[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

Taktik Mahathir menghadapi pilihan raya

Date: 09 Sep 1999
Time: 11:41:54
Remote User: -

Comments

Taktik Mahathir menghadapi pilihan raya

Dr. Mahathir Mohamad tidak menghadiri sidang Apec 13 dan 14 ini di New Zealand dan hanya menghantar Abdullah Ahmad Badawi saja mewakilinya. Beliau kini meneruskan 'road show'nya ke seluruh Malaysia menjelang pilihan raya umum.

Banyak negeri yang telah dikunjunginya. Dan setiap ucapan di negeri yang dikunjunginya, yang menjadi 'bahan serangan'nya ialah pemimpin PAS, terutamanya, Tuan Guru Dato' Haji Nik Abd. Aziz Nik Mat, Dato' Haji Fadzil Mohd. Noor dan pemimpin PAS yang lain.

Sasaran 'serangannya' yang kedua ialah ulama, khususnya Dato' Dr. Harun Din, sementara sasarannya yang ketiga ialah Presiden KeADILan, khususnya Dr. Wan Azizah dan suaminya, DS Anwar Ibrahim, walaupun kini berada di dalam penjara.

Apalagi yang tidak dikatakannya kepada Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz, sehingga di luar kemampuan mereka yang waras fikirannya untuk mendengar kutukan dan fitnahnya itu. Kata-kata 'ulama penipu', jahat, bodoh dan macam-macam lagi adalah di antara sejumlah kata-kata yang sering diucapkannya dan pemimpin Umno/BN yang lain.

Itulah Dr. Mahathir dan itulah caranya berkempen setelah 19 tahun berkuasa dan tidak ada sebarang isyarat darinya untuk melepaskan kekuasaannya itu. Kempen yang bergelumang dengan fitnah, umpat keji dan sebagainya itu dijangka akan berterusan hingga menjelang pilihan raya.

Pemimpin politik sepertinya, yang mendukung konsep 'tujuan menghalalkan cara' itu, tidak mungkin bertanya atau merujuk kepada bisikan hatinya sendiri apakah tuduhan dan fitnah yang dihamburkannya kepada Tuan Guru dan para ulama lain itu bukan suatu kesalahan atau dosa.

Beliau akan bercakap semau-maunya selagi ada tepukan dan teriakan dari pendukung Umno/BN di depannya, selagi stesen TV dan radio membuat ulasan selari, selagi ada pemberita akhbar milik Umno/BN melaporkannya. Mahathir cukup yakin orang kampung menerima pembohongannya kerana orang kampung bergantung sepenuhnya maklumat dari media massa milik Umno/BN.

Tetapi Mahathir tetap menghadapi dilema besar, apabila anak-anak orang kampung yang terdidik di institusi pengajian tinggi dalam dan luar negara menerangkan kedudukan sebenar isu-isu penting negara. Penerangan ini bertentangan sama sekali dengan apa yang diperkatakan oleh Dr. Mahathir dan pemimpin Umno/BN yang lain. Ibu bapa akhirnya mempercayai pandangan anak mereka ini.

Ibu bapa di kampung mulai sedar pembaziran Putrajaya yang menempatkan mahligai PM berharga RM200 juta, pembaziran perasmian KLCC, Formula 1, projek mewah yang lain yang semuanya menyedut hasil wang rakyat.

Pembaziran dan penyelewengan yang didedahkan oleh anak orang kampung yang terdidik di universiti itu banyak merubah aliran fikiran ibu bapa mereka di kampung, yang secara tradisinya dulu menyokong Umno/BN sejak puluhan tahun.

Dengan demikian, kini semakin jelas perubahan di kampung yang dulunya kubu kuat Umno/BN kini terserlah bendera PAS dan markas PAS serta parti alternatif yang lain di sana sini.

Dr. Mahathir sedar perubahan ini. Dan dia sedar perubahan yang menyeluruh dari kota ke desa bahawa mood rakyat untuk menukarkan BN kepada Barisan Alternatif dalam pilihan raya umum akan datang ini sangat ketara.

Lebih-lebih lagi beliau sedar bahawa 'serangan'nya kepada pemimpin PAS, khususnya Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz tidak berupaya melemahkan sokongan rakyat, khususnya rakyat Kelantan terhadap kepimpinan ulama di Murshidul Am PAS itu. Sebab itu Mahathir masih teragak-agak untuk membubarkan parlimen untuk segera mengadakan pilihan raya umum.

Namun begitu, walau apa pun strategi Dr. Mahathir, tetapi pendukung PAS dan parti alternatif lain perlulah sentiasa waspada dan meletakkan jentera pilihan raya dalam keadaan bersedia sepenuhnya. Ini kerana pilihan raya akan diadakan bila-bila masa.


Last changed: September 09, 1999