[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

Pertarungan Terhebat Abad Ini

Date: 07 Sep 1999
Time: 23:06:07
Remote User: -

Comments

Pertarungan Terhebat Abad Ini

Ballroom Hotel Nikko malam minggu itu penuh sesak, malah melimpah keluar. Tetamu yang hadir ada kelainannya. Ramai juga yang berkupiah putih dan bertudung labuh. Lagaknya macam menghadiri program agama. Tapi, lebih ramai lagi wajah-wajah yang tidak begitu popular dengan majlis seumpama itu. Dari jumlah meja yang disediakan, tidak kurang seribu warga kota menghadirinya. Sebelum menjamah hidangan, mereka disajikan dengan tazkirah penuh bermakna oleh tokoh yang menjadi tumpuan: Tok Guru Nik Aziz Nik Mat. Temanya mudah, menggarap kehidupan seharian, tetapi sentuhan politiknya kemas dan mengena! Tok Guru nampak letih. Masakan tidak, paginya berdialog dengan Majlis Peguam Kuala Lumpur, petangnya bersama Muslimat PAS di Gombak.

Dan malam itu berdepan dengan peminat PAS yang terdiri dari pelbagai latar belakang. Dibantu Dr Hassan Ali, keceriaan terbayang di wajah Tok Guru.

"Malam ini Tok Guru bersemangat sekali, berbanding program dialog di Sheraton Subang dulu," jelas Izani, wartawan muda Eksklusif. Huraian dan bidasan Tok Guru memukau, sesekali disambut tepukan bergemuruh, sesuatu yang asing dalam program PAS.

Dialog Bersama Tok Guru itu bertujuan mengutip derma pilihan raya PAS Subang Jaya. Sambutannya cukup membanggakan, ramai kecewa tidak dapat bersama kerana terlambat membuat tempahan. Saya cukup bertuah kerana dapat bersua muka dengan teman-teman sekampus, yang dulunya langsung tidak mengambil hirau soal persatuan, apatah lagi untuk condong kepada pembangkang. "Kami terlambat, hanya dapat meja di luar dewan," beritahu seorang jururutera, yang datang bersama ahli-ahli lembaga pengarah syarikatnya. "Ramai lagi nak datang, tapi tempat dah habis." "Makan sambil berderma," celah seorang lagi teman lama, bekas aktivis Pemuda Umno. "Kita pakat-pakat tumbangkan BN." Dia tempah dua meja, 20 orang, habis RM2,000, untuk kawan-kawannya.

Menurut Hassan Ali, majlis makan malam bersama Tok Guru tidak tamat di situ saja. Banyak lagi program yang sama menunggu di hotel-hotel ternama. "Dari segi psikologi, minda ahli PAS sudah bersedia untuk memimpin parti yang memerintah," seorang pemberita mengulas. "Dan bersama mereka adalah rakyat pelbagai lapisan, dari yang paling atas hinggalah ke akar umbi." Benar, gelombang '99 ini cukup terasa.

Apabila ada percubaan akhbar untuk menohmahkan PAS komersialkan ceramah politiknya dengan mengutip RM5 seorang, respons yang diterima di luar dugaan, bukan mengutuk parti Islam itu, tapi: "Bagaimana kami boleh derma kepada PAS? Bantuan lain kami tak mampu, tapi sekadar seratus dua, tidak jadi masalah." Utusan, seperti biasa, mencari sudut untuk burukkan PAS, dengan menyiarkan berita Ustaz Fadzil mahu lelong Putrajaya. Tapi, reaksi pembaca tidak menyebelahinya: "Memang patut dilelong saja mahligai PM dan harta kroninya." Malah, ada mencadangkan: "Mahathir pun elok dilelong sama. Tapi, takut tak laku pula, macam filem Tiga Abdul." Esoknya, saya menghadiri Konvensyen Pemuda Malaysia, di Hotel Federal. Ketua-ketua Pemuda parti alternatif, Mahfuz, Ezam, Teng dan Faizal bersepakat meneruskan misi. Majlis itu, bagi saya, satu pendedahan terbaik buat peserta mengenali perbezaan dan kerencaman PAS, DAP, keADILan dan PRM. Ya, bukan mudah membentuk permuafakatan antara parti berlainan ideolog, apatah lagi jika sentiasa dirasuk jarum media pro-BN.

Reaksi segera beberapa orang wakil DAP ke atas piagam pengundi yang dibentangkan Mahfuz cukup menarik. Wakil Pemuda keADILan, yang merupakan bekas Setiausaha Agung Pemuda MIC merumuskan: "Sepanjang 12 tahun dalam MIC, tak pernah saya hadiri program antara Pemuda BN yang begitu terbuka seperti hari ini." Biarpun mungkin timbul perbalahan dan perselisihan, khususnya pembahagian kerusi, tapi saya merasakan jalinan pembangkang kini jauh lebih matang dan mantap berbanding Angkatan-Gagasan Rakyat dulu. Masing-masing ada prinsip yang mahu dipertahankan, atau keegoan yang menyukarkan kompromi, namun semangat kesedaran rakyat jangan sesekali dikhianati. Apabila berbondong-bondong rakyat menjadi ahli pembangkang, dana untuk melancarkan kempen mudah dipenuhkan, propaganda BN menikam tuan, dan sokongan tidak ter' had daripada golongan tertentu lagi, hanya kebijaksanaan sesama pemimpin parti alternatif dipinta. Mengekalkan mood rakyat l sama penting dengan memastikan imej gabungan pembangkang setara BN. Biar pilihan raya kali ini adalah pertarungan terhebat abad ini, apabila Mahathir berdepan Fadzil Noor.


Last changed: September 07, 1999