk agama," katanya.

Beliau berkata kerajaan tidak lupa kepada usaha menyediakan pelbagai keperluan penduduk khususnya di kawasan luar bandar. -- BERNAMA


Last changed: September 02, 1999