[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

Mahasiswa Bukan Budak Mingusan

Date: 07 Sep 1999
Time: 22:51:22
Remote User: -

Comments

Mahasiswa Bukan Budak Mingusan

Kampus sememangnya tidak pernah menjadi kubu Umno, sejak dahulu lagi, sebelum Akta Universiti diperkenalkan, sehinggalah mutakhir ini apabila wakil-wakil Umno diboo mahasiswa di depan Naib Canselor dan pemimpin kanan universiti. la bukan berpunca daripada rapatnya hubungan pemimpin pembangkang dengan gerakan pelajar-seperti tohmahan Mahathir tetapi disebabkan sikap angkuh-sombong pemimpin Umno dan tabiat suka memperlekeh dan menyalahkan pelajar jika tercetusnya sesuatu isu. Malah, zaman Anwar menjadi Menteri Pendidikan pun, majoriti pelajar tetap anti-establisment, bangga dengan idealisme dan keunggulan perjuangan.

Di sepanjang zaman, golongan pelajar terbukti menjadi penggempur kezaliman, penjulang kebenaran. Tanpa takut dan gentar kepada sesiapa, mereka merintis jalan ke puncak. Suharto mungkin tidak dapat digulingkan jika pelajar Universiti Trisakti tidak menyerahkan nyawa mereka dahulu, berdepan elit tentera yang mengganas. Tunku Abdul Rahman mungkin tidak turun takhta jika mahasiswa ketika itu diam membisu tidak memberi apa-apa respons terhadap persekitaran politik. Medan Tiananmen menyaksikan pelajar-pelajar Cina mati bergelimpangan, tetapi percayalah, perjuangan mereka menuntut demokrasi tidak sia-sia; masa akan menentukan.

Pelajar universiti tempatan cukup kecewa, apabila Anwar semasa menerajui Kementerian Pendidikan langsung tidak meminda AUKU, namun mereka menjadi lebih marah apabila Anwar diperlakukan seaib itu. Sebahagian mereka turun ke jalan-jalan raya di sekitar ibu kata, menunjukkan aksi protes, ada yang digantung pengajian, yang lain tidak segan silu bersama pembangkang menyatakan apa yang terbuku di dada.

Anak-anak kampus bukan budak kecil yang mudah digula-gulakan, tetapi merupakan generasi muda pembentuk sejarah. Mereka segar dan mekar dengan hujah dan kebenaran, tetapi pantang didisiplinkan dengan ugutan dan ancaman. Mereka dituduh tidak berterima kasih kepada pemerintah di atas segala peluang yang diberikan. Apatah lagi sikap PM yang mudah melatah menyalahkan mereka, kononnya pelajar Melayu malas dan tidak berani menghadapi cabaran. Sekali mereka berdemonstrasi, heboh difitnahkan pelajar alat pembangkang. Sekali debat yang dihadiri Pemuda Umno disorak, forum politik yang lain juga dibatalkan. Seolah-olah pelajar itu anak hingusan yang tidak berpendirian.

Pilihan raya akan datang bakal menyaksikan penyertaan luar biasa golongan pelajar untuk turut memeriahkan pesta demokrasi terakhir sebelum abad ke-21. Mereka tidak akan melepaskan peluang keemasan demi memastikan hanya pemimpin dan parti yang terbaik bakal memerintah. "Kami cemburu dengan peranan rakan-rakan kami di Jakarta, Seoul," kata seorang pemimpin pelajar. "Tapi," temannya mencelah, "komitmen mereka telah dibuktikan dengan darah dan air mata-kita bagaimana?"

AHMAD LUTFI OTHMAN


Last changed: September 07, 1999