[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

TIADA BUKTI AZIZAN DILIWAT, KATA KARPAL SINGH

Date: 09 Sep 1999
Time: 18:57:04
Remote User: -

Comments

TIADA BUKTI AZIZAN DILIWAT, KATA KARPAL SINGH

KUALA LUMPUR, 9 Sept (Bernama) -- Pendakwaan tidak mengemukakan sebarang keterangan perubatan untuk membuktikan Azizan Abu Bakar diliwat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dan adik angkatnya Sukma Darmawan Sasmitaat Madja, Mahkamah Tinggi diberitahu hari ini.

Seorang daripada peguam Anwar, Karpal Singh berkata dalam kes-kes seperti ini pendakwaan perlu membuktikan bahawa berlakunya kemasukan terhadap Azizan memandangkan itu adalah antara unsur dalam tuduhan liwat.

Karpal Singh berkata pendakwaan yang diketuai Peguam Negara Tan Sri Mohtar Abdullah, patut berbuat demikian bagi mewujudkan melampaui keraguan munasabah dakwaan Azizan terhadap bekas timbalan perdana menteri itu dan Sukma.

Beliau berhujah pada akhir kes pendakwaan Anwar dan Sukma yang dituduh meliwat Azizan di apartmen Sukma di Tivoli Villa, Bangsar di sini pada pukul 7.45 malam antara bulan Januari dan Mac 1993.

Sukma, 38, seorang ahli perniagaan turut menghadapi satu lagi tuduhan bersubahat dengan Anwar, 52, melakukan kesalahan itu terhadap Azizan, bekas pemandu isteri Anwar, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail di tempat dan masa yang sama.

Karpal Singh yang menyambung hujahnya berkata pegawai penyiasat dalam kes ini SACI Musa Hassan mengaku bahawa beliau tidak menghantar Azizan bagi pemeriksaan perubatan untuk memastikan dakwaannya.

"Kenapa Musa tidak menghantar Azizan bagi pemeriksaan perubatan sedangkan polis telah menjalankan siasatan pada 1997 berhubung buku "50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM", dan perkara itu telah didedahkan oleh Perdana Menteri pada akhir tahun itu?" tanya beliau.

Sedangkan kata Karpal Singh, Sukma telah dihantar untuk pemeriksaan perubatan tiga hari selepas beliau ditahan pada 6 Jun 1998. Bagaimanapun Dr Zahari Noor yang memeriksa Sukma telah memberi keterangan bahawa tiada tanda yang Sukma pernah diliwat.

Beliau berhujah bahawa jika Azizan, saksi utama pendakwaan telah dihantar untuk pemeriksaan perubatan, jika dakwaannya benar, mungkin akan terdapat beberapa tanda menunjukkan yang beliau telah diliwat.

Karpal Singh berkata oleh itu akibatnya, pembelaan telah dinafikan peluang untuk mendapatkan satu laporan perubatan yang boleh menunjukkan sama ada berlakunya kemasukan untuk menyokong keterangan Azizan.

Karpal Singh berkata dalam kes ini, adalah perlu untuk menghantar Anwar dan Sukma bagi ujian kemampuan seks.

"Saya tidak mengatakan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim mati pucuk tetapi dalam perbicaraan jenayah, isu ini penting. Bukti kemampuan seks adalah penting," katanya menyebabkan yang hadir di mahkamah ketawa.

Beliau juga menggesa mahkamah supaya tidak takut untuk mengambil tindakan terhadap Mohtar yang didakwanya bertindak melanggari undang-undang dengan menasihatkan Musa untuk tidak menjalankan penyiasatan terhadap alibi walaupun pegawai polis itu bersedia berbuat demikian.

"Saya kadangkala beranggapan bahawa hakim-hakim takut terhadap Peguam Negara. Mahkamah tidak seharusnya takut dengan imej menggerunkan Peguam Negara," katanya sambil menggesa mahkamah supaya membebaskan kedua-dua yang dituduh pada peringkat ini tanpa memanggil mereka membela diri.

Peguam Sukma, Jagdeep Singh Deo berhujah, hakikat bahawa pendakwaan tidak dapat menentukan tarikh sebenar tuduhan terhadap Sukma dan Anwar, menunjukkan ketidakpastian bahawa mereka juga mempunyai keraguan terhadap dakwaan Azizan.

Jagdeep juga berhujah bahawa tiada sebarang keterangan mengenai penyertaan Sukma dalam dakwaan kesalahan yang dilakukan Anwar sehingga menyebabkan beliau dituduh bersubahat.

Katanya tuduhan liwat mudah dikemukakan tetapi amat sukar untuk disangkal.

"Berdasarkan keterangan satu-satunya pengadu, ia boleh berlaku pada saya malahan Yang Arif. Oleh itu keterangan untuk menyokong tuduhan sedemikian perlulah amat meyakinkan bagi mensabitkan seseorang tertuduh," katanya.

Jagdeep berkata oleh itu dalam ketiadaan keterangan yang meyakinkan itu, adalah tidak selamat untuk membuat pensabitan dan dalam kes ini, bukti standard ialah melampaui sebarang keraguan munasabah, adalah tidak selamat untuk memanggil Anwar dan Sukma membela diri.

Beliau juga berkata adalah jelas dariapda keterangan yang dikemukakan di mahkamah bahawa Azizan telah digunakan oleh pihak ketiga untuk menjatuhkan Anwar.

"Adalah jelas dengan "bekerjasama" membawakan dakwaan palsu ini, beliau terselamat daripada tuduhan jenayah yang sepatutnya dikenakan terhadap beliau selepas beliau memberi keterangan mengenai aktiviti liwat ini dalam perbicaraan pertama. Oleh itu beliau lebih beruntung dengan memberi keterangan sedemikian," kata Jagdeep.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Arifin Jaka disambung esok. -- BERNAMA


Last changed: September 09, 1999