[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

KSN Jadi Alat BN

Date: 09 Sep 1999
Time: 07:13:03
Remote User: -

Comments

Ulasan

Nampaknya sudah banyak kali kakitangan awam disergah dan dihina. Kata-kata KSN ini tidak perlu dipatuhi kerana dia sendiri tidak neutral. Banyak program-program kerajaan disalahgunakan untuk kepentingan BN. Di depan mata KSN, jentera-jentera kerajaan disalahgunakan oleh BN....media RTM dan lain-lain kementerian secara terang-terang diperkudakan oleh BN. Apakah KSN buta? tuli? pekak?

Kamu adalah satu kehinaan kepada perkhidmatan awam. Gaji kamu dibayar oleh rakyat bukan BN. Begitu juga kakitangan kerajaan yang lain.

============================================================================================================================== KAKITANGAN AWAM PERLU BERPEGANG TEGUH KEPADA PRINSIP BERKECUALI

SETIU, 9 Sept (Bernama) -- Kakitangan perkhidmatan awam hari ini diingatkan supaya berpegang teguh kepada prinsip berkecuali dalam menjalankan tugas mereka bagi memastikan keutuhan dan perpaduan dalam perkhidmatan awam.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Abdul Halim Ali berkata kakitangan awam perlu patuh kepada kerajaan yang memerintah serta tidak dipengaruhi oleh unsur-unsur politik dan sentiasa berpegang teguh kepada prinsip yang digariskan dalam perkhidmatan awam.

Beliau berkata mana-mana kakitangan awam yang didapati terlibat secara aktif dalam kegiatan poltik akan dikenakan tindakan dan ada jabatan yang sedang berbuat demikian.

"Saya tidak ada laporan penuh kerana tindakan tatatertib dijalankan sepenuhnya oleh jabatan berkenaan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan 860 pegawai dan kakitangan awam di daerah Setiu hari ini.

Beliau berkata bagaimanapun, itu tidak bermakna kakitangan perkhidmatan awam tidak boleh mempunyai pandangan politik yang berbeza, cuma mereka hendaklah memastikan sektor perkhidmatan awam tidak dipisahkan oleh perbezaan itu.

"Walaupun mempunyai pandangan politik yang berlainan, kakitangan perkhidmatan awam perlu nuetral dan tidak berpihak kepada mana-mana parti poltik dalam menjalankan tugas mereka," katanya.

Beliau berkata kakitangan perkhidmatan awam perlu ingat bahawa mereka terikat dengan peraturan yang ditetapkan dan tidak boleh mengambil bahagian secara aktif dalam politik.

Antaranya, mereka tidak boleh mengadakan ceramah politik, menganjurkan perjumpaan politik, memakai lencana parti politik dan menyebarkan risalah serta makalah politik, katanya.

Abdul Halim juga menegaskan bahawa pegawai dalam kumpulan pengurusan dan profesional tidak boleh terlibat langsung dalam politik manakala bagi kakitangan sokongan mereka dibenarkan melibatkan diri dalam politik dengan syarat mendapat kelulusan daripada ketua jabatan dan terikat dengan beberapa syarat lain.

"Antaranya mereka tidk boleh menggunakan peralatan pejabat dan menjalankan kegiatan dalam waktu pejabat," katanya.

Abdul Halim berkata penglibatan secara langsung penjawat awam dalam politik bukan sahaja boleh memecah-belahkan perpaduan dalam perkhidmatan awam tetapi juga boleh memesongkan tugas penjawat awam dalam menjalankan amanah yang diberi kepada mereka.

"Kekuatan dan keutuhan perkhidmatan awam kita hari ini sehingga kita dapat menjalankan tugas dengan begitu berjaya adalah kerana perpaduan dalam perkhidmatan awam... perpaduan ini kalau kita tidak jaga betul-betul akan terjejas," katanya.

Beliau berkata penglibatan kakitangan kerajaan dalam kegiatan politik secara aktif akan menyebabkan timbulnya pihak-pihak dalam perkhidmatan awam dan menyebabkan kesan yang amat negatif terhadap perkhidmatan awam yang kini adalah yang terbaik di kalangan negara-negara membangun.

Beliau berkata hasrat kerajaan kini ialah menjadikan pekhidmatan awam di negara ini sebagai antara yang terbaik di kalangan negara maju. -- BERNAMA


Last changed: September 09, 1999