[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

Kenyataan Media: Parti Keadilan Nasional

Date: 02 Sep 1999
Time: 21:03:59
Remote User: -

Comments

Kenyataan Media: Parti Keadilan Nasional GELOMBANG SETAHUN REFORMASI Selepas peristiwa bersejarah 02 September 1998, kehidupan rakyat Malaysia telah mengalami perubahan yang agak ‘drastik’. Tidak kurang juga pentingnya tarikh 04 September 1998, apabila Datuk Seri Anwar memulakan laungan reformasinya. Bagi para pejuang keadilan dan penegak kebenaran khususnya yang terlibat secara langsung dengan aktiviti reformasi sepanjang setahun ini, tarikh 04 September ini adalah tarikh keramat. Maka sudah tentu tarikh ini tidak akan dibiarkan berlalu begitu sahaja tanpa sesuatu tanda peringatan. Pelbagai cadangan dan pelbagai saranan dikemukakan. Ada yang mahu setiap penyokong reformasi mengibarkan bendera Parti-parti Alternatif di rumah masing-masing; ada pula yang menyarankan supaya kita keluar sekeluarga menziarahi handai taulan yang masih belum aktif dengan reformasi untuk beramah-mesra dengan bahan-bahan perbincangan yang sesuai. Tidak ketinggalan cadangan untuk mengadakan perhimpunan aman secara besar-besaran di Dataran Merdeka.

Walau apapun aktiviti yang ingin dilakukan, Parti Keadilan Nasional [keADILan] menyeru seluruh pejuang dan penyokong reformasi supaya memperingati tarikh keramat ini dengan cara yang rasional. Tidak kira apa jua aktiviti yang ingin dilakukan, tetapi lakukanlah dengan semangat dan jiwa yang besar. Fikirkanlah dengan semasak-masaknya, berbincanglah dengan kawan-kawan dan bersepakat dalam tindakan yang dipersetujui. Kita sedang menghadapi situasi yang sangat tidak disenangi oleh pihak yang memegang kuasa. Sebarang kesilapan akan memberikan ruang untuk mereka “membunuh” perjuangan kita.

Dengan mengingatkan kata-kata Perdana Menteri yang menyatakan bahawa pilihan raya kali ini akan menjadi yang terkotor, maka keADILan ingin menyeru seluruh pejuang dan penyokong reformasi khususnya di dalam Parti-parti Alternatif supaya tidak melayani sebarang seruan provokatif dan tidak bertanggungjawab daripada mana-mana pihak yang tidak dikenali. Elakkan daripada tercetusnya sebarang insiden yang tidak tidak menguntungkan perjuangan.

Selamat berjuang menegakkan keadilan dan salam reformasi,

MOHD ANUAR TAHIR Setiausaha Agung

02 September, 1999 / 21 Jumada I 1420


Last changed: September 02, 1999