[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

Cadangan Yang Bodoh

Date: 07 Sep 1999
Time: 20:42:17
Remote User: -

Comments

M'SIA GESA PERSETUJUAN GLOBAL KAWAL KANDUNGAN INTERNET

KUALA LUMPUR, 7 Sept (Bernama) -- Malaysia hari ini menyarankan supaya satu persetujuan global dicapai untuk mengawal kandungan negatif dalam Internet dan bagi melindungi orang ramai daripada kesan buruk itu.

Menteri Tenaga, Komunikasi dan Multimedia Datuk Leo Moggie berkata tidak ada satu negarapun dalam dunia yang mampu secara bersendirian menangani masalah itu yang jika tidak dibendung boleh menjejas dan menghakis warisan budaya kebanyakan negara, terutama negara membangun seperti Malaysia.

Bagaimanapun, beliau memberi amaran bahawa masih banyak yang perlu dilakukan untuk menangani masalah tersebut dan oleh itu isu berkenaan harus dibangkitkan sekerap yang boleh dalam forum antarabangsa.

"Adalah agak sukar melainkan satu persefahaman di kalangan negara-negara di dunia dicapai mengenai perlunya untuk mengekang kandungan dalam Internet," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Institut Komunikasi Antarabangsa di sini.

Moggie berkata kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk melindungi orang ramai daripada kandungan negatif dalam Internet terutama pendedahan golongan muda terhadap pornografi.

Moggie juga berkata penjualan menerusi Internet di Malaysia dijangka tumbuh kepada AS$1 bilion pada tahun 2003 berbanding AS$46 juta pada tahun ini.

Dalam ucapannya, Moggie menggesa negara-negara membangun supaya bekerjasama dalam mewujudkan satu rangkaian berita untuk menggalakkan laporan berita yang adil dan tepat.

Beliau berkata pada hari ini kebanyakan daripada negara membangun masih tidak mempunyai agensi berita mereka sendiri dan terpaksa bergantung kepada perkhidmatan agensi-agensi berita asing, sekaligus mendedahkan mereka kepada laporan negatif.

Moggie berkata banyak keputusan pelaburan dibuat berdasarkan berita dan laporan yang disiarkan oleh agensi berita asing dan oleh itu, pengkomersilan bersama-sama dengan persekitaran pasaran terbuka mengakibatkan berita-berita itu dieksploitasi bagi kepentingan ekonomi dan pertimbangan kewangan.

Seramai 200 orang dari 20 buah negara menghadiri persidangan tiga hari itu.-- BERNAMA


Last changed: September 07, 1999