[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

Konspirator Melampau

Date: 10 Sep 1999
Time: 11:38:42
Remote User: -

Comments

PERBICARAAN LIWAT ANWAR DITANGGUH

KUALA LUMPUR, 10 Sept (Bernama) -- Perbicaraan liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Tinggi di sini hari ini ditangguhkan selepas peguam bela bekas timbalan perdana menteri itu berkata Anwar disyaki menghidapi keracunan arsenik.

Jakim Datuk Arifin Jaka membuat keputusan itu bagi membolehkan Anwar dihantar untuk pemeriksaan perubatan, secara spesifiknya untuk menentukan sama ada terdapatnya keracunan arsenik seperti yang didakwa oleh Karpal Singh, seorang daripada 10 peguam bela Anwar.

Bagaimanapun, Hakim Arifin berkata mahkamah akan bersidang semula selepas doktor mengesahkan bahawa Anwar sihat untuk menghadiri perbicaraan.

Terdahulu, pada permulaan perbicaraan itu, Karpal Singh memaklumkan mahkamah bahawa Anwar patut dihantar untuk pemeriksaan perubatan kerana contoh air kencing Anwar didapati mengandungi kadar arsenik yang berlebihan.

"Kita telah memperolehi laporan patologi dari Melbourne yang mengesahkan bahawa terdapat kadar racun arsenik yang banyak dalam contoh air kencing Datuk Seri Anwar Ibrahim," kata Karpal Singh pada hari ke-51 perbicaraan liwat Anwar.

Apabila Hakim Arifin bertanyakan Anwar keadaan dirinya, Anwar menjawab "Keadaan saya baik tetapi pastinya tidak seperti biasa."

Bagaimanapun, Anwar memberitahu hakim bahawa beliau mengalami rambut gugur dan susut berat badan yang beliau dakwa akibat keracunan arsenik.

Anwar berkata beliau risau selepas melihat laporan patalogi itu.

Anwar, 52, dan adik angkatnya Sukma Darmawan Sasmitaat Madja, 38, dibicarakan bersama-sama terhadap tuduhan berasingan meliwat Azizan Abu Bakar di apartmen Sukma di Tivoli Villa, Bangsar, di sini, antara Januari dan Mac 1993.

Sukma, seorang ahli perniagaan, turut menghadapi satu lagi tuduhan bersubahat dengan bekan timbalan perdana menteri itu meliwat Azizan, bekas pemandu peribadi isteri Anwar, di tempat dan pada masa yang sama.

Perbicaraan itu telah sampai ke penghujung kes pendakwaan dan pihak pembelaan dalam proses menghujahkan kes itu di mahkamah.

Karpal Singh juga memaklumkan mahkamah bahawa contoh air kencing Anwar telah dihantar ke Melbourne melalui makmal patologi tempatan di sini untuk dianalisis dan diuji.

Beliau berkata contoh itu dihantar menggunakan nama Subramaniam, seorang lelaki berusia 59 tahun dan bukan menggunakan nama Anwar.

Karpal Singh tidak memberikan butiran mengenai bagaimana dan dan kenapa contoh air kencing itu dihantar ke Australia menggunakan nama lain, kecuali berkata "...dan sudah tentu air kencing itu diuji ke atas nama samaran itu'.

Karpal Singh kemudian mengedarkan beberapa salinan yang beliau dakwa adalah laporan patologi itu kepada pemberita di luar mahkamah.

Beliau berkata laporan patologi itu menyatakan bahawa kandungan arsenik dalam contoh air kencing Anwar ialah 230 ug/g creat, yang beliau dakwa 77 peratus lebih tinggi daripada kadar biasa dalam tubuh seseorang yang tidak menghidapi keracunan arsenik.

Karpal Singh berkata perkara itu penting setelah apa yang terjadi masa lalu apabila Anwar diserang oleh bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Rahim Noor pada malam beliau ditahan 20 Sept tahun lepas.

"Ia penting kerana semasa beliau ditahan di penjara Sungai Buloh, mungkin terdapat cara lain untuk mencederakan beliau," katanya dan menjelaskan bahawa kadar kandungan arsenik itu melampaui tahap berbahaya.

Karpal Singh yang menimbulkan perkara itu sebelum peguam bela Sukma, Jagdeep Singh Deo menyambung hujahnya, berkata Anwar bimbang dengan situasi itu selepas pihak pembelaan menerima laporan itu semalam.

"Beliau rasa hidupnya dalam bahaya," kata Karpal Singh, yang turut memaklumkan mahkamah bahawa pihak pembelaan lebih suka jika doktor dari luar negara menjalankan pemeriksaan perubataan terhadap Anwar.

Beliau berkata memandangkan serangan terhadap bekas timbalan perdana menteri itu baru-baru ini, "seseorang di luar sana mahu menyingkirkan beliau, sehingga membunuhnya, jika perlu."

"Jika beliau diracun secara perlahan-lahan, sesuatu mesti dibuat mengenainnya. Dakwa orang itu dengan cubaan membunuh. Saya syaki orang yang mempunyai kedudukan tinggi bertanggungjawab terhadap situasi ini," kata Karpal Singh yang mendakwa ini seakan-akan konspirasi yang mereka katakan selama ini.

Peguam Negara Tan Sri Mohtar Abdullah berkata jika Anwar benar-benar diracun, sudah tentu perkara itu serius dan ia memerlukan bukan sahaja rawatan perubatan segera tetapi juga siasatan segera terhadap situasi yang membawa kepada keracunan itu.

"Untuk ini, saya akan bersetuju dengan rakan saya yang bijaksana bahawa satu laporan polis patut dibuat bagi menyiasat pihak berkuasa yang berkaitan untuk menyiasat punca kejadian itu," katanya.

Bagaimanapun, Mohtar mengingatkan pihak pembelaan "jangan melulu menuduh orang tertentu terlibat dalam konspirasi untuk membunuh atau mencederakan Anwar" kerana tidak wajar untuk berbuat demikian pada peringkat ini.

"Ia mungkin satu kes sengaja diracun oleh seseorang atau beberapa orang yang tidak diketahui sama ada dalam penjara di mana tertuduh ditahan atau dalam premis mahkamah," katanya.

Atau mungkin kerana keracunan makanan yang tidak disengajakan melalui makanan yang dimakan oleh Anwar bukan sahaja dalam penjara tetapi juga dalam premis mahkamah, kata Mohtar.

"Saya secara peribadi melihat tertuduh, semasa mahkamah berhenti rehat, minum dan makan dalam bilik mahkamah ini yang dibawa oleh keluarga dan rakan beliau," katanya.

Bagaimanapun, Mohtar berkata pendakwa raya, beliau memberi jaminan bahawa jika terdapat bukti bahawa seseorang telah melakukan perbuatan jenayah dengan meracun Anwar, orang itu akan didakwa.

Beliau berkata satu siasatan akan dijalankan untuk mengetahui pergerakan Anwar sama ada dalam penjara atau dalam bilik mahkamah ini dan perlakuannya dengan orang atau lebih daripada seorang semasa perbicaraan itu.

"Mahkamah perlu ingat bahawa saya telah mengemukakan perkara ini untuk perhatian mahkamah semasa saya mengatakan bahawa adalah bercanggah dengan peraturan penjara, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah dibenarkan oleh pihak berkuasa penjara untuk bebas bergerak dan bergaul dengan keluarga dan rakan-rakannya..."

Sebelum Mohtar sempat menghabiskan ayatnya, Anwar yang kelihatan berang, bangun, menumbuk kandang tertuduh dan menjerit "Saya bercakap mengenai diri saya diracun dan dia pula bercakap mengenai peraturan penjara".

Pada peringkat ini, Hakim Arifin mencelah dan berkata: "Datuk Seri, sila bawa bertenang".

Karpal Singh kemudian bangun dan menjawab beliau tidak menyalahkan Anwar kerana gagal mengawal emosinya disebabkan "Peguam Negara sepatutnya bersikap lebih sensitif dan tidak membuat andaian bahawa Anwar juga mungkin diracun oleh keluarga dan rakan-rakannya."

Apabila Mohtar dengan tegasnya menafikan bahawa beliau membuat andaian, Anwar bersungut bahawa Peguam Negara berbuat demikian kerana "Peguam Negara mempunyai perhitungan politik terhadap saya" yang dijawab oleh Mohtar "saya bukan ahli politik".

Bagaimanapun, pertikaman lidah antara Mohtar, Anwar dan Karpal Singh kemudian reda selepas Hakim Arifin memberitahu Anwar bahawa beliau akan dihantar untuk pemeriksaan perubatan dengan segera.

Mohtar, yang memaklumkan mahkamah bahawa beliau akan mengaturkan apa yang perlu berhubung perkara itu, berkata terpulang kepada mahkamah untuk memutuskan tindakan seterusnya mengenai perbicaraan itu.

Selepas mahkamah ditangguhkan, kedua-dua pihak pergi berjumpa hakim di kamarnya dan kemudian, Karpal Singh memberitahu pemberita bahawa Anwar telah membuat laporan polis dalam bilik mahkamah sebelum beliau dibawa untuk pemeriksaan perubatan.

Karpal Singh berkata Anwar akan dibawa ke hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Cheras di sini hari ini untuk pemeriksaan. -- BERNAMA


Last changed: September 10, 1999