[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

Khalid Tabur Fitnah

Date: 02 Sep 1999
Time: 21:36:23
Remote User: -

Comments

Ulasan

Siapa yang baca berita ini mungkin terkeliru. Siapa yang hadir pada majlis tersebut juga terkeliru.

Untuk menghilangkan kekeliruan maka kita harus memperbetulkan fakta.

Yang dimaksudkan belajar di sekolah agama rakyat adalah untuk satu sesi samada pagi atau petang. Mereka akan bersekolah di sekolah biasa pada sesi yang lain.

Seperkara lagi, kalau mana-mana rakyat yang mahukan anak mereka dalami ilmu ugama maka boleh gunakan sekolah agama rakyat ke peringkat lebih tinggi.

Jadi tak salah anak-anak orang PAS hantar anak ke sekolah-sekolah kebangsaan untuk ilmu akademik dan sekolah agama rakyat untuk ilmu ugama.

============================================================================================================================== PEMIMPIN PAS HANTAR ANAK KE SEKOLAH KERAJAAN

KOTA BAHARU, 2 Sept (Bernama) -- Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Mohd Khalid Yunus mendedahkan sikap pemimpin-pemimpin Pas yang menyuruh penyokongnya menghantar anak-anak ke sekolah agama rakyat sedangkan mereka sendiri menghantar anak-anak ke sekolah kerajaan yang terjamin mutu pendidikan.

Beliau berkata, pemimpin-pemimpin Pas terbabit memberitahu penyokong mereka bahawa sistem pendidikan kerajaan adalah sekular maka tidak wajar anak-anak dihantar ke sekolah kerajaan.

"Dia (pemimpin Pas) hantar anak-anak ke sekolah kerajaan, dia nak anak-anak dia masuk universiti yang dibina kerajaan tetapi kepada penyokong ditanam dengan pemikiran bahawa sistem pendidikan negara adalah sekular iaitu sistem yang mementingkan dunia daripada akhirat," katanya ketika berucap pada majlis perjumpaan warga sekolah Parlimen Peringat di sini, hari ini.

Yang turut hadir Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Annuar Musa selaku anggota Parlimen Peringat.

Mohd Khalid berkata tindakan pemimpin Pas itu hanyalah semata-semata untuk mengelirukan rakyat supaya membenci kerajaan terutamanya dalam kehangatan menghadapi pilihan raya umum akan datang.

"Pemimpin Pas sememangnya tahu sistem pendidikan negara bukan sekular kerana ramai anak mereka masuk universiti seperti di Universiti Islam Antarabangsa," tambahnya sambil berkata kemudahan di sekolah-sekolah agama rakyat kurang memuaskan sehingga menyukarkan peningkatan mutu pendidikan pelajar.

Ketika bercakap kepada pemberita, Mohd Khalid berkata kerajaan pusat tidak pernah menganak tirikan Kelantan apabila dalam kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Ke-7 telah meluluskan RM236.1 juta untuk menyediakan lebih banyak kemudahan pendidikan di negeri ini.

Peruntukkan berkenaan ialah sebanyak RM74.9 juta untuk pelbagai kemudahan seperti pembinaan bilik darjah dan menggantikan bangunan uzur di sekolah-sekolah rendah dan menengah, RM12.2 juta untuk membina bangunan asrama di 12 buah sekolah, RM10 juta untuk kemudahan dewan di 19 buah sekolah.

Sebanyak RM43 juta untuk penyediaan prasarana di sekolah agama rakyat di Jeli, Bachok dan Tumpat, RM85.4 juta menaik taraf pelbagai kemudahan di Politeknik Kota Baharu dan RM10.6 juta untuk 14 projek rumah guru.

Mohd Khalid berkata, kerajaan berharap dengan pembinaan pelbagai kemudahaan pendidikan itu akan membantu meningkatkan mutu pendidikan rakyat negeri itu serta guru-guru juga mendapat kemudahan yang lebih selesa.

--BERNAMA


Last changed: September 02, 1999