[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

MIC Tidak Curi, Pinjam Aja...kelakar punya cerita.

Date: 02 Sep 1999
Time: 20:42:22
Remote User: -

Comments

MIC TIDAK "CURI" ANGGOTA, KATA SAMY VELLU

KUALA LUMPUR, 2 Sept (Bernama) -- Presiden MIC dan Menteri Kerja Raya Datuk Seri S. Samy Vellu menolak dakwaan bahawa parti itu mencuri anggota daripada parti-parti lain.

"Tiada siapa yang mencuri anggota seseorang. Mereka ini telah keluar daripada satu partidan mereka telah datang (ke MIC) ... mereka kaum India dan jika saya tidak menerima mereka, mereka akan pergi menyertai parti pembangkang.

"Kepada saya, setiap orang India perlu menyertai Barisan Nasional (BN)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Program E-Pembinaan dan Pembinaan Teknologi Maklumat (IT) di Seri Kembangan, di sini.

Presiden Barisan Progresif India (IPF) M.G. Pandithan semalam mendakwa bahawa MIC mencuri anggota partinya dan bahawa beliau akan berhenti daripada politik jika menteri itu dapat membuktikan bahawa 7,000 anggota IPF akan menyertai MIC.

Juga dilaporkan bahawa kira-kira 20,000 anggota parti komponen BN, Parti Progresif Penduduk (PPP), telah menyertai MIC.

Perkara itu dibangkitkan oleh Presiden PPP Datuk M. Kayveas yang memberi amaran untuk menyaman Samy Vellu jika presiden MIC itu gagal membuktikan bahawa 20,000 itu adalah anggota PPP.

Samy Vellu berkata parti beliau menyimpan rekod mengenai anggotanya, tidak seperti parti lain yang mendakwa mempunyai beratus ribu anggota parti tanpa sebarang bukti untuk menyokong jumlah itu.

"Saya tidak perlu membuktikannya kepada sesiapa apa keanggotaan yang saya ada. Sebaliknya, mereka yang perlu membuktikan bahawa mereka mempunyai 400,000, 500,000 atau 700,000 anggota.

"Saya minta Encik Kayveas menyaman saya jika beliau berani, jika tidak berani, saya fikir beliau patut tutup mulut," katanya.

Beliau juga berkata bahawa seorang pemimpin sebuah parti anggota BN atau mereka yang melahirkan sokongan kepada gabungan itu agar tidak melancarkan serangan tidak berasas terhadap anggota komponen BN yang lain.

Ketika berucap Samy Vellu berkata industri pembinaan telah secara tradisinya agak lembab untuk mencapai tahap pembangunan sektor lain.

"Dengan kemunculan era maklumat dan akibat ledakan pengetahuan, industri pembinaan tidak lagi boleh terus ketinggalan," katanya.

Beliau juga berkata penganjur persidangan itu, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) perlu berkerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan bagi memastikan pengeluaran Sijil Layak Menduduki dapat dikeluarkan lebih cepat kepada bangunan yang telah siap.

-- BERNAMA


Last changed: September 02, 1999