[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

Kenyataan Dr Rahim Ghouse dari Jakarta: Rakyat Mesti Bangkit Menentang Diktator Gila

Date: 11 Sep 1999
Time: 19:15:17
Remote User: -

Comments

Kenyataan Dr Rahim Ghouse dari Jakarta: Rakyat Mesti Bangkit Menentang Diktator Gila

Kenyataan Akhbar Dr Abdul Rahim Ghouse Jakarta 10hb September 1999

Rakyat Mesti Bangkit Menentang Diktator Gila

Pada 1 September lalu, Puan Marina Yusoff, salah seorang naib presiden arti KeADILan Malaysia, telah menulis surat kepada Perdana Menteri, Dato' Seri Mahathir Mohammad mendakwa wujud usaha untuk meracun Dato Seri Anwar Ibrahim. Surat itu menyatakan tindakan itu dilakukan dengan arahan yang datang terus dari Jabatan Perdana Menteri. Dakwaan yang sama telah muncul dalam Internet sejak beberapa bulan lalu.

Pada 10 September 1999, dakwaan mengenai usaha meracun Anwar telah dibuktikan oleh peguam Anwar di mahkamah. Bukti ini terkandung dalam satu laporan yang disediakan oleh sebuah makmal di Melbourne, Australia. Satu sampel air kencing Anwar telah berjaya di bawa ke sana pada pertengahan bulan lalu. Laporan itu menyatakan terdapat kandungan racun arsenik dalam tubuh Anwar 77 kali ganda melampaui tahap biasa. Akibat dari keracunan ini kesihatan Anwar telah merosot, berat badannya menurun dengan mendadak dan rambutnya gugur.

Pendedahan ini menunjukkan Mahathir tidak berpuas hati sekadar memenjarakan Anwar di atas tuduhan palsu. Sebaliknya, dia ingin memastikan Anwar dibunuh. Pendedahan ini menimbulkan persoalan sama ada benarkah Anwar dipukul Rahim Noor kerana Rahim tidak dapat mengawal diri atau ia sebahagian dari satu perancangan yang telah dilakukan oleh peringkat yang lebih tinggi. Kesilapan Rahim, dari kacamata Mahathir, bukanlah kerana dia memukul Anwar. Kesilapannya ialah dia gagal membunuh Anwar.

Adakah Mahathir akan mengatakan Anwar sengaja meracuni dirinya sebagaimana dia mendakwa kononnya Anwar sengaja mencederakan dirinya apabila Anwar muncul di mahkamah dengan mata lebam tahun lalu? Atau adakah Mahathir akan berkata keracunan Anwar dilakukan oleh seorang tukang masak penjara yang gagal mengawal dirinya? Peguam Negara, seperti burung kakak tua yang meniru kata-kata tuannya , telah menuduh kononnya keracunan Anwar mungkin telah dilakukan oleh keluarganya sendiri.

Semua ini adalah bukti-bukti bahawa Anwar adalah mangsa konspirasi yang bertujuan bukan sahaja menamatkan kerjaya politiknya dan memenjarakannya, tetapi untuk membunuhnya. Nyata sekali Mahathir semakin terdesak dan sedang cuba mencengkam pada kuasa dengan apa cara jua. Dia tahu tindakannya terhadap Anwar telah menimbulkan kemarahan rakyat. Popularitinya telah merosot dan untuk kali pertama dalam sejarah Malaysia kerajaan BN mungkin akan ditewaskan dalam pilihanraya. Oleh itu, Mahathir berazam untuk menghapuskan individu yang telah mencetuskan gelombang kemarahan rakyat terhadapnya. Dia telah sampai ke tahap sanggup cuba membunuh Anwar.

Ini menunjukkan bahawa Mahathir telah melampaui segala batas adab, tatasusila, kemanusiaan dan keagamaan. Dia sanggup membunuh untuk terus mencengkam pada kuasa. Jika dia sanggup bertindak sebegini terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri, bayangkanlah apa yang sanggup dilakukannya terhadap rakyat biasa. Dato Nallakarupan nyaris dihukum gantung. Munawar Anees dan Sukma Dermawan didera dengan teruk. Tahanan ISA dan OKT dicederai. Mahathir telah menunjukkan sifat kebinatangannya. Inikah pemimpin yang diinginkan rakyat ketika melangkah ke alaf baru?

Rakyat mesti bangun dan menumbangkan diktator tua yang telah gila ini. Sudah terlalu lama kita diperbodoh dan dipermainkan. Diktator tua ini sudah terlalu tamak dan gilakan kuasa. Apakah yang lebih teruk dan menakutkan dari negara Malaysia terus dipimpin oleh diktator gila seperti ini? Apa juga perubahan yang rakyat lakukan tidak mungkin akan membawa kepada keadaan yang lebih dahsyat dan menakutkan dari apa yang sedang berlaku.

Rakyat mesti berani untuk terus berhimpun secara aman. Kuasa rakyatlah yang akan menghentikan kegilaan Mahathir. Gerakkanlah kuasa rakyat untuk menggulingkan diktator yang sudah gila ini.


Last changed: September 11, 1999