[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

KWSP labur dalam syarikat judi?

Date: 09 Sep 1999
Time: 11:39:43
Remote User: -

Comments

KWSP labur dalam syarikat judi?

KUALA LUMPUR: Para pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) khususnya mereka yang beragama Islam, hari ini dikejutkan oleh berita bahawa KWSP melabur dalam Genting Berhad, sebuah syarikat perjudian terbesar di negara ini. Berita tersebut tersiar dalam laporan bulanan sebuah syarikat broker saham terkenal yang menyenaraikan pemegangan saham oleh kerajaan dari badan-badan berkaitan kerajaan dalam syarikat-syarikat utama dari Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL).

Ketika dihubungi untuk keterangan lanjut, KWSP enggan membuat apa-apa komen.

Bagaimanapun, rata-rata pencarum KWSP yang beragama Islam yang ditemui melahirkan rasa terkejut dan kecewa dengan berita tersebut dan seterusnya meminta KWSP menarik balik pelaburannya dalam syarikat tersebut.

Seorang kakitangan di bahagian pentadbiran UTM yang enggan namanya disiarkan, mengutuk sekeras-kerasnya tindakan KWSP melaburkan wang simpanan pekerja Islam dalam kegiatan perjudian yang jelas bertentangan dengan syariat Islam.

Beliau seterusnya meminta KWSP dan kerajaan membuat penjelasan tentang perkara ini dan menarik balik pelaburan KWSP dalam syarikat perjudian itu.

Seorang lagi pencarum KWSP, Abdullah Hashim ketika mengulas tindakan tersebut berkata, pada umumnya beliau tidak terkejut dengan berita tersebut kerana orang kuat Genting sendiri, Tan Sri Hanif Omar pernah menyatakan dalam mahkamah bahawa beliau tidak pernah berjumpa dengan ayat al-Qur'an yang mengharamkan judi.

"Bagaimanapun, takkan kerana beliau berada di situ maka KWSP sanggup menggadaikan prinsip dan sensitiviti pencarum Islam dengan melabur dalam syarikat itu," kata beliau.


Last changed: September 09, 1999