[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

1997 lain, 1998 jadi lain.

Date: 07 Sep 1999
Time: 20:25:32
Remote User: -

Comments

Laporan bertarikh 20 Ogos 1997 itu telah diberikan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad.

Teks itu berbunyi:

Pertuduhan ke atas Dato' Seri Anwar Ibrahim

Izinkan saya dengan segala hormat dan takzimnya mengembarkan bersama ini pengakuan bertulis Ummi Hafilda Ali dan Azizan Abu Bakar bertarikh 18 Ogos 1997, yang telah mereka buat secara sukarela untuk diserahkan kepada Dato' Seri (Mahathir).

2. Pengakuan bertulis ini diperolehi menyusuli siasatan terhadap surat layang berjudul Talqin Terbuka Anwar Ibrahim. Berdasarkan surat layang itu, satu laporan polis telah dibuat oleh ASP (Penolong Superintenden Polis) Zull Aznam Haji Harun, adikong polis Dato' Seri Anwar Ibrahim, pada 15 Ogos 1997. Terdahulu dari itu, polis telah juga menerima satu salinan laporan 19 halaman berjudul "Salah Laku Timbalan Perdana Menteri' bertarikh 5 Ogos 1997, yang dialamatkan kepada Dato Seri' (Mahathir). Laporan itu ditandatangani oleh Ummi Hafilda Ali.

3. Berdasarkan laporan ASP Zull Aznam, polis telah menahan Ummi Hafilda Ali dan Azizan Abu Bakar pada 17 Ogos 1997, di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948. Selepas keterangan mereka diambil, mereka telah dibebaskan pada 18 Ogos 1997, atas ikat jamin polis. Keterangan mereka menunjukkan bahawa tohmahan yang dibuat adalah tidak berasas dan lebih bergantung kepada imaginasi dan andaian. Faktor utama yang mendorong Ummi Hafilda Ali untuk mengeluarkan laporan berjudul "Salah Laku Timbalan Perdana Menteri' adalah didasarkan atas rasa curiga bahawa kakak ipar beliau, Shamsidar Taharin, mempunyai hubungan sulit dengan Dato' Seri Anwar Ibrahim. Shamsidar Taharin adalah isteri Mohamed Azmin Ali, setiausaha peribadi timbalan perdana menteri. Azizan Abu Bakar membuat pertuduhan itu kerana beliau dipengaruhi oleh keyakinan Ummi Hafilda Ali, dan sebagai drebar kepada keluarga Mohamed Azmin Ali, beliau tidak suka dengan sikap angkuh Shamsidar Taharin.

Saya juga ingin memaklumkan bahawa menerusi sumber-sumber lain turut menunjukkan tuduhan-tuduhan yang dilemparkan tidak mempunyai bukti dan urutan peristiwa seolah-olah sengaja direka. Di samping itu terdapat pula tanda-tanda bahawa wujud golongan tertentu yang mungkin mempunyai agenda tersendiri dan memainkan peranan di belakang tabir menggalakkan Ummi Hafilda Ali dan Azizan Abu Bakar untuk memburuk-burukkan YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim. Salah seorang daripadanya ialah Muhamad Taib yang dikatakan mendakwa dirinya sebagai pegawai SB kepada YAB Perdana Menteri. Muhamad Taib dikenal pasti sebagai Mohd Taib Salamon, bekas inspektor polis yang sebenarnya telah dibuang kerja.

Berdasarkan hasil siasatan setakat ini, pihak saya tidak bercadang untuk terus menghalusi kes ini."

Tandatangan

Dato' Mohamed Said Bin Awang Pengarah Polis Cawangan Khas (atas perintah Ketua Polis Negara)


Last changed: September 07, 1999