[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

Kenyataan Media  - Naib Presiden PRM

Date: 10 Sep 1999
Time: 18:20:03
Remote User: -

Comments

Kenyataan Media Oleh Hassan Karim Naib Presiden PRM merangkap Ketua Penerangan

Perkara: Anwar Ibrahim Diracun

Parti Rakyat Malaysia (PRM) mendesak supaya ditubuhkan satu Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat dakwaan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim, bekas Timbalan Perdana Menteri telah diracun. Dakwaan ini wujud kerana terdapatnya satu laporan makmal dari Melbourne, Australia yang diterima oleh pihak peguambela Anwar menyatakan bahawa ada kesan racun arsenik di dalam air kencing Sdr Anwar Ibrahim.

Perkara yang serius ini telah dikemukakan kepada mahkamah yang sedang membicarakan Sdr Anwar Ibrahim. Racun aresenik adalah sejenis bahan kimia yang sangat toksid jika berada di dalam tubuh badan manusia. Sudah setahun Anwar berada di dalam tahanan Polis dan Penjara.

Pihak berkuasa Polis dan Penjara perlu bertanggungjawab sekiranya hasil kajian makmal itu disahkan benar oleh satu badan penyiasat perubatan yang diselia oleh Suruhanajaya Diraja. Rakyat perlu tahu siapakah yang bertanggungjawab dan mempunyai niat jahat untuk membunuh Anwar Ibrahim secara beransur-ansur.

Anwar Ibrahim sejak setahun ditahan ini telah kehilangan berat badan yang banyak. Rambutnya gugur. Mukanya cengkung. Giginya sakit. Pemakanan sehariannya juga tidak seimbang dan membimbangkan. Kini satu laporan makmal menunjukkan ada kimia arsenik dalam tubuh badannya. Dari mana racun itu datang?

PRM bersama-sama seluruh rakyat Malaysia yang cintakan keadilan menentang keras sebarang bentuk konspirasi jahat untuk membunuh Anwar Ibrahim bukan saja politiknya tetapi kini tubuh badannya. Kami mendesak segera Perdana Menteri Malaysia, Dr Mahathir Mohamad, seorang doktor perubatan secara profesionnya sebelum ini supaya segera menasihati Yang Di-pertuan Agung supaya satu suruhanjaya bebas dibentuk.

11 September 1999


Last changed: September 10, 1999