[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

LAPORAN POLIS TUN HS LEE

Date: 10 Sep 1999
Time: 18:18:49
Remote User: -

Comments

LAPORAN POLIS TUN HS LEE 24567/99

Saya telah menerima laporan patologi berdasarkan ujian air kencing dari Gribbler Pathology, Melbourne, Australia. No Makmal 99 – 1557072 – I bertarikh 18 Ogos 1999. Laporan tersebut mengesahkan tahap keracunan arsenic dalam tubuh saya adalah amat berbahaya iaitu pada kadar 230.0 ug/g creat , melebihi tahap normal iaitu kurang 3 ug/g creat. Ini bermakna kandungan racun arsenik dalam tubuh saya ialah 77 kali ganda melampaui tahap biasa.

Sejak dari tarikh saya ditangkap pada 20 September, saya telah mengesyaki bahawa saya mungkin didera atau dianiayai. Andaian tersebut terbukti benar manakala saya dipukul dan didera oleh Tan Sri Rahim Nor tatkala berada didalam tahanan polis. Bahkan saya dibiarkan terlantar selama beberapa hari tanpa mendapat rawatan doktor.

Sekarang terbukti melalui maklumat bahawa saya telah diracun. Saya tidak pasti tempat diracun samada di Lokap Polis Bukit Aman atau berikutnya di Penjara Sungai Buloh. Diantara kesan-kesan yang dipastikan setakat ini ialah kekurangan berat badan, keguguran rambut, kebas dan kekeringan kulit. Para doktor memaklumkan bahawa kesan parah mungkin dirasakan setelah beberapa ketika secara beransur tanpa disedari.

Saya memerlukan jaminan tegas semua pihak bertanggungjawab termasuk pimpinan politik kerajaan untuk menyiasat segera dengan rapi , tidak berselindung dan tidak cuba menutup dengan sewenang-wenangnya. Ini adalah satu jenayah jahat dan mungkin satu percubaan membunuh. Punca keracunan perlu dikenal pasti, siapa orangnya atau kelompok yang bertanggungjawab. Saya harap tidak ada helah yang diberikan untuk melengahkan tindakan atau berdolak-dalik.

Saya kesal kerana konspirasi politik unutk menjatuhkan saya tidak terhad kepada tindakan politik tetapi telah melibatkan tindakan fizikal dan kini meracun saya. Kepada Allah kita mendo’a semoga kita diselamatkan.

Sekian laporan saya. Terima kasih.

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

(Tandatangan)

ANWAR IBRAHIM

10 September 1999 11.45 tengahari


Last changed: September 10, 1999