[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

Sanggup Pak Lah Berbohong

Date: 10 Sep 1999
Time: 12:12:21
Remote User: -

Comments

Ulasan

Dalam saat begini runcingpun Pak Lah sanggup berbohong kononnya DSAI diberi layanan yang baik di penjara.

============================================================================================================================== ABDULLAH ARAH SIASATAN TERHADAP DAKWAAN ANWAR DIRACUN

SEPANG, 10 Sept (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata beliau telah mengarahkan supaya penyiasatan segera dijalankan terhadap tuduhan yang dilemparkan kepada kerajaan berhubung dakwaan Datuk Seri Anwar Ibrahim diracun.

"Saya telah maklumkan kepada pegawai-pegawai supaya mewujudkan satu kes siasatan mengenai tuduhan yang dilemparkan terhadap kerajaan," kata Abdullah, yang juga Menteri Dalam Negeri.

Beliau berkata demikian pada satu persidangan akhbar di Lapangan Terbang Antarabangsa KL di sini malam ini sebelum berlepas ke New Zealand bagi menghadiri mesyuarat forum Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec).

Isteri bekas Timbalan Perdana Menteri itu, Datin Seri Wan Azizah Ismail mahu siasatan bebas dimulakan untuk mengetahui punca keracunan terhadap suaminya yang dibangkitkan oleh peguam Anwar di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur.

Perbicaraan liwat Anwar hari ini ditangguhkan selepas peguam bela Anwar berkata beliau disyaki menghidapi keracunan arsenik.

Abdullah berkata Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Mohamed Nor Rahim akan mengambil langkah-langkah yang perlu untuk memulakan penyiasatan itu.

"Siasatan terperinci akan dijalankan dengan kadar segera," kata beliau.

Abdullah berkata beliau memandang berat terhadap tuduhan yang dikatakan oleh Dr Wan Azizah itu.

"Apabila kenyataan Dr Wan Azizah dikeluarkan dengan amat spesifik terhadap kerajaan, maka saya pandang ini sebagai sesuatu yang amat berat...amat berat," katanya.

Dr Wan Azizah memberitahu pemberita di kediamannya bahawa spesimen air kencing Anwar dikirim untuk dianalisis oleh makmal di Melbourne, Australia pada 18 Ogos.

Katanya laporan patologi menunjukkan bahawa tahap racun arsenik ialah 230 ug/g, berbanding kadar biasa 3 ug/g, atau hampir 80 kali lebih tinggi daripada tahap biasa.

Anwar dalam laporan polisnya yang dibuat dalam bilik Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini pula meminta agar jaminan tegas diberikan oleh semua pihak bertanggungjawab bagi menyiasat perkara itu.

Abdullah berkata, polis dan pihak penjara tidak tahu menahu mengenai sampel air kencing yang dikatakan milik Anwar itu atau tarikh bila ia dibawa keluar dari penjara Sungai Buloh.

"Polis dan pihak penjara tidak tahu menahu mengenai sampel atau benar ianya milik Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya.

Menurutnya, sampel air kencing Anwar yang dikemukakan itu bertarikh 26 Ogos tahun ini manakala analisis itu pula dibuat oleh seorang pakar patologi di makmal Melbourne, Australia.

Beliau membacakan nota pakar patologi itu yang dikepilkan bersama-sama laporan polis Anwar, yang menyebut: "Makanan laut seringkali mengandungi paras sebatian arsenik yang tinggi dan mungkin meningkatkan paras. Oleh itu, makanan laut harus dikecualikan daripada diet untuk beberapa hari sebelum ujian dijalankan."

Abdullah berkata selain menerima makanan yang dibekalkan oleh pihak penjara, Anwar turut menerima makanan daripada keluarganya ketika mereka melawat beliau.

Beliau juga melahirkan rasa terkejut mengenai tempoh masa yang agak lama yang diambil daripada laporan patologi itu dikemukakan (26 Ogos 1999) sehingga hari ini untuk memberitahu mengenai dakwaan keracunan Anwar itu.

"Mengapakah pihak yang berkenaan mengambil masa begitu lama dan tidak mengemukakan tuduhan itu secepat mungkin dan meminta Datuk Seri Anwar diberi rawatan segera, yang itu saya tidak tahu. Apa muslihat mereka?

"Kita tiada maklumat, sampel yang dihantar itu pun diberi nama orang lain, seorang yang berumur 59 tahun," katanya.

Abdullah berkata Anwar dilayan dengan baik ketika di dalam penjara dan berbeza dengan apa yang dikatakan oleh parti-parti pembangkang dalam ceramah politik mereka sehingga ada yang menyebut bahawa beliau telah diseksa.

Bekas timbalan perdana menteri itu, katanya, menerima bekalan makanan yang segar merangkumi ikan, ayam, daging, sayur-sayuran dan buah-buahan dan tidak sebaliknya seperti apa yang didakwa pembangkang, kata beliau.

Anwar juga ditempatkan di sebuah bilik yang luas menyamai sebuah "studio apartmen" yang dilengkapi beberapa buah tingkap serta diberikan bekalan bahan bacaan seperti majalah dan buku, katanya.

"Boleh dikatakan, layanan yang diterimanya (Anwar) adalah seperti VIP (orang kenamaan)," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Norian Mai, yang turut berada bersama-sama Abdullah, berkata Anwar dan isterinya Dr Wan Azizah akan dipanggil untuk memberikan keterangan berhubung dakwaan itu. -- BERNAMA


Last changed: September 10, 1999