[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

Hebat Betul Orang Tua Ini....Pandangan Cukup Bernas.

Date: 08 Sep 1999
Time: 01:45:26
Remote User: -

Comments

BOLEH SENTUH POLITIK, BUKAN KEPARTIAN - KATA NIK AZIZ

KOTA BAHARU, 8 Sept (Bernama) -- Menteri Besar Datuk Nik Aziz Nik Mat berkata umat Islam boleh berbincang mengenai pelbagai isu semasa termasuk politik di masjid dan surau manakala imam juga boleh menyentuh perkara itu di dalam khutbah.

Bagaimanapun beliau tidak bersetuju aktiviti kepartian dijadikan bahan perbincangan dalam masjid dan surau, umpamanya perkara yang berhubung dengan aktiviti mana-mana parti politik, baik UMNO mahupun PAS.

Nik Aziz berkata orang ramai perlu faham bahawa "soal politik" dan "aktiviti kepartian" adalah dua perkara yang berbeza.

Ajaran Islam tidak pernah memisahkan antara politik dan agama, sebaliknya dalam Islam kedua-dua bidang itu tidak boleh dipisahkan, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Tilawah Al-Quran peringkat negeri kali ke-42 di sini malam tadi.

Beliau ditanya mengenai persoalan yang timbul di kalangan masyarakat Islam ekoran tindakan sesetengah imam membaca khutbah yang dikatakan berbau politik.

Ketika merasmikan majlis itu, Nik Aziz menegur segelintir umat Islam yang berpuas hati dengan sekadar mendengar bacaan Al-Quran secara sepintas lalu melalui kaset.

Menurutnya perbuatan itu seolah-olah menjadikan bacaan ayat-ayat suci sebagai bahan hiburan yang setaraf dengan nyanyian.

Beliau berkata budaya menjadikan bacaan Al-Quran sebagai aktiviti untuk mendapat berkat sahaja patut dielakkan kerana ia bercanggah dengan tujuan asal kitab suci diturunkan iaitu untuk dijadikan sumber kehidupan.

Sebanyak 11 qari mengambil bahagian pada tilawah itu. Kategori qariah tidak diadakan sejak PAS menerajui kerajaan negeri, sembilan tahun lepas.

Pemenang akan diumumkan malam ini dan penyampaian hadiah dijadual dilakukan oleh Tengku Mahkota Kelantan. -- BERNAMA


Last changed: September 08, 1999