[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

Kini: UKM Dipaksa Jemput Mahathir

Date: 10 Sep 1999
Time: 18:13:32
Remote User: -

Comments

UKM Dipaksa Jemput Mahathir Pada 9 September UKM terpaksa menjemput Mahathir untuk merasmikan Pusat Inkubator UKM-MTDC yang terletak berhampiran Fakulti Kejuruteraannya. Sebenarnya, pusat itu belum siap sepenuhnya. Tetapi Mahathir telah mengarahkan supaya dia dijemput untuk merasmikannya juga pada 9 September, sama ada siap atau tidak.

Selain dari merasmikan Pusat Inkubator, Mahathir juga akan mengadakan "dialog" dengan pelajar. Akan tetapi soalan-soalan yang akan dikemukakan telah pun ditentukan dan "pelajar-pelajar" yang menyoal pun telah dipilih. Dan jawapan kepada soalan-soalan pun telah disiapkan. Seperti biasa, ada segelintir pelajar dan pensyarah pengampu ditemuduga wartawan dan mereka ini memuja-muji segala kebaikan Mahathir.

Sebenarnya, kebanyakan pensyarah, khususnya para dekan dan timbalan dekan, telah dijemput menghadiri majlis yang diadakan sejak beberapa minggu lalu. Namun, kebanyakan mereka telah memberi jawapan tidak akan hadir. Akhirnya, UKM terpaksa mengarah mereka ini untuk hadir. Setiap fakulti dipaksa menghantar wakil ke majlis yang diadakan.

Walau pun peperiksaan akhir semester akan diadakan pada minggu hadapan, kuliah telah dibatalkan untuk "meraikan" kedatangan Mahathir. Sebelum ini, Mahathir mendakwa pelajar Melayu tidak minat belajar. Kini, apabila dah begini dekat dengan peperiksaan akhir, dia yang membatalkan kuliah!

Makanan pula telah dipesan khas dari Hotel Equatorial Bangi. Barangkali Mahathir tidak percaya kepada penyaji di UKM atau makanan biasa yang di makan pensyarah dan pelajar UKM tidak setaraf dengan darjatnya.

Apa yang berlaku di UKM ialah satu adegan yang distage-managed untuk memberi gambaran Mahathir popular. Seperti biasa, pembohongan sebegini hanya diyakini si pembohong.

BN Amalkan Dasar Pecah & Perintah Ketika berucap di Kuantan Pahang pada hari Isnin 6 September lalu, Dr Mahathir Mohamad berkata BN adalah sistem pemerintahan yang terbaik bagi Malaysia. Alasannya kerana BN adalah gabungan 14 buah parti politik yang berasaskan kaum-kaum. Dalam masa yang sama, dia berkata sesebuah parti politik yang mempunyai ahli pelbagai kaum dalam satu parti tidak sesuai di Malaysia. Beliau juga mengkritik parti-parti pembangkang yang didakwanya cuba meniru pembentukan gabungan seperti BN.

Sistem gabungan seperti BN sebenarnya meniru ideologi penjajah Inggeris iaitu dasar pecah dan perintah. Semasa penjajahan Inggeris, tiga kaum utama di Malaya iaitu Melayu, Cina dan India dipisah-pisahkan bukan saja dari penempatannya tetapi juga dari segi kegiatan ekonomi, budaya dan juga politik.

Dengan dasar pecah dan perintah itulah Inggeris mudah menjajah. Buku bertajuk, Divide And Rule: The Roots of Race Relations in Malaysia tulisan Dr Collin Abraham (Insan 1997) menceritakan dengan panjang lebar ideologi pecah dan perintah penjajah Inggeris di Malaya. Ideologi itu kini ditiru oleh BN dengan sedikit pindaan dan penyesuaian di sana sini. Tetapi inti pokoknya tetap sama.

BN Warisan Dasar Penjajah BN, yang sebelum itu dikenali sebagai Perikatan, terdiri daripada tiga parti utama iaitu UMNO mewakili orang Melayu, MCA mewakili penduduk Cina dan MIC mewakili rakyat keturunan India. Pada tahun 1952, Perikatan ditubuhkan sebagai percubaan awal kerjasama antara UMNO dan MCA dalam menghadapi Pilihanraya Municipal Kuala Lumpur. Dari ramuan kerjasama dua parti berasaskan kaum itu yang membawa kejayaan dalam pilihanraya tersebut, diikuti dengan kejayaan Perikatan dalam Pilihanraya Umum 1955 (sebelum Merdeka), maka pendekatan politik secara Perikatan itu diteruskan hingga sekarang. Pada tahun 1974, Perikatan diperbesar menjadi Barisan Nasional.

Prinsip asas BN adalah sama seperti Perikatan, iaitu ia adalah satu gabungan parti-parti berasaskan kaum.

Resipi perkauman yang diamalkan oleh Perikatan dan BN telah membantu parti tersebut memenangi setiap pilihanraya umum sejak pilihanraya pertama 1955 hinggalah pilihanraya umum ke-9 pada tahun 1995. Sungguhpun menang dalam setiap pilihanraya, tetapi tidaklah bermakna sistem BN itu sebagai terbaik atau unggul. Sistem BN itu dapat bertahan hingga hari ini kerana BN yang memerintah secara sedar sengaja mengekalkan corak politik pecah dan perintah, seperti yang digunakan oleh penjajah Inggeris dulu. Ideologi BN bukan ideologi "Keharmonian Hidup" yang akan menjadi tema manifesto BN dalam pilihanraya umum akan datang ini.

BN: Cakap Tak Serupa Bikin Di Jengka, Pahang, pada 7 September, Dr Mahathir Mohamad berkata Manifesto BN bagi pilihanraya umum akan datang memberi penekanan kepada keharmonian hidup antara kaum di negara ini dengan memastikan tidak timbul sebarang ketegangan sesama mereka. Ideologi BN bukan untuk keharmonian hidup, seperti yang didakwanya. Ideologi BN adalah ideologi penjajah iaitu pecah dan perintah. Pemimpin BN sanggup mewujudkan ketegangan kaum jika sekiranya itu boleh mengekalkan BN terus berkuasa.

Buktinya ada. Pada pilihanraya umum 1990, Dr Mahathir Mohamad dan jentera propaganda BN, seperti akhbar, radio dan televisyen, menggunakan isu Tengku Razaleigh Hamzah, ketika itu Presiden Parti Semangat 46 dan pemimpin Gagasan Rakyat memakai siggah atau tengkolok masyarakat Kadazan, Sabah, yang didakwa bertanda salib Kristian. Ertinya Mahathir, yang tersepit dan cemas akan kemungkinan BN kalah dalam pilihanraya tersebut, sanggup mempermainkan isu agama yang sempit untuk mendapatkan sokongan orang-orang Islam bagi memastikan kemenangannya dan juga BN.

Tangan Mahathir dan pemimpin-pemimpin BN yang lain seperti Lee Kim Sai dan Datuk Najib Tun Razak serta Datuk Mohamed Rahmat, Setiausaha Agung BN sekarang, tidak pernah bersih dan suci dari politik kebencian dan ketegangan kaum. Sejarah membuktikan banyak peristiwa di mana pemimpin-pemimpin UMNO dan MCA yang menjadi juara politik kebencian kaum.

Ini berlaku misalnya pada tahun 1987, sebelum berlaku penangkapan di bawah ISA beramai-ramai dalam Operasi Lalang, satu suasana ketegangan kaum yang genting di Kuala Lumpur telah sengaja diwujudkan oleh pemimpin-pemimpin UMNO dan MCA. Mohamed Rahmat, Lee Kim Sai dan Datuk Najib adalah tokoh-tokoh batu api perkauman. Tetapi yang ditangkap dan menjadi mangsa ISA ialah pemimpin-pemimpin parti politik pembangkang, NGO, aktivis sosial, intelektual dan pendakwah. Batu-batu api dari UMNO dan BN lepas lari. Lee Kim Sai menghilangkan diri ke Australia pada waktu itu.

Bersatu Demi Keadilan Parti-parti Alternatif, yang terdiri daripada PAS, PRM, DAP dan KeADILan, sekarang sedang bercakap dengan "wavelength" yang baru, iaitu pembentukan satu Bangsa Malaysia yang bersikap terbuka, tidak perkauman, toleran dan serius dalam usaha pembentukan satu masyarakat yang bersatu. Semua orang yang bertanggungjawab mahu mengikis sedikit demi sedikit unsur-unsur politik perkauman yang menjadi racun atau virus bagi kehidupan bermasyarakat majmuk seperti di Malaysia ini.

Tetapi BN tidak suka akan perkembangan sihat dan positif seperti ini. BN tidak berkenan. BN sentiasa memperlekehkan usaha ini. Kenapa? Kerana BN tahu politik tidak perkauman ini adalah satu ancaman terhadap kelangsungan hidupnya. Sepatutnya BN mesti mengalu-alukan satu pendekatan politik yang bukan-perkauman yang cuba diperkenalkan oleh parti-parti alternatif.

Satu kejayaan politik besar telah dapat dicapai. Misalnya antara PAS dan DAP. Bagi mencapai keadilan untuk semua, ahli-ahli dan pemimpin PAS dan DAP sudah boleh duduk dan berbincang semeja dan bercakap atas satu pentas yang sama. Ini satu perubahan kualitatif yang sangat besar maknanya dalam arena politik di Malaysia. PRM banyak jasanya di peringkat awal kerana memainkan peranan sebagai jambatan untuk membolehkan kerjasama PAS dan DAP itu.

Tamat

Untuk menyertai senarai kami, sila hantar mesag kosong ke:

kini-malaysia-subscribe@egroups.com

the-malaysian-subscribe@egroups.com

Untuk keluar dari senari tersebut, sila hantar mesag kosong ke:

kini-malaysia-unsubscribe@egroups.com

the-malaysian-unsubscribe@egroups.com

Sila lawat laman kami di:

http://kini.webjump.com/

http://berita.webjump.com/

Para penerima diminta mencetak, menyalin dan mengedar Kini, terutamanya kepada mereka yang mungkin berminat. Kami juga menghendaki alamat e-mail supaya dapat mengirim risalah harian ini secara langsung.

Terima kasih atas kerjasama anda.


Last changed: September 10, 1999