[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

MEMORANDUM BANTAHAN KAKITANGAN SYARIKAT AIR JOHOR SDN. BHD.

Date: 02 Sep 1999
Time: 20:08:15
Remote User: -

Comments

MEMORANDUM BANTAHAN KAKITANGAN SYARIKAT AIR JOHOR SDN. BHD. TERHADAP PENSWASTAAN SEPENUHNYA SYARIKAT AIR JOHOR SDN. BHD.

KAMI WARGA SYARIKAT AIR JOHOR SDN. BHD. MENGGESA DAN MENUNTUT SUPAYA SEGALA PENGURUSAN PERBEKALAN AIR DI NEGERI JOHOR DIKEKALKAN KEPADA SYARIKAT AIR JOHOR SDN. BHD., MILIK PENUH KERAJAAN NEGERI.

Berdasarkan penelitian terhadap dua program penswastaan sebelum ini iaitu kepada EQUIVENTURE SDN. BHD. dan SOUTHERN WATER CORPORATION SDN. BHD., ianya adalah suatu pengalaman yang jelas merugikan SYARIKAT AIR JOHOR dan KERAJAAN NEGERI JOHOR Penswastaan SYARIKAT AIR JOHOR SDN. BHD. secara "total" perlu dikaji secara menyeluruh bukan sahaja dari aspek perniagaan tetapi juga dari sudut ekonomi dan politik. Adalah tujuan kertas ini mempamirkan impak keatas ekonomi dan politik di Negeri Johor.

IMPAK DAN RASIONAL

1.0 PENDAHULUAN Fakta yang tidak dinafikan ialah hasrat "SAJ Holdings Sdn. Bhd." di dalam program ini adalah untuk meraih keuntungan. Penganalisaan dari liputan berita menunjukkan angka yang hendak dicapai adalah sejumlah RM 8.7 billion dalam tempoh konsesi selama 30 tahun dengan pengagihan keuntungan sejumlah RM 1.3 billion kepada Yayasan Pelajaran Johor dan RM 428 juta kepada anggota SYARIKAT AIR JOHOR. Selain dari itu, kenyataan yang dibuat oleh rakan kongsi Lambang Optima (pemegang 80% equiti SAJ Holdings Sdn. Bhd.), Thames Water, usahasama ini akan membawa keuntungan kepada mereka sejumlah 36 juta Paun setahun (angka yang agak besar dan adalah kemungkinan ianya dalam bentuk terkumpul keuntungan langsung dari pemegangan ekuiti serta dari khidmat kepakaran dan perbekalan alatan khas).

2.0 IMPAK KEPADA SOSIO-EKONOMI Oleh kerana air adalah bersifat asas kepada kehidupan dan juga aktiviti lain, meliputi dari pertanian sehinggakan kepada perindustrian, kajian impak keatas sosio-ekonomi akan dibuat terhadap subjek berikut;

2.1 Analisis Impak Pada Kadar Air Dari keuntungan yang disasarkan sejumlah RM 8.7 billion, SAJ HOLDINGS SDN. BHD. perlu meraih keuntungan dengan peningkatan berjumlah RM19.33 juta setiap tahun, disepanjang 30 tahun waktu konsesi (rujuk lampiran 1). Untuk keuntungan ini, kadar kenaikan cas bekalan air adalah 26.4% setiap 3 tahun, dan apabila dijumlahkan dengan pertambahan kos akibat dari inflasi iaitu pada kadar pertambahan 15% setiap 3 tahun, kadar kenaikan cas bekalan air menjadi 41.4% pada setiap 3 tahun (rujuk lampiran 1).

2.2 Kesan Pengumpulan Modal Dan Pulangan Awal Pelaburan Perlaksanaan projek pembangunan oleh SYARIKAT AIR JOHOR SDN. BHD. dilakukan dengan pembiayaan perbelanjaan melalui pinjaman. Bayaran balik pinjaman di buat setelah siap projek berkenaan. Pendekatan ini membolehkan serakan pada jangka masa yang lama iaitu dari dua puluh sehingga dua puluh lima tahun. Serakan ini membolehkan kenaikan yang rendah pada kadar cas yang dikenakan untuk bekalan air kepada pelanggan. (Senario tanggungan hutang oleh SYARIKAT AIR JOHOR SDN.BHD. adalah berpunca dari ketidaktepatan perlaksanaan penilaian semula kadar cas bekalan air.) Berbanding dengan SAJ HOLDINGS SDN. BHD., waktu konsesi adalah terhad pada tempoh tiga puluh tahun sahaja. Ini membawa makna bahawa semua pulangan pelaburan, termasuk keuntungan yang dijanjikan, perlu diperolehi dalam tempoh ini. Rational kepada keperluan ini, ialah kadar cas bekalan air akan direka supaya pendahuluan pendapatan bagi modal pelaburan diperolehi sebelum perlaksanaan projek pembangunan sebenar. Ini sangat ketara terutamanya bagi projek-projek yang dijangka pembinaannya dipenghujung waktu konsesi.

2.3 Kesan Pengikatan Kadar Cas Bekalan Air Terhadap Keperluan Ramalan Dan Tidak Keperluan Sebenar. Jadual perlaksanaan projek pembangunan adalah berasaskan kepada ramalan pertumbuhan ekonomi yang berkait secara langsung dengan unjuran peningkatan keperluan bekalan air. Unjuran keperluan sentiasa berubah dan tidak kekal sebagaimana ramalan. Dengan pergerakan pembangunan industri Malaysia yang menuju ke arah "High Tech" dan berotomasi, trend keperluan bekalan air akan berubah. Sekiranya penyusutan terjadi, dari penerangan perkara 2.2, pelanggan telah pun dibebankan terlebih dahulu dengan kadar cas bekalan air yang lebih tinggi.

2.4 Impak Kepada Rakyat Dari kenaikan kadar air, adalah dijangkakan pengguna domestik akan mengalami pertambahan perbelanjaan penggunaan air dari RM 3.00 sehingga RM 10.00 sebulan. Pengguna akan dapat merasakan bahawa beberapa barangan keperluan biasa juga akan mengalami kenaikan harga terutamanya barang-barang makanan siap dan separa siap seperti roti, mee, taufu, tauge dan seumpamanya, serta lain lain barangan keperluan yang menggunakan air sebagai bahan utama dalam proses pengeluaran. Dari kajian, kos bulanan penggunaan air bagi operasi pengeluaran bahan-bahan di atas adalah di antara RM 2,000 sehingga RM 3,000 sebulan. Pada kenaikan kadar air sejumlah 41.4%, kenaikan kos bulanan meningkat di antara RM 2,824 sehingga RM 4,242 sebulan. Jumlah ini akan meningkat setiap 3 tahun selanjutnya. Kompleks membeli belah, kedai-kedai makan juga mengalami pertambahan kos operasi yang tinggi akibat dari kadar cas bekalan air yang tinggi hasil dari penswastaan ini. Di akhir kitaran, Kos ini akan terpaksa ditanggung oleh pengguna.

2.5 Impak Ke atas Industri Sedia Ada. Daya kemajuan ekonomi negara banyak bergantung kepada kekukuhan infrastruktur untuk mewujudkan sebuah negara perindustrian. Persoalan sama ada para industrialist mengutamakan kesinambungan perkhidmatan serta tidak mengambil kira kos yang perlu dibayar, mungkin ada kebenarannya, tetapi andaian ini perlu dilihat dengan lebih dekat lagi. Impak terhadap industri oleh kenaikan kadar cas bekalan air boleh ditimbang ke atas dua kumpulan pelanggan, (sila rujuk lampiran 4) i. Pelanggan yang kos bekalan air bernisbah tinggi berbanding kos operasi keseluruhan. ii. Pelanggan dengan jumlah penggunaan yang tinggi disebabkan pengeluaran produk yang banyak. (walau pun dalam kes dimana nisbah kos ini adalah kecil, nilai terkumpul menjadikan perubahan kos bekalan air adalah ketara, rujuk lampiran 4) Dari analisa 130 pengguna tertinggi di negeri Johor didapati kos pembiayaan bekalan air akan bertambah di antara RM 37,000 sehingga RM 3.8 juta setahun jika kenaikan kadar air adalah 41.4%. Di akhir waktu konsesi perbezaan kos pembiayaan dari kos sekarang adalah di antara RM 368,572 sehingga RM 38.42 juta setahun. (rujuk lampiran 3) Pemerhatian di atas telah menunjukkan bahawa kos pembiayaan bekalan air akan meningkat dan sekiranya organisasi adalah sebuah industri, perkembangan ini menjadikannya kurang berdaya saing di dalam pasaran negara, juga di pasaran antarabangsa. Keadaan ini akan mendorong sebahagian dari industri tersebut untuk berpindah keluar dari negeri Johor.

2.6 Impak Keatas Tarikan Pelaburan Faktor pertimbangan pelaburan ke negeri Johor selama ini dari para pelabur luar negara, biasanya mengambil kira cas kadar air yang dibekalkan disamping kemudahan-kemudahan lain. Kadar cas bekalan air yang tidak keterlaluan menjadi salah satu faktor tarikan kepada pelabur-pelabur dari negara jiran yang terdekat iaitu Singapura yang selama ini melabur di Johor berasaskan penempatan yang dekat. Rujukan pada lampiran 2, menunjukkan bahawa Johor mempunyai kadar air yang tertinggi berbanding dengan negara-negara saingan. Dengan mengambil kira kadar inflasi yang sekata dengan negara-negara berkenaan, Johor mulai tahun 2003 akan mempunyai kadar cas bekalan air yang tertinggi, mengatasi Singapura. Untuk melihat kesan kepada pembiayaan kos bekalan air kepada pelabur-pelabur baru, lampiran 5 menunjukkan jumlah dimaksudkan sehingga ke penghujung tahun konsesi. Kadar air yang tinggi menjadikan unit kos produk kurang berdaya saing, suatu faktor yang akan menjadi penghalang kepada tarikan sedia ada. Perkembangan ini akan memberi impak negatif kepada pertumbuhan ekonomi di negeri Johor.

2.7 Impak Kepada Peluang Pekerjaan Dengan penjelasan dua impak di atas terhadap Industri sedia ada dan juga impak terhadap pertumbuhan baru, jumlah pekerjaan adalah dijangka akan menyusut, berikutan dari tindakan memindahkan industri ke lokasi lain serta tindakan pengurangan pekerja untuk mengimbangi penambahan pada kos pengeluaran.

3.0 IMPAK KEPADA EKONOMI SECARA KESELURUHAN Pengurangan daya saing di pasaran antarabangsa akan mengurangkan aliran masuk mata wang asing ke negara kita. Usaha untuk mengembangkan ekspot secara tidak langsung akan terancam di atas perkembangan penswastaan operasi bekalan air. Kehadiran Thames Water yang telah pun mengunjurkan pulangan hasil sejumlah 36 juta Paun setiap tahun, adalah satu amaran terhadap berlakunya kebocoran ekonomi dalam sistem ekonomi negara sumbangan dari penswastaan ini.

4.0 LAIN-LAIN KESAN KEPADA KERAJAAN DAN RAKYAT NEGERI JOHOR Umum mengetahui bahawa pada lazimnya dalam mana mana projek penswastaan, jaminan keuntungan akan diberi kepada pemegang konsesi (sebagai contoh projek penswastaan lebuhraya). Kerajaan terpaksa membayar pampasan sekiranya pemegang konsesi mengalami kerugian. Andainya kerajaan tidak mampu membayar pampasan tersebut, bebannya terpaksa dipikul oleh rakyat dalam bentuk kenaikan tarif.

5.0 IMPAK KEPADA SISIO-POLITIK Dari perkembangan dan kesan negatif yang menyeluruh hampir kepada semua sektor di Negeri Johor, adalah menjadi kebimbangan, penswastaan ini akan menjadi isu yang boleh dieksploitasi oleh pihak pihak tertentu. Ini boleh mengeruhkan kestabilan politik di Negeri Johor.

6.0 RUMUSAN DAN CADANGAN Pengupasan kesan-kesan penswastaan di atas, jelas menunjukkan bahawa selain dari sudut untuk melepaskan kerajaan dari bertanggungjawab untuk menyelesaikan hutang-hutang SYARIKAT AIR JOHOR SDN. BHD., ianya mempunyai implikasi negatif yang banyak dari sudut ekonomi mikro negeri Johor dan juga diperingkat nasional, bila dikaitkan kepada faktor-faktor global.

KERAJAAN NEGERI JOHOR perlu mengambil peluang dengan memorandum ini, untuk mengambil tindakan pembetulan dengan cara tidak meneruskan penswastaan ini. Ketidak patuhan SAJ HOLDINGS SDN. BHD. ke atas syarat-syarat "Conditions Precedent" dan "Conditions Subsequent" haruslah dikuatkuasakan untuk tujuan pembatalan.

SYARIKAT AIR JOHOR SDN. BHD. perlu diberi peluang dan sokongan untuk menjalankan amanah yang telah dijalankan selama ini, termasuk melakukan perubahan kepada pengurusan atasan jika perlu.

Rombakan Keahlian Lembaga Pengarah SYARIKAT AIR JOHOR SDN. BHD. perlu dibuat untuk meningkatkan kemampuan menentukan arah tuju syarikat. Keahlian Lembaga Pengarah dari pelbagai latar belakang diperlukan. Keahlian Kumpulan ini haruslah digabungi oleh 3 kumpulan yang terdiri dari ahli politik, teknikal dan korporat. Begitu juga, perlantikan Pengarah Urusan baru mungkin tidak dapat dielakkan. Kenaikan kadar cas bekalan air yang munasabah harus dilaksanakan, untuk mewujudkan aliran tunai SYARIKAT AIR JOHOR SDN. BHD. yang positif, setanding dengan penanggungan kos operasi yang telah lama naik sebagaimana pada kos bahan kimia, tenaga elektrik dan perkhidmatan-perkhidmatan yang berkaitan.

Sebagai langkah sementara, suntikan tunai dari KERAJAAN NEGERI JOHOR untuk meringankan beban kewangan SYARIKAT AIR JOHOR SDN. BHD., khususnya bagi menjelaskan hutang kepada pembekal/kontraktor utama, seperti EQUVENTURES SDN. BHD dan SOUTHERN WATER CORPORATION SDN. BHD. Mungkin boleh dipertimbangkan. Alternatif ini dijangka dapat memberikan sedikit nafas lega kepada SYARIKAT AIR JOHOR SDN. BHD. dan dalam masa yang sama, KERAJAAN NEGERI JOHOR dapat merencanakan pelan terbaik bagi memulihkan SYARIKAT AIR JOHOR SDN. BHD. dengan mengambilkira kesan dan kepentingan kepada semua pihak khususnya rakyat Negeri Johor.


Last changed: September 02, 1999