[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

Mahathir Tidak Konsisten

Date: 07 Sep 1999
Time: 23:02:34
Remote User: -

Comments

Mahathir Tidak Konsisten Politik Melayu semakin terpisah dari bayangan feudalisme dan konsep pelindung

Ketika kami (wakil DETIK, IMRAN BAHA dan ZULKIFLI ROSLAN) tiba di pejabat DR CHANDRA MUZAFFAR di Petaling Jaya, Timbalan Presiden keADILan dan ketua JUST itu baru saja sampai dari Pulau Pinang. Kami tiba di pejabatnya selepas waktu Asar. Dr Chandra kelihatan agak penat tetapi masih bersemangat melayani temu bual yang dijadualkan, biarpun pada malamnya beliau akan berceramah di Damansara. Bekas Profesor Dialog Peradaban, Universiti Malaya itu nampak ghairah tetapi berhati-hati, apabila bercerita mengenai soal pemikiran, politik dan isu semasa. Ikuti sebahagian daripada hasid pertemuan itu.

DETIK: Dalam perhimpunan agung Umno yang lalu, Presidennya, Dr Mahathir Mohamad begitu menekankan mengenai penjajahan semula kuasa asing melalui ekonomi. Sejauh mana pada pandangan Dr perkara ini berlaku?

DR CHANDRA: Istilah itu diguna untuk menyifatkan keadaan di mana penjajah cuba menguasai politik, ekonomi dan budaya antarabangsa. Mereka menguasai dengan cara-cara baru seperti menggunakan ekonomi, teknologi, perbadanan multinasional dan melalui beberapa organisasi lain. Saya berpendapat memang ada gerakan menguasai dunia ini di peringkat antarabangsa, seperti melalui Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO), Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan lain-lain.

Mereka yang dimaksudkan ini, sebagaimana sering saya utarakan melalui tulisan-tulisan saya, dikenali sebagai pusat-pusat kuasa di dunia yang kebanyakannya berada di Barat. Tidak mesti merujuk kepada negara tertentu, tetapi mereka kuasai dunia melalui syarikat-syarikat tertentu. Corak penguasaan itu wujud dan tidak dapat dinafikan. Negara-negara kecil dan lemah menjadi sasaran. Saya lebih suka gunakan istilah "penguasaan semula". Saya tidak berani katakan ia penjajahan baru. Ini kerana ia bukan sahaja melibatkan penguasaan antara negara tetapi suatu proses yang lebih kompleks daripada itu.


Last changed: September 07, 1999