[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

KINI  - 2.9.99

Date: 02 Sep 1999
Time: 20:56:26
Remote User: -

Comments

KINI demi keadilan, kemajuan, perpaduan Isu No. 24 - 2 September 1999 Rakyat Terus Hidup Susah 42 peratus rakyat miskin sekarang tinggal di bandar-bandar di seluruh negara Malaysia. Kebanyakan mereka tidak mendapat kemudahan kredit untuk membeli rumah, walaupun rumah kos rendah. Mereka ini sekarang tinggal di rumah-rumah setinggan. Satu perempat penduduk di Kuala Lumpur dan Lembah Kelang adalah penduduk setinggan. Mereka memerlukan rumah. Mereka tidak memerlukan dua menara yang tertinggi di dunia.

Dr Mahathir Mohamad dan kerajaan UMNO/BN pimpinannya tersalah dalam meletakkan keutamaan. Pembangunan negara yang sebenarnya adalah pembangunan manusia, iaitu rakyat yang menjadi penduduknya. Pembangunan negara bukannya membangunkan Menara Kembar, KLCC, KLIA, Putrajaya, Cyberjaya, Mahligai PM, Litar Lumba Kereta Formula Satu atau sebagainya.

Mahathir juga silap apabila berkata bahawa Menara Kembar itu sebagai permulaan kepada penerokaan masa depan (futuristic endeavour). 400,000 kakitangan awam peringkat rendah masih tidak mempunyai rumah sendiri. Penerokaan masa depan patut dimulai dengan membina rumah-rumah mereka ini. Ini lebih bererti.

Tidakkah kita mahu membangunkan satu masyarakat penyanyang? Tidakkah rumah yang bahagia itu seperti syurga bagi sesebuah keluarga? Tidak ada salahnya kita meneroka untuk kemajuan masa depan. Tetapi kita perlu menumpukan dulu keutamaan masa sekarang yang belum dapat diselesaikan. Satu daripadanya ialah masalah perumahan bagi rakyat.

Soalan Masih Belum Terjawab Kalau benar Malaysia yang diteraju oleh Mahathir berjaya membawa Malaysia keluar dari krisis ekonomi ini, tetapi satu soalan asas akan tetap dikemukakan. Soalannya ialah apakah punca sebenarnya yang menyebabkan negara kita ini menghadapi krisis ekonomi yang sedemikian parah ini? Adakah hanya kerana Soros? Adakah hanya kerana serangan para spekulator matawang asing? Adakah kerana faktor-faktor itu sahaja? Tidakkah ada kesilapan asas tentang pengurusan ekonomi negeri ini baik di sektor awam maupun swasta? Tidakkah pembaziran, amalan rasuah serta nepotisme dan kronisme yang berjalan seiring dengan hutang negara yang menimbun tinggi dan defisit imbangan bayaran yang besar telah menyebabkan para pelabur dan dunia luar mulai curiga akan kekukuhan sebenar ekonomi Malaysia? Ekonomi Malaysia kini mungkin telah keluar dari kemelesetan. Tetapi selagi Anwar masih dalam tahanan, politik Mahathir akan terus berada dalam kegawatan.

Perlunya Reformasi Tulen Jadi negara kita Malaysia ini memang memerlukan reformasi yang tulen dalam soal ekonomi. Pertumbuhan ekonomi itu memang penting dalam pengurusan ekonomi moden. Kekayaan negara memang wajar bertumbuh dan berkembang. Penciptaan kekayaan negara dari sumber yang ada seharusnya ditingkatkan untuk menjamin kemakmuran. Tetapi kemakmuran hanya akan berlaku jika ada sistem pengagihan kekayaan ekonomi yang adil dan merata. Isu pengagihan kekayaan sama penting dengan isu penghasilan kekayaan itu sendiri. BN hanya mementingkan pertumbuhan ekonomi saja, iaitu aspek penciptaan kekayaan negara. Setelah negara kaya raya, yang menikmatinya dengan cara tamak dan rakus ialah segelintir kroni-kroni yang rapat dengan pemimpin BN. BN kurang menekankan soal pengagihan kekayaan yang lebih adil. Kalau adapun, setakat melepaskan batuk di tangga.

Nasib Pelajar Melayu Terus Diabaikan Akan tetapi, isu sebenar yang dihadapi oleh pelajar-pelajar Melayu masih tidak diberi perhatian. Masalah utama yang dihadapi pelajar-pelajar Melayu ialah kekurangan biasiswa. Apalah guna nama dan imej baru kalau masalah ini masih membelenggu pelajar-pelajar Melayu sehingga ada yang tidak mampu mengisi tempat yang ditawarkan kepada mereka di IPT-IPT? Demikian juga dengan masalah kewangan yang dihadapi IPT-IPT, termasuk ITM... maaf... UTM…maaf…UTM2. Nama dan imej baru tidak membawa makna jika peruntukan untuk kemudahan asrama, makmal, radas, dewan kuliah, komputer dan perpustakaan tidak mencukupi. Tindakan Perdana Menteri sama dengan orang yang cuba menyelesaikan masalah kebuluran dengan membekalkan candu kepada mangsanya.

Nampaknya inilah cara mentadbir BN. Rakyat disuruh berpuashati dengan "imej baru", tetapi wang yang sangat-sangat diperlukan tidak juga diberikan. Sebaliknya, Perdana Menteri yang mendapat Mahligai baru. Imej dan slogan baru yang digunakan BN sebenarnya hanyalah candu untuk melalaikan dan mengelabui mata rakyat terhadap pengabaian pendidikan tinggi oleh parti yang memerintah.

ITM Jadi Universiti: Mahathir Balas Budi Putera Katak? Pada hari Khamis 26 Ogos 1999, Perdana Menteri telah mengumumkan perubahan status Institut Teknologi Mara kepada Universiti Teknologi Mara. Pengisytiharan Perdana Menteri bahawa ITM kini akan dikenali dengan nama Universiti Teknologi MARA agak pelik, memberi gambaran seolah-olah dia telah menaikkan taraf ITM ke sebuah universiti. Namun demikian, kedudukan ITM sebagai sebuah universiti telah pun dilakukan beberapa tahun dahulu.

Yang berlaku terbaliknya, di mana universiti tempatan sekarang telah menerima pelajar lepasan SPM dan mengadakan kursus peringkat diploma. Tidak seperti sebelumnya, iaitu semua kursus universiti ada di peringkat ijazah. Jadi tidaklah besar signifikan akan perubahan nama ITM ini kepada universiti kecuali ada dua hal.

Yang pertama tadi ialah modal politik atau gimik BN, khususnya bagi Mahathir dan Ibrahim, untuk menghadapi pilihanraya umum. Selepas menghina pelajar-pelajar Melayu, Mahathir ingin mendapatkan kembali sokongan cerdik pandai Melayu. ITM adalah lambang pusat pengajian tinggi Melayu yang mengeluarkan ramai golongan teknokrat dan profesional.

Pengumuman itu sebenarnya gimik politik menjelang pilihanraya. Ada institut teknologi bertaraf dunia - seperti Massachussetts Institute of Technology (MIT) - yang tidak dipanggil universiti. Sampai sekarang, dipanggil institut. Sama ada Institut Teknologi Mara ini dipanggil Institut atau universiti tak ada bezanya. ITM sudah lama menjalankan banyak kursus peringkat ijazah. Tidak seperti sebelumnya hanya mengeluarkan diploma sahaja.

Imej Baru ITM: Candu Untuk Rakyat? Tindakan Perdana Menteri ini harus dilihat dalam konteks keinginannya dilihat sebagai pembela nasib orang Melayu. ITM selama ini berperanan sebagai institusi yang menampung keperluan pendidikan pelajar-pelajar Melayu yang tidak berpeluang memasuki universiti. Statusnya sebagai sebuah institusi sebelum ini bererti ia hanya boleh menawarkan diploma.

Program-program ijazah yang ditawarkan ITM sebelum ini adalah program-program berkembar dengan institusi-institusi lain. Kenaikan taraf ITM menjadi sebuah universiti membolehkannya menganugerahkan ijazah dan menawarkan program-program sarjana dan doktor falsafah. Kenapakah hanya sekarang, nama ITM ditukar kepada ‘universiti’ sedangkan ia telah dinaikkan ke taraf universiti sejak beberapa tahun dahulu?

Tamat


Last changed: September 02, 1999