[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

Ariffin Jaka Buat Jenaka

Date: 07 Sep 1999
Time: 20:57:22
Remote User: -

Comments

MAHKAMAH TINGGI PUTUSKAN KREDIBILITI AZIZAN TIDAK PERLU DICABAR

KUALA LUMPUR, 7 Sept (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini memutuskan bahawa kredibiliti Azizan Abu Bakar, saksi utama pada perbicaraan bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menghadapi tuduhan meliwat, tidak perlu dicabar.

Hakim Datuk Arifin Jaka, dalam membuat keputusan itu, berkata beliau berpuas hati dengan penjelasan Azizan berhubung percanggahan itu yang didakwa oleh pembela wujud dalam keterangannya pada perbicaraan sekarang dan dalam perbicaraan rasuah Anwar yang terdahulu.

Arifin berkata penjelasan Azizan boleh diterima dan keterangannya harus dilihat dalam konteks dia menjawab soalan yang dikemukakan kepadanya oleh pihak pembela dan pendakwa semasa kedua-dua perbicaraan itu.

"Oleh yang demikian, kredibiliti saksi itu tidak perlu dicabar," kata beliau dalam menolak percubaan pembela untuk mencabar Azizan kerana keterangan yang dikatakan bercanggah.

Azizan, saksi keenam pendakwaan dalam perbicaraan liwat itu, merupakan bekas pemandu peribadi isteri Anwar.

Anwar, 52, dan adik angkatnya Sukma Darmawan Sasmitaat Madja, 38, dituduh meliwat Azizan di pangsapuri Sukma di Tivoli Villa, Jalan Medang Tanduk, Bangsar di sini, pada pukul 7.45 malam, antara Januari dan Mac 1993.

Sukma, seorang ahli perniagaan, juga menghadapi tuduhan bersuhabat dengan Anwar melakukan kesalahan itu di tempat dan masa yang sama.

Keputusan Arifin menerima bantahan daripada peguam-peguam Anwarmanakala Peguam Negara menuduh mereka sebagai tidak beretika.

Peguam utama Anwar Christopher Fernando berkata adalah jelas bahawa hakim berkenaan tidak menumpukan perhatian kepada keterangan Azizan bahawa beliau tidak lagi diliwat selepas September 1992 sehingga sekarang.

Arifin, bagaimanapun, berkata beliau telah mengambilkira kesemua fakta dan keterangan sebelum membuat keputusan itu.

Peguam-peguam itu berkata keterangan Azizan bahawa beliau melawat rumah Anwar di antara 1992 dan 1997 kerana beliau tidak diliwat oleh Anwar bercanggah dengan pertuduhan terhadap Anwar, yang mendakwanya mengadakan hubungan seks dengan pemandu itu pada 1993.

Hakim menerima penjelasan Azizan bahawa walaupun beliau tidak diliwat di rumah Anwar ia tidak bermaksud bahawa mereka tidak melakukan hubungan seks di tempat lain.

Apabila Fernando mendesak supaya hakim tidak membuat keputusan mengenai kenyataan Azizan bahawa beliau tidak lagi diliwat selepas September 1992 sehingga sekarang, Arifin berkata beliau telah membuat keputusannya dan "keputusan saya adalah muktamad."

"Saya akan memberikan alasan saya kemudian," katanya. Apabila Karpal Singh, seorang lagi peguam Anwar, mahu membantah keputusan itu, Arifin mencelah dan berkata "sama ada betul atau salah, ia adalah keputusan saya."

Karpal Singh menuduh mahkamah di negara ini kerana tidak memenuhi jangkaan dan berkata pembela tidak akan menerima apa sahaja yang dikemukakan kepada mereka kerana seseorang hakim bertanggungjawab membuat sesuatu keputusan berdasarkan bukti yang dikemukakan.

"Kenapa yang arif takut? Adakah tangan yang tidak dapat dilihat mempengaruhi hakim-hakim di negara ini. Tanggapan yang saya dapat ialah hakim-hakim kini ditakut-takutkan. Tidak ada lagi kebebasan dalam badan kehakiman. Ia sangat memalukan," kata Karpal Singh.

Beliau kemudian meminta Arifin supaya menimbangkan semula keputusannya dan menggesa hakim supaya bertindak tanpa rasa takut atau pilih kasih.

"Saya telah menyatakan apa yang perlu saya luahkan. Saya bersedia menerima akibatnya. Majlis Peguam harus berdiri teguh di belakang kami," katanya.

"Dunia antarabangsa kini melihat kita. Jangan kita memperolok-olokkan sistem kehakiman di negara ini. Sekiranya hakim hanya sekadar duduk dan bertindak mengikut apa yang diarah, ia sangat menyedihkan," katanya.

Di tengah-tengah perbalahan itu, Arifin mengalih pandangan kepada Peguam Negara Tan Sri Mohtar Abdullah yang mengetuai pasukan pendakwa dan berkata "Peguam Negara, ada apa-apa yang hendak dikatakan?"

Mohtar berkata: "Kita telah menyatakan apa yang ingin diluahkan. Saya berharap rakan saya yang bijaksana, sebagai anggota kanan Majlis Peguam akan menerima keputusan itu.

"Sekiranya mereka tidak berpuas hati, mereka boleh mengemukakan permohonan di Mahkamah Rayuan. Adalah tidak wajar untuk datang ke sini dan mempersoalkan keputusan itu," katanya.

Mohtar juga berkata komen Karpal itu boleh dianggap sebagai satu penghinaan terhadap mahkamah.

Karpal Singh berkata sebagai anggota Majlis Peguam, beliau dan Fernando mempunyai tanggungjawab untuk memaklumkan kepada mahkamah jika mereka berpendapat mahkamah tidak membuat sesuatu keputusan yang bertepatan.

Beliau juga berkata sebagai anggota Majlis Peguam, para peguam tidak seharusnya merasa takut terhadap dakwaan menghina mahkamah ketika melaksanakan tugas mereka.

"Sekiranya kita takut, lebih baik kita tanggalkan jubah kita dan pergi bertapa di Banjaran Himalaya," kata Karpal.

Beliau kemudian menunjukkan satu keratan akhbar kepada hakim dan meminta hakim supaya menelitinya dengan terperinci.

Artikel itu adalah mengenai para petani yang menyerang Mahkamah Agung di Filipina dengan membaling sayur-sayuran busuk di pintu mahkamah untuk membantah terhadap keputusan mahkamah dalam menolak rayuan mereka berhubung pertikaian mengenai satu tanah ladang.

Selepas Arifin meneliti artikel itu, Karpal berkata beliau berharap keputusan yang dibuat oleh mahkamah di negara ini tidak akan mempunyai kesan yang sama.

Fernando kemudian bangun untuk memberitahu mahkamah bahawa beliau terkejut melihat Mohtar tidak menyertai mereka di dalam menggesa hakim membuat keputusan yang sewajarnya.

Apabila Fernando sekali lagi berkata bahawa Arifin tidak membuat keputusan mengenai kenyataan Azizan bahawa beliau tidak lagi diliwat selepas September 1992 sehingga sekarang, hakim kelihatan geram dan kemudian membacakann keputusannya beberapa kali.

Arifin juga menjelaskan mengenai keputusannya dan berkata beliau telah menimbangkan semua fakta sebelum membuat keputusan itu.

Mohtar memberitahu mahkamah bahawa perkara yang paling penting adalah bahawa mahkamah telah membuat keputusan mengenai isu mencabar kesahihan keterangan seperti yang dikehendaki oleh undang-undang.

Beliau berkata sebagai bekas hakim Mahkamah Sesyen, Fernando "seharusnya tahu perbezaan di antara keputusan dan alasan bagi keputusan itu dan tidak keliru di antara satu dengan yang lain."

Peguam Negara berkata sama ada mahkamah telah mengambil kira semua fakta sebelum membuat keputusan itu hanya boleh dilihat apabila ia memberikan alasan penghakiman kemudian.

"Bagi Karpal Singh, apa yang perlu saya katakan ialah pendakwaan tidak akan mengikut rentaknya untuk menarik perhatian dan menggunakan mahkamah bagi tujuan atau motif lain selain daripada kes itu sendiri," katanya.

Karpal Singh berkata persoalan bahawa beliau ingin menarik perhatian tidak timbul.

"Apa yang saya lakukan ialah tugas saya untuk membantu mahkamah berada di laluan yang betul," katanya.

Karpal Singh berkata tidak ada perbezaan di antara beliau, hakim dan pendakwaan kerana masing-masing mempunyai tugas mereka sendiri tetapi apa yang penting ialah pelaksanaan keadilan harus menurut kehendak undang-undang.

Beliau berkata aduan Fernando bahawa keputusan hakim itu tidak dibuat berdasarkan bukti yang dikemukakan oleh kedua-dua pihak.

Karpal Singh, yang mengakui bahawa hakim mempunyai pilihan untuk tidak memberikan alasan bagi keputusannya, bagaimanapun, berkata "sekiranya seseorang hakim memilih untuk memberikan alasan, ia harus berdasarkan penghujahan kedua-dua belah pihak."

Karpal Singh berkata Mohtar menyebut bahawa pembela boleh membuat rayuan, tetapi beliau kemudian bertanya kepada mahkamah, apa yang akan terjadi sekiranya perkara itu tidak boleh dirayu.

Beliau juga berkata Mohtar telah mengugutnya kerana didakwa menghina mahkamah tetapi Arifin dengan pantas memberi jaminan bahawa perkara itu tidak timbul.

"Tidak ada sebarang ugutan pada ketika ini," kata Arifin, dan Karpal Singh menjawab, "Biarkan beliau (Peguam Negara) menggunakan kuasanya untuk berbuat demikian."

"Kami tidak berkata bahawa kami tidak menerima keputusan itu. Apa yang kami minta ialah supaya mahkamah menimbangkan semula keputusannya dan kami meminta bahawa perkara itu disemak," kata Karpal Singh.

Arifin berkata beliau bersedia berbuat demikian tetapi menegaskan bahawa keputusan awalnya "masih tidak berubah".

Mahkamah kemudian ditangguhkan selama 45 minit bagi membolehkan peguam kedua-dua pihak mendapatkan arahan daripada Anwar dan Sukma sebelum prosiding diteruskan dengan penghujahan.

Perbicaraan disambung esok. -- BERNAMA


Last changed: September 07, 1999