[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

Hakim Sudah Dibeli Atau DiGertak

Date: 07 Sep 1999
Time: 04:49:11
Remote User: -

Comments

MAHKAMAH TINGGI PUTUSKAN KREDIBILITI AZIZAN TIDAK PERLU DICABAR

KUALA LUMPUR, 7 Sept (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini memutuskan bahawa kredibiliti Azizan Abu Bakar, saksi utama pada perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menghadapi tuduhan meliwat, tidak perlu dicabar.

Hakim Datuk Arifin Jaka membuat keputusan itu selepas berpuas hati bahawa Azizan, saksi keenam pendakwaan, telah memberikan penjelasan yang munasabah dan boleh diterima.

Arifin menolak dakwaan pihak pembela bahawa keterangan Azizan pada perbicaraan liwat sekarang dan perbicaraan kes rasuah Anwar yang terdahulu adalah bercanggah.

Arifin berkata penjelasan dan keterangan Azizan, bekas pemandu peribadi isteri Anwar, harus dilihat dalam konteks saksi itu menjawab soalan yang dikemukakan kepadanya oleh pihak pembela dan pendakwa semasa pemeriksaan semula dan pemeriksaan utama.

Oleh yang demikian, kredibiliti saksi itu tidak perlu dicabar, kata beliau.

Anwar, 52, dan adik angkatnya Sukma Darmawan Sasmitaat Madja, 38, dituduh meliwat Azizan di pangsapuri Sukma di Tivoli Villa, Jalan Medang Tanduk, Bangsar di sini, pada pukul 7.45 malam, antara Januari dan Mac 1993.

Sukma juga menghadapi tuduhan bersuhabat dengan Anwar melakukan kesalahan itu di tempat dan masa yang sama.

Selepas Arifin selesai membacakan keputusannya, peguam Christopher Fernando yang mewakili Anwar, berkata adalah jelas bahawa hakim berkenaan tidak menumpukan perhatian kepada isu kedua dalam perkara itu iaitu keterangan Azizan bahawa beliau tidak lagi diliwat selepas September 1992 sehingga sekarang.

Arifin, bagaimanapun, berkata beliau telah mengambilkira kesemua fakta dan keterangan sebelum membuat keputusan itu.

Fernando terus mendesak hakim berkenaan untuk membuat keputusan yang didakwanya tidak dilakukan oleh hakim berkenaan berhubung isu itu.

Arifin berkata bahawa beliau telahpun membuat keputusannya dan "keputusan saya adalah muktamad (iaitu keterangan Azizan tidak perlu dicabar)."

"Saya akan memberikan alasan saya kemudian," katanya.

Seorang lagi peguam Anwar, Karpal Singh juga menyokong dakwaan Fernando dan berkata hakim itu tidak memutuskan berhubung isu kedua seperti yang dibangkitkan oleh Fernando.

Pada ketika itu, Peguam Negara Tan Sri Mohtar Abdullah bangun dan berkata bahawa penghujahan telah dibuat "dan kita semua telah menyatakan apa yang perlu diperkatakan."

"Sekiranya mereka tidak berpuas hati, mereka boleh mengemukakan permohonan di Mahkamah Rayuan kelak.

"Adalah tidak wajar untuk datang ke sini dan mempersoalkan keputusan itu dan daripada segi undang-undang hakim tidak perlu memberikan alasan penghakimannya pada masa ini," kata Mohtar. -- LAGI


Last changed: September 07, 1999