[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

Pak Lah Tak Mahu Undi Cina

Date: 07 Sep 1999
Time: 05:04:39
Remote User: -

Comments

Tanpa syarat jika mahu sokong BN

LUMUT 6 Sept. - Barisan Nasional (BN) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang mengenakan syarat tertentu sebagai balasan untuk menyokongnya pada pilihan raya umum akan datang.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, tidak timbul soal tawar-menawar termasuk mengenakan syarat-syarat tertentu jika ada pihak yang ingin memberi sokongan kepada BN atau menyertainya.

Kata beliau, kerjasama yang terjalin sejak sekian lama adalah satu permuafakatan yang berjaya dan telah menghasilkan kejayaan yang memberangsangkan.

''BN adalah permuafakatan berjaya, mempunyai persefahaman yang amat tinggi serta anggota komponennya tidak pernah bersengketa.

''Parti-parti komponen faham bahawa apa yang diusahakan menerusi permuafakatan itu adalah untuk kebaikan bersama dan selama ini kita berjaya.

''Sudah 25 tahun BN berjaya sebagai gagasan yang tidak pernah bersengketa. Itulah yang akan kita teruskan,'' katanya.

Beliau diminta mengulas laporan akhbar The Straits Times Singapura yang memetik kenyataan Persekutuan Persatuan-Persatuan Cina Malaysia yang mendakwa telah mengemukakan senarai permintaan menjelang pilihan raya umum ke-10 sebagai syarat menyokong kerajaan.

Antara syarat itu ialah layanan saksama antara kaum, membina lebih banyak sekolah aliran Cina, mengkaji semula projek penswastaan dan kebebasan akhbar.

Abdullah yang juga Naib Presiden UMNO bercakap kepada para pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Perdana Jentera Pilihan Raya Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Perak di sini, hari ini.

Lebih 1,200 ahli Pemuda dari 23 bahagian menyertai perhimpunan yang bertemakan UMNO Tonggak Negara Penyelamat Bangsa selama tiga hari, bermula semalam.

Terdahulu dalam ucapannya, Abdullah mengarahkan ahli-ahli UMNO supaya memperkuatkan jentera parti bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang yang disifatkan begitu bermakna kepada BN.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, pilihan raya umum akan datang bukan pertandingan individu tetapi pertarungan BN dengan parti-parti pembangkang.

Abdullah turut mengingatkan orang Melayu supaya memelihara kuasa yang ada kerana ia akan menentukan kedudukan mereka dalam negara ini pada masa hadapan.

Sementara itu di tempat yang sama, Pemangku Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Hishammuddin Tun Hussein berkata, UMNO sebagai tunjang kerajaan BN tidak akan berkompromi dengan sebarang perkara yang menyentuh hak orang-orang Melayu.

''Kalau akhbar Singapura nak membesar-besarkan isu ini, biarkanlah. Kita ada cara dan saluran sendiri untuk mengatasi perkara sebegini,'' katanya.

Hishammuddin berkata, isu itu akan dibawa ke mesyuarat Exco Pemuda UMNO dan jika perlu dibincangkan pada Konvensyen Pemuda BN di Sabah pada 15 September ini.

Sambil melahirkan kecewa berhubung isu yang dibangkitkan oleh persekutuan itu ketika ini, beliau berkata, jelas isu berkenaan dimainkan semata-mata mengambil kesempatan pilihan raya semakin hampir.

''Permintaan persekutuan itu tidak perlu dilayan,'' katanya sambil menambah, selama ini kerajaan sudah mewujudkan suasana harmoni dengan dasar mengagihkan kekayaan dan kemajuan secara adil tanpa mengira kaum.

Mengenai Konvensyen Pemuda BN di Sabah, beliau berkata, ia akan menjadi ruang untuk ahli-ahlinya membuktikan perpaduan dan kesetiaan terhadap kerajaan.

Oleh: ABDUL HAMID MOHAMAD


Last changed: September 07, 1999