[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

KINI - 9.9.99

Date: 09 Sep 1999
Time: 00:16:38
Remote User: -

Comments

Lagi-Lagi Majoriti Dua Pertiga.... Malam Hari Rabu (1.9.1999), mesin propaganda BN, TV3, telah menengahkan kenapa BN perlu diberi kemenangan dua pertiga dalam pilihanraya akan datang. Seperti biasa, alasannya ialah Malaysia memerlukan kerajaan yang kuat untuk meneruskan pembangunan dengan pesat. Mahathir sendiri selalu berkata bahawa tanpa kemenangan dua pertiga BN, akan berlaku huru-hara. Peristiwa 13 Mei 1969, ketika rusuhan kononnya tercetus apabila Perikatan gagal mengekalkan majoriti dua pertiga, dijadikan contoh. Sebenarnya, peristiwa 13 Mei berlaku akibat dari perasaan tidak puas hati rakyat kepada kerajaan Perikatan yang dipimpin UMNO pada ketika itu. Malah, separuh daripada pengundi Melayu menolak UMNO-Perikatan dalam pilihanraya itu. Natijahnya ialah prestasi Perikatan, khususnya MCA dan UMNO, merosot. Penyokong MB yang nyaris kehilangan kuasa kemudiannya memulakan rusuhan. Isu perkauman digunakan sebagai bahan api dalam keadaan tegang yang wujud. Ini berlaku kerana pemimpin UMNO tidak tahu menghormati keputusan rakyat. BN hanya memerlukan majoriti mudah untuk terus memerintah. Dengan majoriti mudah, ia masih boleh menggubal dan meminda undang-undang dan meluluskan belanjawan. Majoriti dua pertiga hanya diperlukan untuk meminda perlembagaan. Jadi kenapa Mahathir begitu bimbang mengenai isu dua pertiga majoriti?

Mahathir Tergugat Sebenarnya, kebimbangan Mahathir ini berpunca dari kegelisahannya terhadap sokongan dari dalam UMNO dan BN sendiri. Keadaan UMNO kini semakin goncang. Satu laporan yang disediakan Najib kepada MKT UMNO melaporkan bahawa separuh dari 17,000 cawangan UMNO kini telah lumpuh. Banyak cawangan yang telah dibubarkan atau tidak aktif kerana protes senyap ahli-ahli UMNO. Yang lebih membimbangkan Mahathir ialah dengan kemenangan majoriti mudah, ada di antara ahli-ahli Parlimen BN mungkin akan berpaling tadah dan menggugat kedudukan majoriti itu. Terdapat tiga kemungkinan bagaimana ini akan berlaku. Pertama, masih terdapat golongan yang bersimpati dengan Dato Seri Anwar Ibrahim dan mereka ini mungkin akan menyeberang kepada KeADILan jika kemenangan majoriti mudah BN tipis. Sebab inilah, anggota SB telah dikerah menyiasat wakil-wakil rakyat UMNO sejak Julai untuk mengenalpasti sebarang salahlaku mereka untuk digunakan sebagai bahan ugutan. Mahathir berharap ini akan memastikan "kesetiaan" mereka. Kedua, terdapat kelompok-kelompok lain yang mungkin akan menggugat majoriti mudah dengan mengancam akan keluar dari UMNO atau menyokong usul undi tidak percaya jika dibawa oleh pembangkang. Kelompok-kelompok ini terdiri dari kalangan penyokong Abdullah Badawi, Najib dan Tengku Razaleigh. Mereka ini sedar Mahathir adalah liabiliti kepada UMNO dan akan menggunakan pengaruh mereka untuk memaksa Mahathir meletak jawatan atau mengugut menyeberang ke pihak pembangkang. Dan setiap dari mereka mempunyai cita-cita menjadi Perdana Menteri. Ketiga, lain-lain parti komponen BN mungkin akan keluar dari BN dan menyertai Barisan Alternatif. Banyak parti-parti ini tidak senang dengan apa yang dilakukan Mahathir. Kita dapat lihat Gerakan telah mengambil beberapa pendirian, seperti menuntut pemansuhan ISA, OSA dan Akta Universiti, yang menunjukkan mereka ingin menjauhkan diri mereka dari UMNO dan Mahathir. Malahan, MCA sendiri menunjukkan tanda-tanda ingin menjarakkan diri mereka dari Mahathir. Tindakan Persekutuan Persatuan-persatuan Cina Malaysia mengisytihar pendirian mereka berkecuali dan kemudian membuat beberapa tuntutan yang lebih menyerupai tuntutan-tuntuan pembangkang amat bererti. Ini kerana Persekutuan ini dipimpin oleh ahli MCA dan dalam pilihanraya-pilihanraya sebelum ini selalu mengambil pendirian menyokong BN. Parti-parti komponen yang lebih kecil seperti MIC dan parti-parti dari Sarawak sudah tentu tidak akan kekal bersama UMNO jika MCA dan Gerakan menyeberang ke pihak Alternatif. Keadaan inilah yang memeningkan Mahathir. Inilah yang menjadikannya merasa tidak terjamin dengan kemenangan majoriti mudah sahaja. Dia meragui kesetiaan semua pihak, dari kalangan UMNO dan juga parti-parti komponen BN. Sebab itulah dia perlukan sangat majoriti dua pertiga. Dia perlu memastikan dia mempunyai lebihan yang selesa supaya jika ahli UMNO atau parti-parti BN berpindah ke Barisan Alternatif, dia masih dapat sekurang-kurangnya bertahan dengan majoriti mudah.

Mahathir dan Daim: Bagai Tikus Membaiki Labu Dr Mahathir Mohamad, yang selalu yakin diri dengan semangat "Malaysia Boleh", pun berdebar-debar menghadapi tarikh 1 September. Beliau dan ramai lagi termasuk para pelabur agak lega apabila Indeks Komposit Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) menurun 14.15 mata sahaja untuk tutup pada 752.91 mata. Tiada pengeluaran besar dana asing. Akhbar-akhbar pro-Mahathir berkata, kebanyakan pelabur asing membuat keputusan untuk terus melabur di sini. Urusniaga BSKL semalam dianggap biasa. Tiada kejutan besar. Penurunan Indeks Komposit dianggap sebagai pembetulan biasa selaras penurunan semalaman di New York, kata mereka. Boleh jadi betul atau sebaliknya, kata-kata mereka itu. Bagaimanapun, sebanyak RM1.246 bilion pelaburan portfolio asing telah dibawa keluar dari Malaysia pada hari semalam. Saham-saham rugi mengatasi untung, iaitu 566 berbanding 104. Reaksi Dr Mahathir terhadap apa yang berlaku di BSKL juga menunjukkan dua wajah. Pertama wajah yakin dan keduanya, wajah bimbang. Dengan yakin Perdana Menteri berkata, "Saya tidak nampak apa-apa yang luar biasa. Ia tidak begitu buruk." Tetapi kemudian, Dr Mahathir bagaimanapun berkata, "Keadaan sukar diduga kerana masih terlalu awal, tetapi kerajaan mempunyai rizab yang lebih daripada mencukupi bagi menampung sebarang pengeluaran dana." Perdana Menteri menjangka jumlah maksimum yang mungkin dibawa keluar oleh pelabur asing adalah sekitar RM11.4 bilion hingga RM15.2 bilion. Jumlah beginipun bukannya kecil.

Tamat

Untuk menyertai senarai kami, sila hantar mesag kosong ke: kini-malaysia-subscribe@egroups.com the-malaysian-subscribe@egroups.com

Untuk keluar dari senari tersebut, sila hantar mesag kosong ke: kini-malaysia-unsubscribe@egroups.com the-malaysian-unsubscribe@egroups.com

Sila lawat laman kami di: http://kini.webjump.com/ http://berita.webjump.com/

Para penerima diminta mencetak, menyalin dan mengedar Kini, terutamanya kepada mereka yang mungkin berminat. Kami juga menghendaki alamat e-mail supaya dapat mengirim risalah harian ini secara langsung.

Terima kasih atas kerjasama anda.

Pink Panther


Last changed: September 09, 1999