[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

Bukti Pemimpin BN Rasuah..........

Date: 07 Sep 1999
Time: 23:36:03
Remote User: -

Comments

PEMIMPIN DARI KEDAH ANTARA YANG TERLIBAT DALAM DOKUMEN RAHSIA

ALOR SETAR, 8 Sept (Bernama) -- Ketua Pemuda Parti Keadilan Nasional (Keadilan) Ezam Mohd Noor sekali lagi mendedahkan antara pemimpin-pemimpin yang akan dibongkarkan penyelewengan mereka melalui "enam kotak dokumen rahsia" ialah pemimpin dari Kedah.

Katanya, kesemua enam kotak dokumen yang tersimpan di luar negara itu adalah mengenai penyelewengan dan amalan rasuah pemimpin kerajaan Barisan Nasional (BN) dan tokoh-tokoh korporat termasuk dari Kedah sendiri.

"Ingin saya tegaskan, dokumen itu bukannya dokumen rasmi kerajaan dan kita akan dedahkan satu persatu tidak lama lagi mengenai penyelewengan yang terkandung dalam dokumen itu," katanya semasa menyampaikan ceramah di Alor Janggus, dekat sini, malam tadi.

Bagaimanapun, Ezam tidak menyatakan bilangan dan nama pemimpin dari Kedah itu.

Katanya, tuduhan rasuah melibatkan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Rafidah Aziz dan bekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Rahim Tamby Chik adalah antara kandungan yang terdapat dalam dokumen tersebut.

"Itu baru setengah kotak sahaja, kita ada banyak lagi yang akan didedahkan dan ianya selamat tersimpan di luar negara," katanya lagi.

Beliau berkata, sejak mendedahkan kewujudan dokumen rahsia tersebut beliau menghadapi tekanan daripada pelbagai pihak termasuk dari polis sendiri.

Tetapi, katanya, beliau sanggup menghadapi apa sahaja tindakan yang akan diambil demi menegakkan keadilan.

Ezam juga melahirkan rasa kecewa apabila polis tidak mengambil tindakan segera ke atas laporan polis yang dibuatnya, tetapi bila pihak lain membuat laporan polis terhadapnya, beliau segera dipanggil untuk membantu siasatan. -- BERNAMA


Last changed: September 07, 1999