[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

Semua Reformis Ambil Perhatian.....awasi taktik UMNO/BN!!!!

Date: 02 Sep 1999
Time: 20:37:44
Remote User: -

Comments

KEADILAN MINTA PENYOKONG REFORMASI SAMBUT ULANG TAHUN CARA RASIONAL

KUALA LUMPUR, 2 Sept (Bernama) -- Setiausaha Agung Parti Keadilan Nasional Mohamad Anuar Tahir hari ini meminta mereka yang terlibat dalam "pejuangan keadilan dan penegak kebenaran" supaya memperingati ulang tahun pertama laungan "Reformasi" secara rasional.

Beliau berkata apa sahaja aktiviti yang dibuat sempena genap setahun laungan itu pada 4 Sept ini, dilakukan dengan semangat dan dengan jiwa yang besar.

Katanya pelbagai cadangan diterima bagi memperingati tarikh itu termasuk mengebarkan bendera parti-parti alternatif di rumah masing-masing dan mengadakan perhimpunan secara aman di Dataran Merdeka.

"Walau apapun aktiviti yang ingin dilakukan, Keadilan menyeru seluruh pejuang dan penyokong reformasi supaya memperingati tarikh keramat itu dengan cara yang rasional," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata persepakatan dalam sebarang tindakan yang hendak dilakukan perlu ada bagi memastikan perjuangan dapat diteruskan.

Anuar juga meminta para penyokong supaya mengelakkan diri daripada melayani sebarang seruan provokatif dan tidak bertanggungjawab daripada mana-mana pihak yang tidak dikenali bagi memastikan tidak tercetus sebarang insiden yang tidak menguntungkan perjuangan.

Laungan reformasi dimulakan oleh bekas timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 4 Sept tahun lepas, dua hari setelah beliau dilucutkan jawatan kabinet. Beliau digugurkan daripada keanggotaan Umno pada 3 Sept tahun lepas.

Anwar yang juga bekas Menteri Kewangan kini menjalani hukuman penjara enam tahun setelah didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi di sini atas tuduhan rasuah menyalahgunakan kedudukannya.

Ketika ini beliau sedang dibicarakan bersama adik angkatnya Sukma Darmawan Sasmitaat Madja, atas tuduhan meliwat bekas pemandu peribadi isterinya, Azizan Abu Bakar di Mahkamah Tinggi di sini.

-- BERNAMA


Last changed: September 02, 1999