[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

Persidangan Mahkamah Kangaroo Malaysia.

Date: 09 Sep 1999
Time: 03:30:12
Remote User: -

Comments

TUDUHAN LIWAT SENGAJA DIREKA, KATA PEGUAM ANWAR

KUALA LUMPUR, 8 Sept (Bernama) -- Tuduhan liwat terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim dan adik angkatnya adalah palsu dan sengaja direka, seorang peguam memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Christopher Fernando berkata ini boleh dilihat daripada cara pendakwaan kerap meminda tarikh dalam pertuduhan itu, yang pada mulanya adalah "satu malam pada Mei, 1994" kepada "satu malam pada Mei, 1992" dan kemudian kepada "satu malam antara Januari dan Mac, 1993."

Fernando berkata pindaan-pindaan itu membuktikan pendapat pembelaan bahawa tuduhan itu sengaja direkakan.

Fernando, peguam utama bekas perdana menteri itu, berkata demikian dalam penghujahannya pada penutup kes pendakwaan dalam perbicaraan itu, yang memasuki hari ke-49 hari ini.

Anwar, 52, dan adik angkatnya Sukma Darmawan Sasmitaat Madja, 38, dituduh meliwat Azizan di pangsapuri Sukma di Tivoli Villa, Jalan Medang Tanduk, Bangsar di sini, pada pukul 7.45 malam, antara Januari dan Mac 1993.

Sukma, seorang ahli perniagaan, juga menghadapi tuduhan bersuhabat dengan Anwar melakukan kesalahan itu di tempat dan masa yang sama.

Fernando berkata kali pertama tuduhan itu dipinda ialah selepas Azizan, saksi utama pendakwaan, memberi keterangan pada perbicaraan kes rasuah Anwar bahawa beliau tidak lagi diliwat selepas September 1992.

Fernando berkata berikutan keterangan Azizan, pendakwaan tidak mempunyai pilihan selain meminda tuduhan itu.

Bagaimanapun, Fernando berkata pendakwaan memilih Mei 1992 sebagai tarikh itu kerana mereka mahukan "masa" dan mereka tidak mahu memilih September 1992.

Peguam itu berkata Azizan juga memberi keterangan bahawa beliau tidak memberitahu polis mengenai dirinya diliwat Anwar dan Sukma pada "satu malam pada Mei 1992."

"Jika Azizan tidak memberitahu polis, siapa yang yang memalsukan keterangan ini?" tanya Fernando.

"Ini adalah kes liwat dan tiada saksi yang menyaksikan perlakuan liwat itu. Satu-satunya bukti sewajarnya perlu diperolehi daripada Azizan dan beliau telah menyatakan bahawa beliau tidak memberitahu polis (mengenai Mei 1992)," kata Fernando.

Fernando berkata pendakwaan telah mengakui pindaan kedua dibuat selepas mendapati keterangan daripada pembelaan bahawa Tivoli Villa, tempat perlakuan liwat itu didakwa diadakan, masih lagi dalam pembinaan pada 1992.

Beliau berkata pembelaan sungguh bermurah hati untuk memberitahu pendakwaan mengenai perkara itu dan menyelamatkan mereka daripada "rasa malu" jika kes itu diteruskan berdasarkan pindaan pertama yang menyatakan kesalahan itu dilakukan pada 1992.

Bagaimanapun, Fernando bersetuju dengan Hakim Arifin Jaka bahawa pembelaan sepatutnya merahsiakan mengenai ketidakwujudan tempat liwat itu pada 1992.

"Adakah penyiasatan yang menyeluruh dilakukan sebelum tuduhan serius ini dibuat terhadap kedua-dua tertuduh? Jelas sekali bahawa penyiasatan itu dibuat dengan tidak rapi dan cuai, atau mungkin tiada penyiasatan langsung dibuat.

"Ini sama seperti kehilangan gajah di padang pasir," katanya, menyebabkan hadirin di mahkamah ketawa.

"Ini adalah keadaan yang sangat menggelikan hati, untuk menuduh dua orang melakukan kesalahan itu di tempat yang tidak wujud," kata Fernando.

"Oleh itu, untuk perkara itu sahaja, mahkamah boleh melihat bahawa mereka (pendakwaan) tidak cukup serius untuk mendapatkan keadilan. Daripada keadaan sekitar dan keterangan yang diperolehi di mahkamah ini, saya fikir keadilan adalah perkara terakhir yang difikirkan oleh mereka yang membuat tuduhan terhadap Datuk Seri Anwar dan Sukma," katanya.

Fernando berkata pendakwaan juga gagal menunjukkan pembelaan alibi Anwar dan Sukma adalah palsu walaupun Peguam Negara Tan Sri Mohtar Abdullah memberitahu mahkamah bahawa mereka mempunyai rekod pergerakan Anwar mulai 1992 hingga 1997.

"Saya katakan bahawa ini adalah satu kenyataan yang berani dibuat tetapi tidak berwibawa. Jika pergerakan Datuk Seri Anwar telah dikesan, telah diawasi begitu dekat, mengapa tuduhan itu dibuat dengan cara yang kabur?" katanya.

Fernando berkata jika pendakwaan mempunyai rekod seperti yang didakwanya, mereka sepatutnya boleh mengesan sekuarng-kurangnya masa atau tarikh Anwar berada di Tivoli Villa.

Fernando berkata pendakwaan membuat dakwaan kosong dan tidak mengetahui langsung pergerakan Anwar, dan membuat tekaan sejak dari mula tuduhan itu dibuat.

Beliau berkata pendakwaan sepatutnya mendapatkan bukti untuk menunjukkan bahawa Anwar dan Sukma berada di Tivoli Villa sekurang-kurangnya satu malam dalam masa tiga bulan itu seperti yang tercatat dalam pertuduhan ke atas mereka.

"Di sini, tiada satu pun bukti yang menunjukkan bahawa kedua-dua tertuduh berada di Tivoli Villa pada bila-bila masa, semasa tempoh yang dinyatakan dalam pertuduhan itu. Ini adalah satu lagi persoalan penting yang masih belum dijawab," kata Fernando.

Beliau menyifatkan kes pendakwaan itu penuh dengan keraguan dan ketidaktentuan.

"Akibatnya, kita mempunyai tuduhan yang kabur, tidak konsisten dan penuh dengan keraguan," katanya.

Fernando berkata satu lagi perkara penting yang harus dipertimbangkan oleh mahkamah ialah Azizan, dalam keterangannya, dengan berat hati mengakui bahawa pegawai penyiasat kes itu, SAC I Musa Hassan, telah memintanya meminda tarikh insiden itu.

Beliau berkata mahkamah tidak harus menerima keterangan Azizan kerana saksi itu telah memberikan keterangan yang bercanggah.

Peguam itu juga berkata bahawa pengakuan Sukma, walaupun telah diterima oleh mahkamah, tidak boleh digunakan untuk mendapatkan pensabitan terhadap Anwar, kecuali jika ada keterangan yang menyakinkan terhadapnya yang diberikan oleh saksi lain.

"Satu-satunya keterangan yang mereka ada lemah, tidak teguh, bercanggah dan meragukan," katanya.

Fernando berkata pendakwaan gagal menghasilkan kes prima facie terhadap Anwar dan Sukma, dan bukti yang harus ditimbangkan oleh mahkamah haruslah melampaui keraguan.

Seorang lagi peguam Anwar, Karpal Singh, memberitahu mahkamah sebelum ia memutuskan sama ada untuk memanggil Anwar dan Sukma untuk memberikan keterangan mereka, mahkamah perlu memberikan penilaian yang maksimum terhadap keterangan yang diberikan oleh saksi sepanjang perbicaraan itu.

Karpal Singh berkata tuduhan melakukan liwat memang mudah dibuat tetapi sukar dibuktikan, dan oleh itu keterangan di hadapan mahkamah perlu benar-benar menyakinkan untuk mensabitkan orang yang dituduh.

Beliau juga berkata perlu ada sokongan terjadap keterangan yang menyakinkan itu dalam usaha mewujudkan kes liwat.

"Jika orang yang dituduh memilih untuk mendiamkan diri, oleh itu keterangan itu perlu mempunyai kualiti kesan yang akan membuatkan mahkamah mesti mensabitkannya," kata Karpal Singh.

Menurutnya bagi kes ini, terdapat jurang dalam kes pendakwaan selepas mereka tidak memanggil saksi penting seperti Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad dan bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Rahim Noor.

Dr Mahathir perlu dipanggil untuk memberi keterangan memandangkan beliau adalah orang pertama yang menerima aduan Azizan mengenai kejadian liwat itu dan Abdul Rahim kerana memberikan kenyataan akhbar pada 1997 bahawa dakwaan mengenai salahlaku seks Anwar adalah tidak berasas langsung.

Perbicaraan disambung esok. -- BERNAMA


Last changed: September 09, 1999