[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

"Sokongan" Pelajar Kelirukan BN

Date: 10 Sep 1999
Time: 12:29:29
Remote User: -

Comments

SOKONGAN PELAJAR UNIVERSITI BUKTI KEPIMPINAN PM MASIH DIPERLUKAN

BESUT, 10 Sept (Bernama) -- Sokongan padu pelajar universiti dan penduduk luar bandar membuktikan kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad masih lagi diperlukan untuk negara ini, kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Tengku Razaleigh Hamzah hari ini.

Sokongan padu itu juga membuktikan propaganda parti-parti pembangkang yang mendakwa rakyat telah menolak Dr Mahathir adalah tidak berasas, mengelirukan dan merugikan rakyat, kata Tengku Razaleigh yang dilantik menduduki kerusi Majlis Tertinggi UMNO Rabu lepas.

Beliau berkata Dr Mahathir telah disambut meriah oleh kira-kira 80,000 penduduk luar bandar semasa beliau melawat Jengka baru-baru dan semasa pertemuan dengan pelajar universiti pula, Dr Mahathir telah diberi sokongan padu -- semua ini menunjukkan mereka mahu Dr Mahathir terus memimpin negara.

"Jelaslah propaganda pembangkang kononnya Dr Mahathir telah ditolak oleh mahasiswa adalah tidak benar dan mengelirukan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan anggota Umno bahagian Besut, di sini.

Beliau berkata pertemuan antara Dr Mahathir dan pelajar universiti itu juga membuktikan pelajar Malaysia bukan ganas seperti dakwaan pembangkang kononnya pelajar universiti telah membenci Dr Mahathir dan sanggup berdemonstrasi di jalan-jalan raya.

Semalam perhimpunan `Mahasiswa bersama Perdana Menteri' di Universiti Kebangsaan Malaysia di Bangi mendapat sambutan menggalakkan dan Dr Mahathir pada sidang akhbar selepas itu berkata pada keseluruhannya pelajar menerima penjelasan beliau berhubung pelbagai isu termasuk tindakan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tengku Razaleigh berkata, Dr Mahathir kini bukan sahaja menerima sokongan padu daripada parti-parti komponen Barisan Nasional bahkan daripada semua lapisan rakyat termasuk pelajar universiti, penduduk luar bandar dan pegawai kerajaan.

"Cuma masa ini kerana keadaan ekonomi... kerajaan bayar bonus yang rendah tetapi kerajaan akan bayar bonus apabila tiba masa yang sesuai... mungkin lebih... kakitangan awam perlulah bersabar," katanya.

Tengku Razaleigh turut melahirkan keyakinan bahawa BN boleh menawan semula Kelantan pada pilihan raya umum nanti berdasarkan sokongan padu yang diterima kini dan masalah yang dihadapi pakatan parti pembangkang untuk bekerjasama terutama dalam pembahagian kerusi.

Beliau berkata Pas tidak mungkin bersedia menyerahkan kerusinya kepada parti Keadilan di Kelantan dan di Terengganu. -- BERNAMA


Last changed: September 10, 1999