[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

Al- Kataki Cuba Tipu Sultan Brunei

Date: 07 Sep 1999
Time: 22:26:28
Remote User: -

Comments

Kenyataan penuh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Malaysia Ibarahim Ali "Saya ingin merujuk kepada berita yang disiarkan oleh surat khabar Harakah pada 16hb Ogos 1999 dan 19hb Ogos. (Akhbar Parti Pas).

Saya ingin memaklumkan, saya telah mengutuskan warkah peribadi kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah Sultan dan Yang Dipertuan Negara Brunei Darussalam pada 25hb Ogos 1999 bagi menjelaskan berita sensasi yang dimuatkan oleh Akhbar Parti Pembangkang, Harakah pada 16hb dan 19hb Ogos 1999, yang kononnya menuduh Dato Ibrahim Ali menghina Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan.

Sesungguhnya berita tersebut amat dusta dan diputar belitkan oleh pihak tertentu dan Harakah. Pihak Parti PAS, keadilan dan pembangkang memang sentiasa mencari peluang untuk menyerang saya dan memutar belitkan kenyataan kerana saya adalah Pengerusi Jawatankuasa Memerangani Fitnah (Dan Panel Peguam UMNO Majlis Tertinggi UMNO Malaysia). Usaha saya memerangi fitnah terhadap UMNO. Barisan Nasional dan Kerajaan Pimpinan Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad menyebabkan pihak pembangkang amat marah dengan tindakan saya. Mereka akan menyerang saya habis-habisan dan mencari peluang apa sahaja untuk memusnahkan kredibiliti saya.

Saya ingin menyatakan pendidiran saya yang tulus ikhlas bahawa saya amat menyanjung tinggi Kebawah DYMM Al-Sultan Brunei, sebagai seorang Raja yang pemurah dan banyak membantu negara-negara Islam. Kenyataan saya diputar belitkan kononnya Kerajaan Brunei tidak membuat apa-apa pun untuk membantu negara-negara Islam adalah tidak benar sama sekali.

Saya hanya menyatakan dengan jelas bahawa YAB Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad telah memainkan peranan penting dan mengambil peranan dibarisan hadapan dengan aktif dan berkesan di pentas dunia.

Saya menganggap laporan sensasi Harakah, Dato' Ibrahim Ali Hina Sultan Brunei, yang mana tajuk berita ini amat kurang sopan dan sengaja dikelirukan.

Walaupun timbul kekeliruan berikutan laporan yang dibuat oleh surat khabar Harakah itu namun atas hormat saya ke atas DYMM Al-Sultan Brunei, saya melahirkan rasa kesal dan memohon maaf di atas perisitwa tersebut walaupun saya sedikit pun tidak bersalah dengan kenyataan tersebut.

Saya dengan ini berharap isu ini selesai.

Ibrahim Ali minta maaf! BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin - Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Malaysia Ibrahim Ali hari ini melahirkan rasa kesal dan memohon maaf kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berhubung berita kononnya beliau memperkecil-kecilkan sumbangan Baginda Sultan dan Kerajaan Brunei kepada dunia Islam.

Bagaimanapun beliau menafikan mengeluarkan kenyataan berkenaan dan menuduh akhbar Harakah milik parti pembangkang Malaysia, Parti Islam Se-Malaysia (PAS) melakukan dusta dan memutarbelitkan berita berkenaan.

"Saya ingin menyatakan pendirian saya yang tulus ikhlas bahawa saya amat menyanjung tinggi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan (dan Yang Di-Pertuan Negara) Brunei (Darussalam) sebagai seorang Raja yang pemurah dan banyak membantu negara-negara Islam.

"Kenyataan saya diputar belitkan kononnya Kerajaan Brunei tidak membuat apa-apa pun untuk membantu negara-negara Islam adalah tidak benar sama sekali.

"Saya hanya menyatakan dengan jelas bahawa (Perdana Menteri Malaysia) Dr Mahathir Mohamad telah memainkan peranan penting dan mengambil peranan di barisan hadapan dengan aktif dan berkesan di pentas dunia," katanya.

Beliau berkata PAS, Keadilan, satu lagi pembangkang di Malaysia yang dipimpin oleh Wan Azizah Ismail, isteri timbalan perdana menteri yang dipecat Anwar Ibrahim sentiasa mencari peluang menyerangnya dan memutarbelitkan kenyataan kerana beliau adalah pengerusi Jawatankuasa Memerangi Fitnah dan Panel Peguam Majlis Tertinggi UMNO.

"Usaha saya memerangi fitnah terhadap UMNO, Barisan Nasional dan kerajaan pimpinan Dr Mahathir menyebabkan pembangkang amat marah dengan tindakan saya.

"Mereka akan menyerang saya habis-habisan dan mencari peluang apa saja untuk memusnahkan kredibiliti saya," katanya.

Ibrahim turut menyifatkan laporan sensasi dalam Harakah yang bertajuk Datuk Ibrahim Ali Hina Sultan Brunei sebagai "sangat kurang sopan dan sengaja dikelirukan.

Walaupun timbul kekeliruan berikutan laporan yang dibuat oleh Harakah, tambahnya, beliau tetap melahirkan rasa kesal dan memohon daripada Baginda Sultan atas rasa hormatnya kepada Baginda.

Menurutnya, beliau juga telah mengutuskan warkah peribadi kepada Baginda Sultan pada 25 Ogos bagi menjelaskan berita itu.

Dakwaan kenyataan Ibrahim itu menimbulkan kemarahan rakyat dan penduduk negara ini dan dua buah pertubuhan, Parti Perpaduan Kebangsaan Brunei dan Majlis Belia Brunei menghantar nota bantahan terhadap dakwaan kenyataan itu dan meminta Ibrahim meminta maaf secara terbuka.

Barisan Nasional gabungan parti-parti memerintah Malaysia dan ditunjangi oleh UMNO pimpinan Dr Mahathir. Malaysia kini diserang "demam pilihan raya" kerana pilihan raya umum mesti diadakan sebelum Jun 2000.

Penganalisis politik bagaimanapun meramalkan Dr Mahathir akan mengadakan pilihan raya mengejut bila-bila masa dengan mengambil peluang dengan mengambil peluang daripada pemulihan ekonomi sekarang.


Last changed: September 07, 1999