[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

KINI - 7.9.99

Date: 07 Sep 1999
Time: 20:19:01
Remote User: -

Comments

KINI

Masyarakat India Perlu Tolak BN Kaum India di Malaysia mempunyai banyak sebab mengapa mereka perlu menolak MIC dan Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya umum akan datang. MIC dan BN kedua-duanya telah gagal untuk membangunkan masyarakat India. Selepas 42 tahun Malaysia merdeka, sebahagian besar kaum India masih lagi mundur dan hidup dalam kemiskinan. Mereka tersisih dari arus pembangunan. Mereka tercicir dalam pelbagai bidang. Keadaan kaum India semakin buruk sepanjang pentadbiran Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri. Terdapat hampir dua juta rakyat keturunan India di Malaysia, iaitu 8 peratus daripada penduduk negara ini. Daripada jumlah itu, 50 peratus di bawah umur 21 tahun. Daripada sejuta yang layak mengundi, 750,000 adalah pengundi berdaftar. Samy Vellu mendakwa MIC mempunyai keahlian 510,000 orang. Sementara itu, MG Pandithan, Presiden IPF mendakwa partinya mempunyai keahlian seramai 500,000 orang, terdiri daripada pekerja dan mereka yang berpendapatan rendah. Hebat sungguh orang India dalam BN, jauh melebihi bilangan pengundi India!

Indah Khabar Pada Rupa Dr Mahathir Mohamad, ketika merasmikan Perhimpunan Agung MIC ke-53 di PWTC pada 31 Julai lalu, berkata: "Tiada lagi pilihan bagi masyarakat India Malaysia selain BN untuk memperjuangkan aspirasi dan harapan serta nasib anak cucu mereka pada masa depan di bumi bertuah ini," Lalu, Perdana Menteri kemudiannya menyebut statistik kejayaan kaum India. Menurut Mahathir, kini, banyak profesional adalah daripada kaum India dan bilangan ahli profesional kumpulan etnik India antara 1995-1997 menunjukkan peningkatan. Beliau berkata, peratusan orang India dalam bidang profesional mencapai 23.4% daripada jurutera, 12.1% daripada doktor dan 11.1% daripada peguam. Tetapi Dr Mahathir tidak menyebut berapa ramai kaum India yang miskin, tiada rumah dan menghadapi pelbagai masalah sosial lainnya. M G Pandithan, Presiden IPF, ketika menyampaikan ucapan dasarnya dalam Perhimpunan Agung IPF ke-8 pada 1 Ogos lalu di Kuala Lumpur, menyebut satu fakta yang membimbangkan. Katanya, generasi muda India melakukan 30% dari jenayah di negara ini, sedangkan 75% keluarga India tidak mempunyai rumah sendiri. Lebih 85% murid sekolah Tamil gagal dalam pendidikan setiap tahun.

Pekerja Estet Dikhianati BN dan MIC juga gagal menjaga kepentingan beratus ribu orang India yang bekerja sebagai pekerja estet. Estet-estet getah dan kelapa sawit merupakan dua sektor yang menyumbangkan berbilion ringgit setahun kepada ekonomi negara. Tetapi pekerja estet hingga ke hari ini masih dibayar gaji harian. Ada kerja ada gaji. Tak ada kerja, tak ada gaji. Sedangkan mereka perlu hidup dan makan setiap hari. Mereka sudah lama menuntut gaji bulanan. Negara telah merdeka lebih 4 dekad, tetapi tuntutan mereka untuk mendapat gaji bulanan sampai sekarang tidak dilayan. Kenapa? Kerana pihak majikan atau tuan punya estet, yang terdiri daripada syarikat-syarikat korporat, sentiasa berdolak dalih. Mereka sebenarnya enggan memenuhi tuntutan itu. Tuan-tuan punya ladang ini mempunyai pertubuhan mereka sendiri. Mereka bersatu melobi kerajaan BN supaya tidak melayan tuntutan para pekerja ladang itu. Syarikat-syarikat korporat itu mahukan untung tinggi mereka dikekalkan. Kebajikan penoreh getah dan pekerja sawit di estet-estet terus diabaikan.

MIC/BN Gagal Sebahagian besar pekerja ladang ini orang India. Kerajaan BN, yang didukung oleh MIC, IPF, PPP dan Gerakan, terus memihak kepada pendirian tuan-tuan punya estet itu. Jadi, sampai sekarang, keadaan pekerja estet ini terdesak dan susah. Baru-baru ini, seorang Menteri BN, Lim Keng Yeik telah menghina kaum India, terutama pekerja estet. Apabila para pekerja estet itu menuntut gaji bulanan, Menteri Perusahaan Utama itu bukannya menunjukkan simpati atas nasib pekerja-pekerja itu, tetapi sebaliknya, mengeluarkan kata-kata yang biadab dan menghina para pekerja tersebut. Ucapan Lim Keng Yeik di Dewan Negara itu mencerminkan sikap dan pendirian BN yang sebenar terhadap pekerja estet, khususnya kaum India. Lebih 100 tahun lamanya, kaum India di negara ini telah bekerja di estet-estet, iaitu sejak penanaman getah diperkenalkan secara perladangan. Kaum India telah menyumbangkan tenaga mereka untuk membangunkan ladang dan ekonomi negara. Malangnya, hingga ke hari ini, mereka masih dibayar gaji harian. Adakah apabila mereka sakit dan sewaktu musim hujan, para penoreh getah estet tidak menoreh, maka mereka tidak perlu makan? Anak mereka tak perlu ke sekolah? Mana janji BN dan MIC: "Tradisi Membela Rakyat"?

Keadaan Estet Terus Mundur Tidak itu saja. Keadaan kehidupan di estet juga masih amat buruk. Keadaan rumah estet yang disediakan adalah kecil, daif dan sempit. Keadaan persekitaran kurang sihat. Kementerian Sumber Manusia tidak menjalankan tugasnya untuk menyemak perkembangan Skim Pemilikan Rumah untuk pekerja estet bagi memastikan majikan sektor korporat melaksanakan tanggungjawab sosial mereka. Tidak itu saja. Keadaan sekolah-sekolah Tamil di estet sangat menyedihkan. Bukan saja sekolah yang buruk keadaan bangunannya serta kelengkapannya, tetapi guru berpengalaman amat kurang. Persekitaran persekolahan juga tidak memberi semangat untuk murid-murid belajar. Apabila ekonomi negara mengalami pertumbuhan selama sepuluh tahun sebelum kegawatan berlaku pertengahan tahun 1997 lalu, banyak estet-estet getah atau sawit telah dijual kepada pemaju-pemaju yang mengubah ladang-ladang itu menjadi kawasan perumahan, kilang, lebuhraya, lapangan terbang, padang golf, kompleks perniagaan serta bandar baru.

Pekerja Ladang Menjadi Setinggan Akibatnya, ramai pekerja ladang telah hilang tempat mencari makan, dan rumah kediaman. Mereka menjadi mangsa pembangunan. Mereka tercabut dari akar umbi kehidupan dengan mengejut. Sesetengah mereka terpaksa berkerja di kilang-kilang dan tinggal di rumah-rumah setinggan. Kebanyakan mereka yang bernasib malang ini orang India. Mereka sekarang menjadi sebahagian daripada masyarakat miskin di bandar. Di Batu 3 Shah Alam, Selangor, terdapat sebuah kampung yang bernama Kg Sungai Nipah. Penduduknya kebanyakannya kaum India. Rumah-rumah mereka habis dirobohkan dengan kejamnya oleh pihak pemaju dengan kerjasama Pejabat Tanah dan Polis. Pihak pemaju juga menggunakan khidmat samseng-samseng untuk mengganasi penduduk-penduduk kampung itu. Rumah-rumah setinggan kaum India ini musnah sama sekali. Mereka dizalimi. Apakah MIC ambil perhatian akan masalah rakyat terdiri daripada kaum India ini? Jawapannya tidak. Jadi keadaan ekonomi yang buruk ini telah menyebabkan banyak masalah sosial yang berlaku di dalam masyarakat India. Salah satunya ialah timbul masalah sosial seperti gansterisme, jenayah, ketagihan alkohol, penderaan wanita dan kanak-kanak.

Tamat


Last changed: September 07, 1999