[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

KINI special edition - 28 - 8.9.99

Date: 08 Sep 1999
Time: 01:51:57
Remote User: -

Comments

KINI special edition demi keadilan, kemajuan, perpaduan Isu No. 28 – 8 September 1999

Mahathir Mahu Pancing Undi Peneroka Felda Kelmarin, 7hb September, Dr Mahathir Mohamad telah melawat Felda Jengka. Ini satu dari stesyen tempat dia singgah dalam siri "road shownya" menjelang pilihanraya umum nanti. Pahang negeri besar dan penting. Pahang antara negeri di mana BN dikatakan tergugat. 30% rancangan Felda di Malaysia terletak di Pahang. Gugusan Jengka yang terdiri dari beberapa buah Tanah Rancangan Felda mempunyai 17,000 orang peneroka. Jengka terletak di dalam kawasan Parlimen Temerloh. Triang juga terletak dalam Parlimen Temerloh. Di Triang, seperti di Jengka, juga banyak tanah rancangan Felda. Temerloh ialah kawasan Datuk Sabaruddin Chik, bekas Setiausaha Agung UMNO dan bekas Menteri Kebudayaan dan Pelancongan. Kedudukan Sabaruddin terancam sekarang sejak hilang jawatan. Kedudukan UMNO dan BN di Temerloh dan di Pahang goyang. Sebab itu, Mahathir terpaksa pergi ke Pahang dan pergi ke Felda Jengka. Tiada siapa yang jahil yang akan menganggap lawatan Mahathir ke Jengka itu sebagai satu lawatan biasa. Selama ini, Mahathir tidak peduli akan Felda. Apabila rakyat Felda mula berpaling kepada parti Alternatif, Mahathir mulai cemas. Setiausaha Agung UMNO, Datuk Khalil Yaakob, yang juga bekas MB Pahang, tentu sudah berbisik kepada Mahathir akan keadaan cemas UMNO di kawasan Felda. Bukan di Pahang sahaja, tetapi di seluruh negara. Datuk Najib juga tentu sudah beritahu sesuatu kepada Mahathir supaya segera turun ke tanah Felda sekarang sebelum terlambat. Selama ini, Mahathir hanya berkunjung ke Langkawi untuk Pameran LIMA, Perlumbaan Le Tour D'Langkawi, Dialog Antarabangsa Langkawi dan Menyambut kepulangan Pelayar Datuk Azhar Mansor dengan Jalur Gemilangnya.. Mahathir juga kelihatan di TV hanya asyik dengan projek Cyberjaya, KLIA, Putrajaya dan Litar Lumba kereta Formula Satu di Sepang dan Menara Kembar Petronas. Tidak cukup itu, Mahathir sanggup terbang ke Rusia hanya kerana hendak tenguk kilang buat pesawat kapalterbang. Kemudian Mahathir ke Cina pula. Kemudian kembali semula ke sebuah wilayah di Rusia juga. Tetapi nasib peneroka Felda yang terdesak sekarang, Mahathir tak hirau. Hanya apabila Mahathir, UMNO dan BN terdesak barulah mereka ingatkan peneroka Felda. Selama ini, Mahathir hanya kisahkan tentang turun naik harga saham. Turun naik harga sawit dan getah Mahathir tak berapa pedulikan. Hanya sekarang, dia buka mata apabila rakyat di tanah rancangan Felda hampir jatuh papa. Mahathir lebih tumpukan fikiran tentang bagaimana hendak tolong korporat-korporat bermasalah yang terdiri daripada kroni-kroni dan anak-anaknya sendiri. Masalah peneroka Felda sekarang sangat banyak. Ini bukan fitnah. Ini kenyataan. Satu realiti. Ada bukti. Boleh disokong angka dan statistik. Ada 112,000 peneroka Felda di seluruh negara. Jika satu keluarga ada lima isirumah, maka setengah juta orang berada di tanah rancangan Felda. Tanaman Felda yang utama ada dua jenis, iaitu getah dan kelapa sawit. Keuntungan bersih Felda tidak kurang RM2 bilion setahun berdasarkan jumlah pengeluaran hasil sawit dan getah.

Masalah Peneroka Felda Bertambah Berat Masalah-masalah Peneroka Felda disenaraikan seperti di bawah ini: 1. Masalah utama peneroka Felda ialah kejatuhan harga getah dan kelapa sawit. Harga kedua-dua komoditi ini di pasaran dunia jatuh sekarang. Harga getah sekerap basah hanya 73 sen sekilogram. Harga sawit pula jatuh hampir separuh. Pada akhir tahun 1998 dulu, harga setan sawit ialah RM400. Tetapi sekarang RM200 setan. Felda beli dari peneroka kadang-kadang tak sampai RM200. 2 Para peneroka sekarang di mana-mana tanah rancangan Felda di seluruh negara menganggap pihak pengurusan Felda menindas mereka dengan mengenakan bermacam-macam potongan ke atas pendapatan mereka; 3 Pemotongan ke atas pendapatan peneroka menjadikan kehidupan peneroka semakin terdesak. Ini kerana harga barang keperluan harian seperti makanan seperti beras, gula, tepung, minyak masak, ikan, susu dan sebagainya telah naik mendadak. Belanja persekolahan anak, bil air dan api serta telefon juga tinggi. 4 Pihak pengurusan Felda membeli hasil keluaran peneroka seperti kelapa sawit lebih rendah berbanding harga di pasaran. Pihak peneroka dilarang oleh pengurusan Felda untuk menjual sawit ke pihak luar (peraih swasta). Peneroka menganggap ini semacam satu penindasan. Contohnya, ketika harga sawit tinggi, pihak swasta membeli daripada peneroka sebanyak RM420 setan, tetapi Felda membeli dengan harga RM360 sahaja. Peneroka tidak boleh menjual kepada pihak swasta kerana dianggap sebagai melanggar perjanjian antara peneroka dan Felda. Selain dari itu adalah salah menjual sawit ke pihak swasta kerana peneroka tidak ada lesen menjual. Lesen itu dikeluarkan oleh PORLA. PORLA pula tidak mengeluarkan lesen itu kepada peneroka. Semasa harga rendah sekarang. Felda membeli sawit dari peneroka dengan harga RM 150 setan, sedangkan pihak swasta di luar Felda sanggup membeli RM 200 setan. Peneroka tidak puas hati akan perbezaan yang besar ini. 5 Pihak peneroka tidak puas hati dengan syarat-syarat perjanjian antara peneroka dengan pihak Felda. Biarpun segala hutang telah dibayar dan pihak peneroka diberi sijil hak milik secara bekumpulan, (bukan sijil milik bersendirian secara individu), terdapat banyak sangat syarat yang merugikan pihak peneroka tetapi menguntungkan pihak Pengurusan Felda. Misalnya hak untuk menanam semula disyaratkan supaya dilakukan oleh pihak Pengurusan Felda sahaja. 6 Pihak Pengurusan Felda untung besar melebihi RM2 bilion setahun tetapi hanya RM7.2 juta sahaja dibelanjakan untuk kebajikan kira-kira setengah juta penduduk di tanah rancangan Felda di seluruh negara. 7 Agensi Felda yang sepatutnya berfungsi untuk membantu peneroka tetapi selepas lebih 30 tahun, Pengurusan Felda telah bertukar menjadi satu birokrasi bersifat gergasi yang hanya memikirkan keuntungan Felda sebagai satu korporat dan mengabaikan nasib peneroka itu sendiri. Agensi Felda memusuhi peneroka yang mahu berdikari. 8. Peneroka tidak puas hati kerana pihak Pengurusan Felda terlalu memberi perhatian kepada perniagaan syarikat-syarikat korporat Felda sendiri. Kepentingan peneroka tidak dipedulikan. Koperasi-koperasi yang ditubuhkan oleh peneroka hidup segan mati tak mahu kerana mendapat saingan dari sayrikat-syarikat perbadanan Felda sendiri. Agensi Felda sekarang sebahagian kerjanya ialah berniaga. Bukan seperti fungsi asalanya dulu. 9. Di kebanyakan tempat, peneroka Felda hanya mendapat sara hidup RM200 sahaja sebulan. Itu pun bukan merupakan wang, tetapi dalam bentuk kredit pengambilan barang-barang keperluan harian di kedai Felda. RM200 itu tidak cukup bagi menanggung sesuatu keluarga. Pada mereka yang mengamalkan sistem blok, peneroka itu hanya mendapat pendapatan bulanan antara RM350 hingga RM450 setiap bulan. Paras pendapatan bagi garis kemiskinan di negara ini bagi lima orang isi rumah bagi satu keluarga ialah RM460 sebulan. Jadi ramai peneroka Felda sekarang hidup di bawah garis kemiskinan jika mereka tidak ada sumber-sumber pendapatan lain. 10. Anak peneroka ataupun generasi kedua Felda juga menghadapi masalah besar. Masalah kurangnya pusat-pusat latihan kemahiran dan vokesyional bagi anak-anak peneroka untuk mendapatkan kemahiran bagi membolehkan mereka bekerja dengan pendapatan yang baik. Pada hari ini, anak-anak peneroka yang ada di tanah rancaangan itu dijadikan pekerja sahaja di ladang-ladang yang diusahakan oleh Felda Plantations. 11. Peneroka-peneroka Felda di seluruh negara tidak puas hati dengan Wang Tabung Tanam Semula yang dipegang oleh pihak Pengurusan Felda. Para peneroka menuntut supaya wang tabung tanam semula itu diberikan kepada peneroka untuk membolehkan mereka secara berdikari menanam semula tanah mereka. Satu contoh konkrit ialah seramai 140 orang peneroka Felda Air Tawar Satu, Kota Tinggi, Johor telah mengambil keputusan baru-baru ini untuk mengambil peguam bagi mengeluarkan wang caruman mereka dalam Tabung Tanam Semua dari Felda. Mereka adalah ahli Persatuan Kebangsaan Pekebun Kecil Malaysia (PKPKM). Menurut perjanjian antara peneroka dengan Felda, setiap peneroka disyaratkan menabung sekurang-kurangnya RM9,600 untuk tabung tersebut sehingga selesai membayar hutang untuk tempoh selama 20 tahun. Setiap peneroka dianggarkan memiliki RM17,000 termasuk faedah diperolehi apabila masing-masing selesai membayar hutang dalam tempoh itu. 12. Masalah juga timbul di sesetengah kawasan Felda di mana para peneroka rasa tertipu dalam kes penjualan tanah Felda kepada pihak-pihak pemaju. Contohnya seperti berlaku di Felda Sendayan, negeri Sembilan. Seramai 460 orang peneroka Felda Sendayan rasa tertipu dengan perjanjian jual beli tanah yang diuruskan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Negeri Sembilan (PKKKS). Menurut perjanjian, mereka perlu dibayar harga tanah di antara satu RM1 juta hingga RM1.3 juta dalam tempoh dua tahun dari tartikh menandatangani perjanjian. Tetapi hingga kini mereka hanya menerima 10%, iaitu lebih kurang RM100 ribu sahaja. Manakala 53 orang peneroka yang enggan menjual tanah mereka telah dikenakan tindakan rampas melalui Kanun Tanah Negara. Para peneroka yang telah menjual tanah mereka menuntut supaya hak milik tanah mereka dikembalikan dan perjanjian yang ditandatangani itu dibatalkan. Masalah yang sama berlaku di beberapa tanah rancangan Felda, misalnya di Felda Cahaya Baru di Masai, Johor. Terlalu banyak masalah yang dihadapi oleh peneroka Felda di bawah BN yang dipimpin oleh Mahathir. Tugas peneroka Felda sekarang ialah untuk sama-sama membuat perubahan. Jika pengundi-pengundi di tanah rancangan Felda mengundi Barisan Alternatif, banyak calon-calon BN di Pahang, Johor, Negeri Sembilan, Perak, dan Trengganu akan tumbang.

Nasib Pekebun Kecil Getah Lambat Diberi Perhatian Kabinet dalam mesyuaratnya pada hari Rabu lalu, 1 September telah membuat keputusan menubuhkan satu Jawatankuasa Kabinet bagi membantu 400,000 pekebun kecil getah negara ini untuk menambahkan pendapatan mereka ekoran kejatuhan harga komoditi itu di pasaran dunia sekarang. Kejatuhan harga getah telah menjejaskan teruk pendapatan pekebun kecil di seluruh negara. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengaku sendiri bahawa pendapatan pekebun kecil getah sekarang ialah RM3,000 setahun. Ertinya tidak sampai RM300 sebulan. Pendapatan seperti itu berada di bawah garis kemiskinan. Ini bermakna ramai pekebun kecil getah di seluruh negara sekarang berada dalam kemiskinan. TPM terpaksa mengaku bahawa keadaan pekebun kecil getah sekarang amat terdesak. Langkah kerajaan BN pimpinan Dr Mahathir Mohamad membentuk Jawatankuasa Kabinet untuk menangani masalah pekebun kecil getah merupakan langkah yang positif, tetapi agak terlambat. Masalah ini telah berlarutan bertahun-tahun. Jumlah pekebun kecil getah di seluruh negara seramai 400,000 orang. Mereka ini terdiri daripada pekebun kecil di luar bandar, di tanah rancangan Felcra dan juga Felda. Mereka ini merupakan golongan terbesar di luar bandar. Kebanyakannya orang Melayu yang menjadi teras kekuatan UMNO dan BN yang memerintah. Pilihanraya umum sudah dekat. Kegelisahan orang-orang Melayu terhadap perpecahan dalam UMNO berkaitan dengan kes Anwar Ibrahim masih belum reda. Dengan harga getah yang rendah, ramai orang UMNO dan pengundi Melayu di luar bandar mungkin menolak BN kali ini. Ini yang ditakuti oleh pemimpin tertinggi UMNO dan BN. 400,000 pekebun kecil getah itu orang kampung. Mereka adalah petani dan pekebun. Mereka bukan golongan korporat ataupun kroni Mahathir dan Daim. Nasib mereka lambat diberi perhatian. Harga getah sekarang sangat rendah. Kehidupan mereka sangat sukar. Mereka di ambang kemiskinan. Sebahagiannya sudah pun terjerumus kembali ke dalam kemiskinan.

Tamat

Untuk menyertai senarai kami, sila hantar mesag kosong ke: kini-malaysia-subscribe@egroups.com the-malaysian-subscribe@egroups.com

Untuk keluar dari senari tersebut, sila hantar mesag kosong ke: kini-malaysia-unsubscribe@egroups.com the-malaysian-unsubscribe@egroups.com

Sila lawat laman kami di: http://kini.webjump.com/ http://berita.webjump.com/

Para penerima diminta mencetak, menyalin dan mengedar Kini, terutamanya kepada mereka yang mungkin berminat. Kami juga menghendaki alamat e-mail supaya dapat mengirim risalah harian ini secara langsung.

Terima kasih atas kerjasama anda.


Last changed: September 08, 1999