[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

ANWAR FAIL JAWAPAN KEPADA PERNYATAAN PEMBELAAN

Date: 02 Sep 1999
Time: 20:14:36
Remote User: -

Comments

ANWAR FAIL JAWAPAN KEPADA PERNYATAAN PEMBELAAN

KUALA LUMPUR, 2 Sept (Bernama) -- Bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memfailkan jawapan beliau terhadap pernyataan pembelaan Menteri Dalam Negeri, bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Rahim Noor dan Kerajaan Malaysia dalam satu kes saman beliau terhadap mereka berhubung kecederaan yang dialaminya sewaktu dalam tahanan polis.

Dokumen itu difailkan pukul 3.30 petang di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil, Wisma Denmark di sini melalui peguam beliau Tetuan Karpal Singh & Co.

Sehubungan itu, Karpal Singh akan memfailkan sijil perakuan segera supaya satu tarikh awal diberikan untuk mendengar kes ini.

Dalam jawapan beliau terhadap pembelaan ketiga-tiga defendan itu, Anwar menafikan dakwaan mereka bahawa beliau ada menyatakan perkataan "ini bapa anjing" pada bila-bila masa.

Dalam pernyataan pembelaan ketiga-tiga defendan itu yang telah difailkan pada 25 Ogos lepas, pihak defendan mendakwa Anwar telah ditampar pada bahagian muka oleh Abdul Rahim setelah Anwar mengeluarkan perkataan itu yang membangkitkan kemarahannya.

Anwar juga berkata beliau akan menyandarkan kepada fakta-fakta di dalam perbicaraan kes Abdul Rahim di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. Abdul Rahim telah dituduh sengaja cuba mendatangkan cedera parah kepada Anwar dan perbicaraannya telah ditetapkan pada 6 sehingga 10 Mac tahun depan.

Anwar juga berkata beliau akan membuat rujukan kepada keputusan dan kesimpulan Suruhanjaya yang telah memutuskan Abdul Rahim bertanggungjawab menyebabkan kecederaan-kecederaan yang dialaminya.

Pada 8 Jan lepas, Anwar telah menyaman Menteri Dalam Negeri (pada ketika itu ialah Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad), Abdul Rahim dan kerajaan Malaysia dengan menuntut gantirugi teladan dan gantirugi teruk kerana mendakwa beliau telah mengalami trauma, penghinaan, penderitaan dan layanan yang memalukan sepanjang penahanan itu.

Dalam pernyataan tuntutannya, Anwar berkata beliau ditangkap pada 20 Sept 1998 di kediamannya kira-kira pukul 10 malam dan dibawa ke Bukit Aman dan diletakkan dalam sebuah lokap.

Anwar mendakwa bahawa beliau telah digari, diikat matanya dan diarahkan bangun dan tiba-tiba beliau berasa satu tumbukan kuat pada mata kiri dan dahinya. Beliau juga mendakwa dipukul di kepala dan dipukul teruk pada sebelah kiri lehernya serta ditampar dengan teruk beberapa kali sehingga darah mengalir dari hidung dan mulut.

Beliau berkata apabila beliau hampir sedar, beberapa anggota polis membantu mengelap darah dan selepas itu beliau tidak sedarkan diri dan pada keesokannya, beliau terasa satu lebam besar pada mata kirinya dan tidak dapat membukanya.

Anwar juga mendakwa pukulan pada lehernya memburukkan kecederaan lamanya dan ini mempengaruhi urat saraf pada tangan kanan beliau yang menyebabkan beliau tidak dapat menggerakkannya untuk beberapa hari.

-- BERNAMA


Last changed: September 02, 1999