[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

WAN AZIZAH MAHU SIASATAN DAKWAAN ANWAR KERACUNAN

Date: 10 Sep 1999
Time: 11:43:19
Remote User: -

Comments

WAN AZIZAH MAHU SIASATAN DAKWAAN ANWAR KERACUNAN

KUALA LUMPUR, 10 Sept (Bernama) -- Isteri bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu siasatan bebas dimulakan untuk mengetahui punca keracunan terhadap suaminya yang didakwa oleh pegaum Anwar di Mahkamah Tinggi hari ini.

Bercakap kepada pemberita di kediamannya di sini hari ini, Datin Seri Wan Azizah Ismail berkata spesimen air kencing Anwar dikirim untuk dianalisis oleh makmal di Melbourne, Australia pada 18 Ogos.

Katanya laporan patologi menunjukkan bahawa tahap racun arsenik ialah 230 ug/g, berbanding kadar biasa 3 ug/g, atau hampir 80 kali lebih tinggi daripada tahap biasa.

Azizah berkata Anwar telah dihantar ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia di Cheras untuk pemeriksaan dan akan berada di sana sehingga doktor mengesahkan dia boleh menghadiri perbicaraan kes liwatnya.

Sementara itu, Anwar meminta agar jaminan tegas diberikan oleh semua pihak bertanggungjawab bagi menyiasat perkara itu.

"Saya memerlukan jaminan tegas semua pihak bertanggungjawab termasuk pimpinan politik kerajaan untuk menyiasat segera dengan rapi, tidak berselindung, dan tidak cuba menutup perkara itu dengan sewenang-wenang", kata Anwar dalam laporan polisnya yang dibuat di dalam bilik Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada pukul 11.45 pagi ini.

Hakim Datuk Arifin Jaka yang membicarakan kes liwat bekas timbalan perdana menteri itu menangguhkan perbicaraan selepas diberitahu oleh peguam Anwar, Karpal Singh, bahawa Anwar disyaki menghidapi keracunan arsenik.

Menurut Anwar beliau telah menerima laporan patologi berdasarkan ujian air kencing dari Gribbles Pathology, Melbourne, Australia.

Wan Azizah yang juga presiden Parti Keadilan Nasional turut menunjukkan salinan yang beliau dakwa adalah laporan patologi itu kepada pemberita.

"Punca keracunan perlu dikenalpasti, siapa orang atau kelompok yang bertanggungjawab. Saya harap tidak ada helah yang diberikan untuk melengah tindakan atau berdolak dalik," katanya.

Anwar berkata beliau mengalami beberapa kesan yang dipastikan akibat keracuan itu seperti kekurangan berat badan, keguguran rambut, kebas dan kekeringan kulit.

"Para doktor memaklumkan bahawa kesan parah mungkin dirasakan setelah beberapa ketika secara beransur tanpa disedari," katanya.

-- BERNAMA


Last changed: September 10, 1999