[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

Antara Sebab Pilihanraya Tak Jadi Bulan Ini

Date: 07 Sep 1999
Time: 23:25:17
Remote User: -

Comments

FADZIL DAKWA SOKONGAN UNDI MELAYU KEPADA BN MENURUN 20 PERATUS

ALOR SETAR, 8 Sept (Bernama) -- Presiden PAS Datuk Fadzil Noor mendakwa sokongan pengundi Melayu kepada Barisan Nasional (BN) merosot sehingga 20 peratus apabila Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad mengkritik Datuk Dr Harun Din.

Beliau berkata, oleh sebab itu pilihan raya tidak jadi diadakan pada bulan ini, seperti yang diramalkan oleh banyak pihak, kerana BN bimbang dengan kemerosotan pengundi-pengundi Melayu terbabit.

"Saya dapat maklumat ini daripada pegawai kerajaan sendiri ketika berceramah di Jengka, Pahang baru-baru ini," katanya dalam ceramah politik di Alor Janggus dekat sini, malam tadi.

Tanpa mendedahkan status kakitangan kerajaan itu, Fadzil berkata, pegawai itu memberitahunya masyarakat Melayu yang menyokong BN kini begitu marah apabila Dr Mahathir dikatakan menghina Dr Harun, yang mereka anggap sebagai ulama.

Katanya, orang ramai tidak dapat menerima bila Dr Mahathir mencela Dr Harun, yang juga anggota Pas, sebagai seorang bomoh yang mengambil kesempatan melariskan "air penawar"nya.

"Dr Mahathir pernah menyatakan di Melaka tidak lama dulu, Dr Harun tidak sewajarnya dianggap ulama kerana memaki hamun beliau (Dr Mahathir) dan mengambil kesempatan menipu orang ramai dengan air jampinya," katanya lagi.

Fadzil sambil mempertahankan Dr Harun berkata, Dr Harun tidak pernah meminta orang ramai datang mengambil air penawar daripadanya, sebaliknya mereka sendiri yang datang kepada beliau bagi mendapatkan air penawar itu.

Katanya, air penawar itu dijampi dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran bagi tujuan untuk meminta kepada Allah supaya menyembuhkan pelbagai penyakit.

Mengenai Dr Harun yang pernah mendapat rawatan di Australia bagi sakit jantung Fadzil berkata, doktor pakar kerajaan sendiri yang mengesyorkan supaya Dr Harun mendapat rawatan di sana.

"Semasa itu, kemudahan merawat pesakit jantung di negara kita belum maju, jadi sudah sewajarnya Dr Harun mendapat rawatan di sana," katanya lagi. -- BERNAMA


Last changed: September 07, 1999