[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

Keng Yaik Mimpi Di Siang Hari

Date: 10 Sep 1999
Time: 12:20:34
Remote User: -

Comments

GERAKAN SEDIA TAWAN KERUSI DAP, KATA KENG YAIK

PULAU PINANG, 10 Sept (Bernama) -- Presiden Gerakan Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik hari ini berkata parti itu bersedia untuk merampas tiga kerusi yang diduduki oleh DAP di negeri ini pada pilihan raya umum akan datang.

Kerusi itu ialah bagi kawasan Parlimen Jelutong dan Tanjung serta kawasan Dewan Undangan Negeri Batu Lanchang, katanya pada sidang berita selepas mempengerusikan mesyuarat perhubungan parti Gerakan di sini.

Yang turut hadir ialah Ketua Menteri Pulau Pinang Tan Sri Dr Koh Tsu Koon yang juga Ketua Perhubungan Gerakan Pulau Pinang.

Dr Lim berkata, Gerakan juga besar kemungkinan mengekalkan calon penyandang di kawasan yang diwakili parti itu melainkan jika mereka menarik diri pada saat akhir atau tidak dapat bertanding atas sebab tertentu.

Gerakan kini mewakili dua kawasan Parlimen di negeri ini dan 10 kawasan Dewan Undangan Negeri yang mempunyai 33 kerusi. Bagi baki kawasan negeri, Umno mewakili 12 kawasan, MCA (9 kawasan) dan MIC (satu) manakala DAP (satu).

Menurutnya, Gerakan juga akan membantu Umno mengekalkan kesemua kawasan yang diwakili mereka untuk memastikan pembentukan kerajaan yang stabil di negari ini.

Keseluruhannya, moral anggota Gerakan sangat tinggi dan bersedia untuk menghadapi pilihan raya yang bakal diadakan bila-bila, katanya.

Dr Lim, Menteri Perusahaan Utama, juga berkata beliau akan mengemukakan kepada Kabinet permohonan bagi penangguhan penghapusan Akta Kawalan Sewa yang bakal bermula pada 1 Jan depan Beliau berkata ini untuk membolehkan penguatkuasaan akta itu dilanjutkan antara satu atau dua tahun lagi sehingga masalah penempatan semula mereka yang terbabit dengan penghapusan akta itu diselesaikan.

Beliau berkata, kerajaan negeri yang diterajui Gerakan telah dapat mengurangkan kesan kegawatan ekonomi yang melanda negara ini.

-- BERNAMA


Last changed: September 10, 1999